Selasa, Mac 23, 2010

Anak Zaidi Meninggal Dunia

Pagi ini kami dikejutkan dengan berita kematian anak lelaki Zaidi Saad. Harul rizam, Pustakawan di Unit Pentadbiran memaklumkan berita tersebut kepada kami jam 9.30 pagi sewaktu kami merancang untuk minum pagi.

Pukul 10.35 pagi, sewaktu balik dari cafe, aku menghantar SMS kepada Zaidi.

'Salam. Takziah. Jenazah dah bawa balik?', tanya aku melalui mesej tersebut.

Ramai rakan sepejabat berkumpul di perkarangan perpustakaan untuk menaiki van jabatan bagi tujuan melawat keluarga beliau. Ada yang pergi dengan kenderaan sendiri.

Pukul 11.05 pagi, aku menerima mesej daripada Zaidi berbunyi:

'Da siap kebumi, t kaseh ats semua ucpn takziah, sy redha, sy rela, sy tau setiap yg hdup pasti mati, cuma izinkan sy menangis kerna sifat insani sy x dpt tahan.'

Membaca mesej tersebut membuatkan perasaan kami tersentuh dan berasa sedih dengan apa yang berlaku. Kami memahami perasaan seorang bapa yang amat mengharapkan kehadiran seorang insan bernama anak.

'Bykkan bersabar...' Begitulah bunyi SMS aku kepada Zaidi semula.

Zaidi, Pustakawan di Unit Rujukan seingat aku seorang 'weekend marriage'. Isterinya bertugas di Kuala Lipis, Pahang sedangkan dia pula bertugas di Melaka. Selang dua minggu, beliau akan menjenguk isterinya di sana. Kalau tidak silap aku, bulan Julai 2009, permohonan pertukaran isterinya untuk bertugas di Melaka berjaya.

Jam 11.15 pagi, aku dan Noraini menumpang kereta yang dipandu Hasliza mengikuti sebuah lagi kenderaan yang dipandu oleh Rashid dan Harul Rizam. Pukul 11.30 pagi, kami sudahpun sampai di rumah sewa Zaidi di No. 63, Taman Paya Mas.


Tahlil dipimpin Ustaz Azman - Foto ihsan: Noraini MN a.k.a Stramberry Manis

Ramai staf perpustakaan berada di sana. Pukul 11.40 pagi, kami beramai-ramai membacakan tahlil dengan dipimpin oleh Ustaz Azman. Lebih kurang 30 orang staf perpustakaan dari pelbagai unit berada di sana untuk menziarahi keluarga Zaidi. Turut sama ialah, bapa Zaidi, Encik Saad. Di luar, hujan lebat turun membasahi bumi.


Staf wanita juga turut bertahlil - Foto ihsan: Noraini MN a.k.a Stramberry Manis

Menurut Zaidi, allahyarham anaknya diberikan nama Ahmad Imani dan isterinya bersalin secara biasa. Daripada rakan-rakan, khabarnya isterinya dimasukkan ke hospital pada hari Ahad dan anaknya meninggal dunia pada petang semalam.

Jenazah anaknya dibawa pulang dari hospital pagi ini dan selamat disemadikan pada jam 11.00 pagi ini. Pengkebumian terpaksa dijalankan segera memandangkan cuaca mendung. Beliau memohon kemaafan kerana lewat memaklumkan kepada rakan-rakan dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas lawatan ini.

Pukul 12.10 tengah hari, setelah bersalaman, kami berangkat pulang ke pejabat.

Seluruh warga perpustakaan mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham Ahmad Imani ke rahmatullah, semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah. Amin...

1 ulasan:

  1. mati itu pasti..tapi sebagai insan yang sangat kerdil mesti sedih dengan kematian seseorang yang sangat kita sayangi..Mac 2011 kembalinya ke rahmatullah abg yang saya sayangi..sampai ke saat ini saya masih anggap dia masih disisi kami..Al Fatihah untuk Allahyarham Ahmad Imani..

    BalasPadam