Khamis, Mac 25, 2010

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-7

Petang tadi berlangsungnya Mesyuarat Agung Kelab Staf Perpustakaan UTeM (LISTAC). Seramai 40 orang ahli kelab hadir di lokasi mesyuarat iaitu di Bilik Tayangan 1, Aras 2, Perpustakaan Kampus Induk, Durian Tunggal. Mesyuarat Agung kali ini tiada pemilihan jawatankuasa baru kerana jawatankuasa sedia ada akan memegang jawatan masing-masing selama 2 tahun. Oleh itu mesyuarat agung ini sekadar membentangkan penyata kewangan dan aktiviti serta membincangkan usul-usul baru daripada ahli.

Pukul 2.45 petang, Salleh Mohd Noor selaku pengacara majlis memulakan aturcara dengan meminta Mohd Mawardi Badruddin memimpin doa majlis. Pukul 3.00 petang, beliau menjemput Pengerusi LISTAC, Harulrizam Mohamed untuk menyampaikan kata alu-aluannya.

Pengerusi LISTAC dalam ucapannya meminta semua ahli memahami bahawa ahli jawatankuasa yang dilantik berusaha sedaya upaya menjalankan aktiviti yang dirancang namun begitu ahli juga diminta memberikan buah fikiran dan kerjasama dalam menjayakan aktiviti tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya sesetengah aktiviti LISTAC yang memerlukan kos yang besar seperti lawatan sosial, boleh dibuat potongan gaji. Harulrizam juga meminta ahli membezakan di antara kerja-kerja jabatan dengan aktiviti kelab dan meminta ahli dapat terus memberikan sokongan kepada jawatankuasa sedia ada.

Pukul 3.05 petang, Puan Hajjah Faridah Hj. Md. Amin, Penasihat LISTAC dijemput memberikan ucapan. Di dalam ucapannya, beliau menjelaskan tujuan sebenar mengadakan aktiviti LISTAC ialah untuk mengelakkan ahli daripada terkongkong dengan rutin kerja seharian. Beliau mengingatkan ahli, peranan mereka dalam menjayakan aktiviti kelab tidak terletak di bahu ahli jawatankuasa sahaja sebaliknya turut melibatkan semua ahlinya. Beliau meminta pandangan dan kerjasama daripada ahli-ahli demi kemajuan LISTAC. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada setiap individu yang telah menjalankan tugas dengan jayanya dengan harapan kerja yang dibuat selari dengan niat yang betul dan ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Tayangan montaj menyusul selepas ucapan Penasihat LISTAC pada pukul 3.15 petang. Montaj ini memaparkan kronologi aktiviti LISTAC dan disediakan oleh Shazley Sahibuddin.

Pukul 3.40 petang, bermulanya Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-7 di mana pembentangan dan pengesahan minit Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-6 dijalankan. Beberapa kesilapan pada minit lalu diperbetulkan. Seterusnya pembentangan Laporan Bendahari, Laporan Biro Kebajikan dan Sosial dan juga Laporan Biro Sukan & Rekreasi.

Biro Sukan & Rekreasi mencadangkan supaya kutipan sejumlah RM10.00 seorang dibuat bagi menampung bayaran aktiviti sukan yang disertai ahli LISTAC.

Beberapa usul dikemukakan antaranya ialah mengadakan jualan terutama semasa Pesta Konvokesyen dan penyediaan mesin vending bagi menjana pendapatan. Usul lain ialah mengadakan taska bagi kemudahan ahli kelab dan juga staf UTeM di mana usul ini boleh dipanjangkan kepada pihak universiti untuk tindakan selanjutnya.

Usul seterusnya daripada ahli LISTAC ialah ahli mengharapkan supaya setiap aktiviti yang dijalankan perlulah melibatkan semua ahlinya. Usul terakhir pula meminta supaya LISTAC berdaftar sebagai satu pertubuhan yang rasmi.

Mesyuarat Agung LISTAC ini selesai pada jam 4.50 petang dan semua ahli dijamu dengan jamuan ringan.






















0 ulasan:

Catat Ulasan