Isnin, Mac 29, 2010

Santai Di Hujung Minggu

Hujung minggu biasanya kerja aku ialah menguruskan anak-anak pergi dan balik dari kelas pengajian tahfiz di Masjid Al-Azim. Semalam, Ahad, 28 Mac 2010, jam 12.30 tengah hari, sebaik aku mengambil Miza dan Arif dari kelas pengajian tahfiz, aku ke Hotel Lisbon di Ujong Pasir untuk mengambil Ifa yang baru sahaja tamat Kursus UPKK yang diadakan selama dua hari.

Petang itu, selepas Asar, aku sekeluarga bercadang untuk membeli barang-barang keperluan di Tesco Melaka. Tapi dalam perjalanan, kami menukar haluan ke Aeon Bandaraya Melaka yang terletak bersebelahan pasaraya Tesco. Sebenarnya aku pernah menjejakkan kaki di pasaraya ini beberapa bulan lalu tetapi tidak berkesempatan melawat semua gerai yang ada di dalam pusat membeli-belah itu.




Pukul 6.00 petang, kami sudahpun berada di sana. Sebaik kami memasukinya, kelihatan seorang badut sedang meniup belon dan membentuk belon menjadi suatu objek. Miza dan Alim pun segera beratur untuk mendapatkannya. Alim mendapat belon berbentuk pedang manakala Miza pula mendapat belon berbentuk kipas. Ifa sukakan makanan dari kedai Untie Anne's. Melihatkan si kakak mendapat habuannya, akhirnya Miza dan Alim pun inginkan roti sosej. Arif tidak mahu mengikuti kami kerana ingin menonton TV di rumah.





Pukul 6.20 petang, kami bersiar-siar dari satu kedai ke kedai yang lain. Terpandang aku di satu sudut, papan tanda perpustakaan komuniti. Memang orang Jepun suka membaca dan bila mereka membina pasar raya, kemudahan orang awam seperti perpustakaan juga diambil kira. Mereka yang berkunjung ke pasar raya ini bukan sahaja boleh membeli-belah malah boleh menimba ilmu dengan mengunjungi perpustakaan ini.



Sewaktu menghampiri pasaraya Jusco, anak-anak terpandang taman permainan kanak-kanak, Kid'z Art 'N' Fun Zone. Kami singgah sebentar dan anak-anak sudah tidak sabar nak masuk dan bermain di dalamnya. Selain permainan, ada juga disediakan komputer untuk educational games. Untuk tempoh 30 minit, bayarannya RM5.00 tapi kalau tanpa had, bayarannya hanya RM8.00. Akhirnya, kami memilih untuk bayaran tanpa had. Ini memudahkan aku dan Ida shopping.









Sebelum memulakan shopping, kami berdua singgah di food court untuk menjamu selera. Sebaik selesai, aku menerima satu SMS berbunyi, 'Tlg dtg plylnd..Ank u nk air...'. Aku dan Ida bergegas ke Tingkat 2, tempat di mana terletaknya taman permainan tersebut.

Memang benar, Miza haus dan ingin keluar dari kawasan permainan tersebut tetapi dihalang petugas Kid'z Art 'N' Fun Zone. Hati memuji langkah keselamatan yang diambil oleh petugas memandangkan sebentar tadi kedengaran pengumuman dari kaunter informasi pasaraya Jusco meminta ibu bapa yang kehilangan anak dapat berjumpa anak mereka di kaunter. Akhirnya, ketiga-tiganya kami bawa keluar sebentar untuk makan malam sebelum dihantar semula ke taman permainan tersebut.




Barulah senang hati aku untuk membeli-belah kerana kalau kanak-kanak ini mengikuti kami shopping, entah apa-apa yang akan dikutip dan dimasukkan ke dalam troli.



Akhirnya pukul 10.30 malam, kami meninggalkan Aeon Bandaraya Melaka untuk pulang ke rumah. Seronok juga dapat mengisi masa lapang dengan anak-anak di hujung minggu. Terhibur rasanya...

0 ulasan:

Catat Ulasan