Sabtu, Mac 27, 2010

Aktiviti Perpustakaan Yang Selalu Dikenang

Apabila menyebut tentang LISTAC, kita tidak boleh lari dari berbicara mengenai aktivitinya. LISTAC merupakan sebuah kelab kakitangan yang ditubuhkan di bawah Perpustakaan UTeM, sekitar pertengahan tahun 2003 (ketika itu KUTKM). Tidak banyak aktiviti dapat dilaksanakan disebabkan kekangan birokrasi pentadbiran, pendapatan yang terlalu bergantung kepada kutipan ahli dan tiada aktiviti penjanaan hasil seperti jualan, tajaan luar atau apa-apa sumber pendapatan untuk menampung aktiviti kelab itu sendiri.

Matlamat penubuhan LISTAC tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya di samping merapatkan silaturrahim di antara ahli-ahlinya. Sehingga kini, sudah 4 orang pengerusi menerajui LISTAC namun tidak banyak aktiviti yang boleh dibanggakan dan mampu melibatkan semua ahli pada aktiviti tersebut.

Seingat aku, aktiviti pertama yang mendapat sambutan di kalangan ahli ialah ketika mengadakan Hari Keluarga LISTAC pada 18 Oktober 2003 di PNKMB Nelayan, Kuala Sungai Baru. Ketika itu aku menjadi Pengerusi dan Siti Saluwa menjadi Timbalannya. Hampir semua ahli dapat berkumpul termasuk ahli keluarga masing-masing. Ketika itu AJK LISTAC bersatu hati, bekerjasama dan bertungkus-lumus mencari penaja serta menyediakan aktiviti yang bersesuaian untuk ahli pada hari tersebut. Kesudahannya ahli-ahli tersenyum puas apabila pulang membawa hadiah masing-masing.




Semasa Nurul Akmar menjadi Pengerusi LISTAC dan dibantu Mohd Mawardi sebagai Timbalannya, sambutan Hari Keluarga diadakan di Riveira Bay Resort pada 26 April 2007. Walaupun tidak sehebat mana, ianya sudah cukup untuk membuatkan ahli-ahli LISTAC berasa gembira dan dihargai. Banyak aktiviti pentas diadakan di samping hadiah-hadiah untuk ahli yang bertuah.





Selain LISTAC, aktiviti Perpustakaan UTeM yang tetap terus dikenang ialah semasa mengadakan Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri dan Organisasi pada 23 hingga 25 Jun 2006. Program ini diadakan di Regency Hotel, Cameron Highlands dan ianya diselenggarakan oleh Southern Advance Corporation.





Sebenarnya sebagai ahli, aku juga mempunyai naluri yang sama dengan ahli-ahli yang lain. Aku sering mendengar luahan hati ahli-ahli yang lain yang inginkan suatu kelainan dalam beraktiviti.

Mereka ingin keluar dari rutin kerja seharian, berkumpul, membawa keluarga masing-masing, makan-makan dan kalau boleh keluar sebentar dari Melaka sambil menikmati keindahan negeri-negeri lain di Malaysia ini. Yang pasti mereka tentu ingin mengabadikan kenangan itu di dalam lipatan memori masing-masing atau di mana sahaja yang boleh.

Semoga AJK LISTAC yang sedia ada mampu membawa perubahan yang lebih positif demi memenuhi kehendak ahli-ahlinya.

0 ulasan:

Catat Ulasan