Ahad, Oktober 25, 2009

Ifa Dan Miza Menyertai Aktiviti Sempena Hari Bersama Pelanggan

Ifa dan Miza memang berminat menyertai apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh perpustakaan. Selain ianya menyeronokkan, jika bernasib baik mungkin mendapat sijil penyertaan dan hadiah. Aktiviti sebegini baik untuk kanak-kanak kerana ia membantu mengasah bakat yang ada dalam diri masing-masing.

Pada Hari Bersama Pelanggan anjuran PERPUSTAM ni, Ifa masuk aktiviti menyusun jigsaw puzzle bersama sepupunya Syafiq dan Aliah. Ketiga-tiganya tidak menang tapi dapatlah jigsaw puzzle dan tabung bomba.

Miza menyertai aktiviti mewarna tetapi tidak juga menang sebaliknya dapat pula tabung bomba. Alim tidak masuk apa-apa aktiviti. Asalnya nak masuk kumpulan kanak-kanak yang memakai pakaian seragam bomba tetapi kasut pula tidak muat. Arif juga tidak menyertai apa-apa aktiviti dan hanya datang ke perpustakaan pada sebelah petang.














Ifa mencuba motosikal bomba




























Arif bergambar bersama atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu.

Bicara Kerjaya Sempena Hari Pelanggan PERPUSTAM

Aku sempat menghadiri slot Bicara Kerjaya sempena Hari Pelanggan PERPUSTAM di Teater Perpustam pada jam 3.00 petang, 24 Oktober 2009. Tiga orang penceramah dijemput iaitu Encik Ismail Manan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Puan Siti Haidah Md. Aziz daripada Perpustakaan UiTM Kampus Bandaraya Melaka dan Cik Roslinda Samsu, atlet lompat bergalah kebangsaan.

Encik Ismail membicarakan kerjaya dan kelayakan menjadi seorang anggota bomba serta bahagian-bahagian dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Menurut beliau menjadi seorang anggota bomba amat mencabar dan perlu mempunyai fizikal yang tegap. Menjadi anggota bomba juga perlu mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda jika ingin menjadi pegawai bomba.

Puan Siti Haidah pula memaklumkan kepada audien menjadi seorang pustakawan amat menyeronokkan. Ia tidak seperti yang pernah digambarkan oleh mereka sewaktu berada di bangku sekolah. Menjadi seorang pustakawan perlu mempunyai sifat suka membantu dan perlu mempunyai kemahiran mencari maklumat. Terdapat beberapa universiti yang menawarkan kursus-kursus berkaitan kepustakawanan seperti UiTM, UKM dan juga Unisel.

Bagi Cik Roslinda Samsu pula, menjadi atlet tidak memerlukan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi beliau menekankan keadaan fizikal manusia bila sudah berumur dan tidak berupaya, kerjaya atlet ini akan turut pudar. Beliau menyarankan agar seorang atlet perlu mempunyai segulung ijazah bagi membolehkan mereka mendapat kerja tetap. Cik Roslinda menarik perhatian audien dengan menerangkan ganjaran-ganjaran menarik jika seseorang itu mendapat pingat terutama di peringkat Olimpik.

Bicara Kerjaya ini tamat pada jam 4.45 petang. Sesungguhnya ianya merupakan satu program yang berguna dalam menarik minat pengguna terutama golongan remaja bagi membolehkan mereka memasang cita-cita ke menara gading.










Sabtu, Oktober 24, 2009

Hari Bersama Pelanggan PERPUSTAM

Hari Sabtu, 24 Oktober 2009 merupakan Hari Bersama Pelanggan yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka(PERPUSTAM). Kali ini ia dianjurkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Melaka. Majlis ini diadakan di Bangunan PERPUSTAM Bukit Baru dan dirasmikan oleh YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi PERPUSTAM. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Melaka, YS PgKB 1 Nik Zulkifli Ibrahim dan Pengarah PERPUSTAM, Zulkiflee Mohd Said.

Majlis dimulakan pada jam 9.15 pagi dengan bacaan doa oleh Shahrizal Ismail diikuti nyanyian lagu Membaca oleh Koir PERPUSTAM. Majlis seterusnya diserikan dengan deklamasi syair Budaya Membaca oleh Nur Farah Aqilah Zainudin dan persembahan nazam dari SRA JAIM, Limbongan.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Pengarah PERPUSTAM dan diikuti ucapan aluan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka. Akhirnya Pengerusi PERPUSTAM memberikan ucapan aluan kepada hadirin dan merasmikan Hari Bersama Pelanggan.

Di dalam ucapannya, Pengerusi PERPUSTAM berharap lebih banyak keahlian perpustakaan dibuat orang awam memandangkan tiada caj dikenakan untuk menjadi ahli. Beliau menyatakan perpustakaan dibuka sepanjang minggu kecuali cuti umum dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan baik.

Di antara objektif mengadakan Hari Bersama Pelanggan ialah menggalak dan menyemarakkan budaya membaca di kalangan masyarakat di Negeri Melaka serta memperkenalkan peranan perpustakaan sebagai gedung ilmu dan meningkatkan keahliannya.

Sempena dengan Hari Bersama Pelanggan, pelbagai aktiviti diadakan. Antaranya pameran jabatan kerajaan khususnya PDRM dan Bomba, jualan gerai FAMA dan buku-buku. Turut diadakan ialah kuiz, jigzaw puzzle, penulisan khat, pertandingan mewarna (tadika), pertandingan bercerita, membaca jawi, jejak IT, story telling dan deklamasi sajak.

Pada sebelah petang, diadakan aktiviti melukis (tahap 2), teka silangkata, story telling, mewarna (tahap 1) dan bicara kerjaya bomba, pustakawan dan atlet.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah dihadiri oleh Pengarah PERPUSTAM dan wakil Pengarah Jabatan Bomba serta Havinder dari Lincoln Corner. Majlis selesai pada jam 6.00 petang.

Majlis ini sungguh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung perpustakaan dan penduduk setempat.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, majlis ini mendapat penajaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Melaka dalam bentuk sumbangan kewangan dan juga hadiah. Selain daripada itu, hadiah-hadiah juga ditaja oleh beberapa syarikat swasta seperti Sunquick dan lain-lain lagi.