Isnin, Oktober 19, 2009

Abang Ramli Ke Tanah Suci

19 Oktober 2009. Sewaktu aku sedang menjamu selera di sebuah warung tengah hari tadi, aku menerima panggilan telefon daripada seseorang. Dari suaranya, aku dapat mengenali beliau ialah Abang Ramli. Nama beliau sebenarnya ialah Ramli bin Dalip dan tinggal di Bukit Beruang. Menurutnya, beliau memohon maaf kerana akan berangkat ke tanah suci malam ini selepas solat Isyak. Barangkali ini adalah antara penerbangan sulung jemaah haji dari Malaysia.

Abang Ramli ni aku kenal semasa aku mula bekerja di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka 16 tahun lalu. Beliau bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan dan berpencen pada tahun 2008. Barangkali berkat ganjaran dari hasil pencen juga, beliau dapat menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Mengimbas detik-detik bekerja bersama beliau, pada peringkat awalnya perkenalan kami, kami pernah bermasam muka gara-gara beliau belum boleh menerima gaya bekerja aku. Tetapi lama-kelamaan semuanya menjadi sempurna dan kami berkawan baik sehinggalah sekarang. Aku anggap itu adalah asam garam bekerja, suatu transformasi dan juga bentuk penyesuaian dalam suatu perhubungan.

Lewat petang sewaktu pulang dari kerja, aku ke rumah Abah untuk menjamu selera. Aku dijemput oleh Zainab, adik aku untuk merasai karipap yang baru digorengnya. Selepas solat Maghrib, aku ke Masjid Bukit Beruang. Selepas solat Isyak di masjid, aku bersalaman dengan Abang Ramli. Beliau kemudiannya bersalaman dengan semua jemaah yang ada di masjid. Tidak ramaipun, ada dalam satu saf panjang.

Sebaik selesai azan dilaungkan imam, Abang Ramli bersama isterinya masuk ke dalam kenderaan yang membawa beliau ke Kelana Jaya. Aku berdoa mudah-mudahan beliau bersama isteri beroleh haji mabrur hendaknya. Amin...


Abang Ramli bersama isteri memohon agar perjalanan mereka selamat sampai ke Tanah Suci.


Sanak-saudara turut mengaminkannya...


Kaum keluarga beliau turut menghantar ke Kelana Jaya..


Abang Ramli masuk ke dalam kereta dan bersiap untuk meninggalkan kampung halamannya..

0 ulasan:

Catat Ulasan