Selasa, Mac 30, 2010

Bengkel Pengukuhan Projek Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK)

Pagi tadi aku menghadiri Bengkel Pengukuhan Projek Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) di Bayview Hotel, Jalan Bendahara, Melaka.

Bengkel dua hari iaitu pada 29 dan 30 Mac 2010 ini anjurkan oleh Unit Latihan, Pejabat Pendaftar, UTeM. Bengkel dikendalikan oleh Encik Mohd Ehsan bin Amin, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), Pejabat Pendaftar, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

Bengkel bermula jam 8.30 pagi dihadiri seramai 26 orang peserta dari pelbagai jabatan di UTeM. Ceramah menyentuh tentang Projek KIK, proses PDCA, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang merangkumi fasa pengenalan dan definisi projek. Pada hari kedua, LDK2 menyentuh tentang fasa analisa peluang penambahbaikan dan cadangan KI serta pelaksanaannya.

LDK3 pula berkisar tentang fasa pemantauan dan penyeragaman, pencapaian dan ciptaan nilai dan yang terakhir ialah teknik persembahan projek.

Bengkel Pengukuhan Projek Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) ini memang bermanfaat berbanding bengkel KIK yang pernah aku hadiri sebelumnya. Peserta bebas bertanya dan penceramahnya juga sangat mesra.

Benar kata orang, kalau berguru, biarlah dengan orang yang berilmu, dan ilmu tentang KIK ini sendiri telah dipelopori oleh UiTM sehinggakan IPTA ini pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

Hari Pertama






Hari Kedua






Isnin, Mac 29, 2010

Santai Di Hujung Minggu

Hujung minggu biasanya kerja aku ialah menguruskan anak-anak pergi dan balik dari kelas pengajian tahfiz di Masjid Al-Azim. Semalam, Ahad, 28 Mac 2010, jam 12.30 tengah hari, sebaik aku mengambil Miza dan Arif dari kelas pengajian tahfiz, aku ke Hotel Lisbon di Ujong Pasir untuk mengambil Ifa yang baru sahaja tamat Kursus UPKK yang diadakan selama dua hari.

Petang itu, selepas Asar, aku sekeluarga bercadang untuk membeli barang-barang keperluan di Tesco Melaka. Tapi dalam perjalanan, kami menukar haluan ke Aeon Bandaraya Melaka yang terletak bersebelahan pasaraya Tesco. Sebenarnya aku pernah menjejakkan kaki di pasaraya ini beberapa bulan lalu tetapi tidak berkesempatan melawat semua gerai yang ada di dalam pusat membeli-belah itu.




Pukul 6.00 petang, kami sudahpun berada di sana. Sebaik kami memasukinya, kelihatan seorang badut sedang meniup belon dan membentuk belon menjadi suatu objek. Miza dan Alim pun segera beratur untuk mendapatkannya. Alim mendapat belon berbentuk pedang manakala Miza pula mendapat belon berbentuk kipas. Ifa sukakan makanan dari kedai Untie Anne's. Melihatkan si kakak mendapat habuannya, akhirnya Miza dan Alim pun inginkan roti sosej. Arif tidak mahu mengikuti kami kerana ingin menonton TV di rumah.





Pukul 6.20 petang, kami bersiar-siar dari satu kedai ke kedai yang lain. Terpandang aku di satu sudut, papan tanda perpustakaan komuniti. Memang orang Jepun suka membaca dan bila mereka membina pasar raya, kemudahan orang awam seperti perpustakaan juga diambil kira. Mereka yang berkunjung ke pasar raya ini bukan sahaja boleh membeli-belah malah boleh menimba ilmu dengan mengunjungi perpustakaan ini.



Sewaktu menghampiri pasaraya Jusco, anak-anak terpandang taman permainan kanak-kanak, Kid'z Art 'N' Fun Zone. Kami singgah sebentar dan anak-anak sudah tidak sabar nak masuk dan bermain di dalamnya. Selain permainan, ada juga disediakan komputer untuk educational games. Untuk tempoh 30 minit, bayarannya RM5.00 tapi kalau tanpa had, bayarannya hanya RM8.00. Akhirnya, kami memilih untuk bayaran tanpa had. Ini memudahkan aku dan Ida shopping.









Sebelum memulakan shopping, kami berdua singgah di food court untuk menjamu selera. Sebaik selesai, aku menerima satu SMS berbunyi, 'Tlg dtg plylnd..Ank u nk air...'. Aku dan Ida bergegas ke Tingkat 2, tempat di mana terletaknya taman permainan tersebut.

Memang benar, Miza haus dan ingin keluar dari kawasan permainan tersebut tetapi dihalang petugas Kid'z Art 'N' Fun Zone. Hati memuji langkah keselamatan yang diambil oleh petugas memandangkan sebentar tadi kedengaran pengumuman dari kaunter informasi pasaraya Jusco meminta ibu bapa yang kehilangan anak dapat berjumpa anak mereka di kaunter. Akhirnya, ketiga-tiganya kami bawa keluar sebentar untuk makan malam sebelum dihantar semula ke taman permainan tersebut.




Barulah senang hati aku untuk membeli-belah kerana kalau kanak-kanak ini mengikuti kami shopping, entah apa-apa yang akan dikutip dan dimasukkan ke dalam troli.



Akhirnya pukul 10.30 malam, kami meninggalkan Aeon Bandaraya Melaka untuk pulang ke rumah. Seronok juga dapat mengisi masa lapang dengan anak-anak di hujung minggu. Terhibur rasanya...

Sabtu, Mac 27, 2010

Telefon Bimbit Baru Arif



Hari ini menjadi satu sejarah bagi anak sulung aku, Muhammad Arif apabila dia memiliki telefon bimbitnya sendiri. Telefon bimbit berjenama Nokia 5130 XpressMusic ini dibeli di sebuah kedai telekomunikasi di Batu Berendam. Harganya tidak terlalu mahal dan mempunyai gajet-gajet yang bersesuaian dengan teknologi masa kini.

Sebenarnya faktor utama pembelian telefon bimbit ini ialah bagi memudahkan komunikasi terutama semasa menghantar dan mengambilnya ke pusat tuisyen. Walau bagaimanapun ada 'perjanjian' di antara aku dengan Arif semasa pembelian alat komunikasi ini dan beliau bersetuju dengan 'perjanjian' tersebut.

Diharapkan Arif tidak leka dengan telefon baru itu. Benda baru memang macam itu....

Aktiviti Perpustakaan Yang Selalu Dikenang

Apabila menyebut tentang LISTAC, kita tidak boleh lari dari berbicara mengenai aktivitinya. LISTAC merupakan sebuah kelab kakitangan yang ditubuhkan di bawah Perpustakaan UTeM, sekitar pertengahan tahun 2003 (ketika itu KUTKM). Tidak banyak aktiviti dapat dilaksanakan disebabkan kekangan birokrasi pentadbiran, pendapatan yang terlalu bergantung kepada kutipan ahli dan tiada aktiviti penjanaan hasil seperti jualan, tajaan luar atau apa-apa sumber pendapatan untuk menampung aktiviti kelab itu sendiri.

Matlamat penubuhan LISTAC tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya di samping merapatkan silaturrahim di antara ahli-ahlinya. Sehingga kini, sudah 4 orang pengerusi menerajui LISTAC namun tidak banyak aktiviti yang boleh dibanggakan dan mampu melibatkan semua ahli pada aktiviti tersebut.

Seingat aku, aktiviti pertama yang mendapat sambutan di kalangan ahli ialah ketika mengadakan Hari Keluarga LISTAC pada 18 Oktober 2003 di PNKMB Nelayan, Kuala Sungai Baru. Ketika itu aku menjadi Pengerusi dan Siti Saluwa menjadi Timbalannya. Hampir semua ahli dapat berkumpul termasuk ahli keluarga masing-masing. Ketika itu AJK LISTAC bersatu hati, bekerjasama dan bertungkus-lumus mencari penaja serta menyediakan aktiviti yang bersesuaian untuk ahli pada hari tersebut. Kesudahannya ahli-ahli tersenyum puas apabila pulang membawa hadiah masing-masing.




Semasa Nurul Akmar menjadi Pengerusi LISTAC dan dibantu Mohd Mawardi sebagai Timbalannya, sambutan Hari Keluarga diadakan di Riveira Bay Resort pada 26 April 2007. Walaupun tidak sehebat mana, ianya sudah cukup untuk membuatkan ahli-ahli LISTAC berasa gembira dan dihargai. Banyak aktiviti pentas diadakan di samping hadiah-hadiah untuk ahli yang bertuah.





Selain LISTAC, aktiviti Perpustakaan UTeM yang tetap terus dikenang ialah semasa mengadakan Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri dan Organisasi pada 23 hingga 25 Jun 2006. Program ini diadakan di Regency Hotel, Cameron Highlands dan ianya diselenggarakan oleh Southern Advance Corporation.





Sebenarnya sebagai ahli, aku juga mempunyai naluri yang sama dengan ahli-ahli yang lain. Aku sering mendengar luahan hati ahli-ahli yang lain yang inginkan suatu kelainan dalam beraktiviti.

Mereka ingin keluar dari rutin kerja seharian, berkumpul, membawa keluarga masing-masing, makan-makan dan kalau boleh keluar sebentar dari Melaka sambil menikmati keindahan negeri-negeri lain di Malaysia ini. Yang pasti mereka tentu ingin mengabadikan kenangan itu di dalam lipatan memori masing-masing atau di mana sahaja yang boleh.

Semoga AJK LISTAC yang sedia ada mampu membawa perubahan yang lebih positif demi memenuhi kehendak ahli-ahlinya.

Khamis, Mac 25, 2010

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-7

Petang tadi berlangsungnya Mesyuarat Agung Kelab Staf Perpustakaan UTeM (LISTAC). Seramai 40 orang ahli kelab hadir di lokasi mesyuarat iaitu di Bilik Tayangan 1, Aras 2, Perpustakaan Kampus Induk, Durian Tunggal. Mesyuarat Agung kali ini tiada pemilihan jawatankuasa baru kerana jawatankuasa sedia ada akan memegang jawatan masing-masing selama 2 tahun. Oleh itu mesyuarat agung ini sekadar membentangkan penyata kewangan dan aktiviti serta membincangkan usul-usul baru daripada ahli.

Pukul 2.45 petang, Salleh Mohd Noor selaku pengacara majlis memulakan aturcara dengan meminta Mohd Mawardi Badruddin memimpin doa majlis. Pukul 3.00 petang, beliau menjemput Pengerusi LISTAC, Harulrizam Mohamed untuk menyampaikan kata alu-aluannya.

Pengerusi LISTAC dalam ucapannya meminta semua ahli memahami bahawa ahli jawatankuasa yang dilantik berusaha sedaya upaya menjalankan aktiviti yang dirancang namun begitu ahli juga diminta memberikan buah fikiran dan kerjasama dalam menjayakan aktiviti tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya sesetengah aktiviti LISTAC yang memerlukan kos yang besar seperti lawatan sosial, boleh dibuat potongan gaji. Harulrizam juga meminta ahli membezakan di antara kerja-kerja jabatan dengan aktiviti kelab dan meminta ahli dapat terus memberikan sokongan kepada jawatankuasa sedia ada.

Pukul 3.05 petang, Puan Hajjah Faridah Hj. Md. Amin, Penasihat LISTAC dijemput memberikan ucapan. Di dalam ucapannya, beliau menjelaskan tujuan sebenar mengadakan aktiviti LISTAC ialah untuk mengelakkan ahli daripada terkongkong dengan rutin kerja seharian. Beliau mengingatkan ahli, peranan mereka dalam menjayakan aktiviti kelab tidak terletak di bahu ahli jawatankuasa sahaja sebaliknya turut melibatkan semua ahlinya. Beliau meminta pandangan dan kerjasama daripada ahli-ahli demi kemajuan LISTAC. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada setiap individu yang telah menjalankan tugas dengan jayanya dengan harapan kerja yang dibuat selari dengan niat yang betul dan ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Tayangan montaj menyusul selepas ucapan Penasihat LISTAC pada pukul 3.15 petang. Montaj ini memaparkan kronologi aktiviti LISTAC dan disediakan oleh Shazley Sahibuddin.

Pukul 3.40 petang, bermulanya Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-7 di mana pembentangan dan pengesahan minit Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-6 dijalankan. Beberapa kesilapan pada minit lalu diperbetulkan. Seterusnya pembentangan Laporan Bendahari, Laporan Biro Kebajikan dan Sosial dan juga Laporan Biro Sukan & Rekreasi.

Biro Sukan & Rekreasi mencadangkan supaya kutipan sejumlah RM10.00 seorang dibuat bagi menampung bayaran aktiviti sukan yang disertai ahli LISTAC.

Beberapa usul dikemukakan antaranya ialah mengadakan jualan terutama semasa Pesta Konvokesyen dan penyediaan mesin vending bagi menjana pendapatan. Usul lain ialah mengadakan taska bagi kemudahan ahli kelab dan juga staf UTeM di mana usul ini boleh dipanjangkan kepada pihak universiti untuk tindakan selanjutnya.

Usul seterusnya daripada ahli LISTAC ialah ahli mengharapkan supaya setiap aktiviti yang dijalankan perlulah melibatkan semua ahlinya. Usul terakhir pula meminta supaya LISTAC berdaftar sebagai satu pertubuhan yang rasmi.

Mesyuarat Agung LISTAC ini selesai pada jam 4.50 petang dan semua ahli dijamu dengan jamuan ringan.