Jumaat, 19 Mac 2010 merupakan hari terakhir kami di Perak. Anak-anak bangun lewat kerana masih keletihan. Di hujung katil, Ida sudah memulakan operasinya berkemas-kemas dan memasukkan pakaian ke dalam beg.
Pukul 10.00 pagi, setelah dikejutkan, seorang demi seorang anak bangun dan masuk ke bilik mandi. Akhirnya setelah bersarapan, kami sekeluarga check-out dari hotel pada jam 11.45 pagi.
Sebenarnya aku memberi pilihan kepada anak-anak sama ada mahu ke Pulau Pinang atau ke Cameron Highland sebaliknya mereka memilih untuk melawat tempat-tempat menarik di Negeri Perak.
Aku bersetuju. Akhirnya aku memandu mengikut jalan lama menuju ke Simpang Pulai dan singgah di Batu Gajah. Di sini kami melawat Kellie Castle, sebuah bangunan lama yang dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernama William Kellie Smith.
Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Mengikut sejarah, tukang-tukang binaan bangunan tersebut juga dibawa khas dari Madras. Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia itu juga dilengkapi lif manakala tingkat kedua pula dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen. Aku dan anak-anak hanya menaiki hingga tingkat kedua sahaja.
Kemudian selepas bergambar, kami meneruskan perjalanan melalui Seri Iskandar, Kampung Gajah dan singgah di Bandar Teluk Intan. Kami akhirnya menjamu selera di salah sebuah gerai di Medan Selera Teluk Intan. Selesai makan, kami singgah di Menara Condong Teluk Intan. Tiada bayaran dikenakan. Pelawat hanya diminta mengisi nama pada buku pelawat yang disediakan oleh petugas.
Menara Condong Teluk Intan ini telah dibina oleh seorang arkitek berbangsa Cina bernama Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar di samping berfungsi sebagai jam. Menara ini kini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air namun jam pada bangunan tersebut masih lagi berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit. Kawasan sekitar menara diturap dengan bata dan dijadikan sebagai plaza untuk pelbagai aktiviti di sama ada aktiviti rasmi atau tidak rasmi.
Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan arkitek itu yang telah membina menara tersebut. Sebenarnya bangunan tersebut telah didirikan di atas struktur tanah yang lembut di samping terdapat bebanan tangki yang menakung air yang menyebabkannya condong sedikit ke arah barat laut.
Pukul 4.15 petang, kami meninggalkan bandar Teluk Intan dan singgah di pekan Bidor untuk membeli buah-buahan. Pelbagai jenis buah-buahan dijual seperti jambu batu, jambu air, cempedak, mangga, limau bali dan juga petai. Sewaktu duduk di dalam kereta menunggu Ida dan Mak Munah membeli buah-buahan, tiba-tiba cermin pintu aku diketuk. Aku terkejut melihat seorang wanita Cina separuh umur menolak basikalnya sambil menunjukkan bungkusan plastik di atas basikalnya.
"Encik, encik, mahu beli ke..." sapa wanita itu.
"Apa tu?" tanya aku.
"Keledek..manyak sedap ooo..mau, angkat. Lapan linggit..." pujuk wanita itu lagi dalam pelat Cina.
"Tak apa. Saya tak mau..," balas aku lagi.
"Angkatlah, kasi potong, anam linggit, angkatlah..", rayunya lagi.
"Tak apa. Saya memang tak mau...," jawab aku lagi.
Wanita tua itu kelihatan hampa dan berlalu pergi untuk mencari pelanggan yang lain pula. Barangkali beliau mengharapkan ada keuntungan di senja hari jika menjualnya terus kepada pelanggan terutama orang luar.
Sebaik Ida dan Mak Munah memasuki kenderaan, akupun memulakan pemanduan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan. Kami singgah di Hentian R&R Ulu Bernam untuk menunaikan solat Asar. Sementara menunggu Maghrib, kami duduk di meja yang disediakan dan memesan makanan seperti roti canai, nasi lemak dan sebagainya. Aku melayan anak-anak bermain-main di taman permainan berhampiran.
Selepas solat Maghrib, kami meneruskan perjalanan dan singgah di rumah Farok, biras aku di Putra Height, USJ. Kami bercadang bermalam sehari dua di sana. Pukul 1.00 pagi, aku, Arif, Ifa dan Farok ke Uptown Shah Alam untuk meninjau kalau-kalau ada barangan yang memenuhi keinginan kami. Kami balik semula ke rumah pada jam 3.20 pagi.
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
13 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan