Isnin, Jun 29, 2009

Imbasan : Perpustakaan UTeM Kampus Durian Tunggal 2005-2009

Perpustakaan UTeM Kampus Durian Tunggal mula beroperasi pada tahun 2005 selepas perpindahan daripada Kampus Sementara di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. Memandangkan dua buah fakulti iaitu FKE dan FKEKK telah berpindah ke Kampus Durian Tunggal, maka perpustakaan cawangan ini ditubuhkan bagi memudahkan pelajar mendapatkan bahan rujukan dan membuat tugasan dengan selesa.

Bangunan ini terletak di salah sebuah bangunan FKEKK, yang dipinjam untuk dijadikan perpustakaan agar pengguna daripada kedua-dua fakulti ini mendapat manfaatnya. Perpustakaan ini tidak seperti perpustakaan di Kampus Industri yang beroperasi sehingga 11.00 malam sebaliknya memberikan perkhidmatan sehingga jam 5.00 petang.

Kini perpustakaan ini bakal ditamatkan operasinya dan koleksi perpustakaannya akan disatukan dengan koleksi perpustakaan di Kampus Induk, Durian Tunggal. Ia juga bakal menjadi sebahagian daripada kenangan di UTeM.









Imbasan : Perpustakaan UTeM Kampus Industri 2005-2009

Perpustakaan UTeM mula memberikan perkhidmatan pada September 2005. Ia merupakan kesinambungan daripada perkhidmatan perpustakaan di Kampus Sementara di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. Terletak di Tingkat 2 di Bangunan Akademik atau dikenali sebagai bangunan hijau, ruang yang diperuntukkan agak selesa. Bangunan ini disewa daripada CUBIC dan kemudahan yang dapat disediakan agak terhad kerana ruangnya sederhana besar. Kini perpustakaan di ambang perpindahan kali kedua.

Menjelang Julai 2009, operasi di bangunan ini bakal ditamatkan dan akan beroperasi di Kampus Induk, Durian Tunggal selepas perpindahan. Kini Perpustakaan UTeM di Bangunan Akademik, Kampus Industri akan turut menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.









Imbasan : Pengalaman Perpindahan Kampus

Bila berlaku perpindahan, semuanya akan bergerak mengikut jadual yang disediakan. Tempoh perpindahan juga agak singkat agar perkhidmatan kepada pengguna perpustakaan dapat diberikan semula.

Begitulah ragamnya sewaktu perpindahan dari Kampus Sementara ke Kampus Industri. Tempoh diberikan seminggu. Jadi masing-masing bertungkus-lumus dan berlumba-lumba untuk ’packing’ barang-barang kepunyaan mereka dan juga unitnya.

Kini saat-saat perpindahan datang lagi. Semoga perpindahan ini akan berjalan lancar seperti mana yang telah dijadualkan.















Imbasan : Perpustakaan KUTKM Kampus Sementara 2000-2005

Perpustakaan KUTKM ini ditubuhkan pada tahun 2000 seiring dengan penubuhan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM). Terletak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, ia terletak di antara deretan rumah kedai yang disewa daripada Metacorp dan diubahsuai untuk dijadikan perpustakaan. Berfungsi bagi menyediakan perkhidmatan dan koleksi untuk warga KUTKM terutama pensyarah, staf sokongan dan juga pelajar, ia kini menjadi sebahagian daripada kenangan. Perpustakaan ini berpindah ke Kampus Industri pada bulan September 2005.