Khamis, Mac 25, 2010

Persekitaran Dan Tabiat Membaca Kanak-kanak

Persekitaran sesuai mampu galak tabiat membaca kanak-kanak
Oleh Mohd Mahzan Awang

Berita Harian, 24/03/2010
Golongan dewasa mesti perbanyakkan bahan bacaan tambahan, medium lebih baik bantu remaja peroleh ilmu pengetahuan

Realitinya, membaca adalah budaya di kalangan masyarakat negara maju seperti Jepun dan United Kingdom. Justeru, ramai yang percaya bahawa kemajuan sesebuah negara, lahir daripada tabiat membaca tanpa melihat faktor sejarah dan budaya kerja mereka.
Ramai juga cuba membandingkan tabiat membaca di kalangan masyarakat Barat dengan masyarakat di Malaysia. Lalu, kesimpulan salah dibuat iaitu masyarakat Barat lebih pintar kerana mereka rajin membaca. Walaupun memang benar membaca adalah antara saluran meningkatkan kepintaran, wujud saluran lain yang turut menyumbang kepada kepintaran termasuk berdiskusi dan membuat refleksi pemikiran. Kekecewaan lazimnya timbul apabila kita meneliti statistik buku yang dibeli dan dipinjam daripada pusat sumber. Data menunjukkan bahawa aktiviti membaca di Malaysia masih tidak memuaskan. Apabila data ini dibandingkan dengan data aktiviti membaca di negara Barat, akan menambahkan lagi rasa kecewa. Hakikatnya perbandingan ini tidak seimbang. Memahami tabiat dan aktiviti membaca memerlukan lensa sosio-budaya setempat.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Barat bersifat individualistik dan lebih cenderung untuk hidup dalam keluarga kecil. Banyak masa diluangkan dengan keluarga kecil dan cara mereka bersosial tidak seperti kita bersosial di Malaysia. Oleh kerana cara hidup sebeginilah, mereka memerlukan satu medium untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

Kewujudan buku dalam keadaan budaya hidup mereka menjadikan membaca buku sebahagian daripada hidup mereka. Sebab itu jugalah, banyak permainan video, komunikasi maya serta pembelian secara atas talian (internet) menjadi budaya di kalangan masyarakat Barat. Situasi yang sama seakan-akan berlaku dalam masyarakat elit Malaysia terutama di bandar besar.

Jadi tidak hairan kalau kita melihat kanak-kanak yang belajar di sekolah elit mempunyai tabiat membaca yang tinggi tetapi jangan terkejut pula apabila melihat majoriti kanak-kanak lain menunjukkan tabiat membaca yang rendah. Keadaan ini berlaku kerana majoriti kanak-kanak tidak mempunyai masa untuk membaca bahan bacaan selain daripada buku akademik.
Perlu difahami bahawa kehidupan sebagai pelajar amat ketat dengan aktiviti persekolahan. Waktu pagi dan petang seorang pelajar adalah untuk persekolahan (akademik dan kokurikulum). Waktu malam pula untuk kerja sekolah, malah ada yang mengikuti tuisyen. Pada kebanyakan waktu aktiviti ini berlanjutan sehingga hujung minggu. Ini adalah realiti kehidupan pelajar di Malaysia.

Adalah tidak wajar meletakkan harapan tinggi kepada kanak-kanak untuk membaca bahan bacaan selain buku akademik sedangkan orang dewasa pula menghabiskan masa dengan aktiviti yang disukainya. Untuk memupuk minat membaca, golongan dewasa juga perlu menjadikannya budaya.

Kanak-kanak juga memerlukan masa untuk mempelajari kemahiran sosial yang lain ter-utama kemahiran berhujah, memberi pendapat, berkomunikasi dengan orang dewasa serta mempertahankan hak diri. Hakikatnya, minat membaca di kalangan rakyat Malaysia adalah memuaskan. Kalau tidak, masakan setiap tahun pencapaian dalam peperiksaan utama kebangsaan menunjukkan peratusan pencapaian membanggakan. Pastinya prestasi ini adalah hasil daripada kegiatan membaca di kalangan remaja.

Persidangan Buku Kanak-Kanak dan Remaja (22 dan 23 Mac 2010) amat perlu memahami realiti ini serta wajar untuk melebarkan fokus persidangan kepada sejauh mana golongan dewasa menyediakan persekitaran sesuai untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Ia wajar diberi perhatian kerana beberapa faktor.

Pertama, orang dewasa mempunyai keupayaan mengatur masa mereka sendiri berbanding kanak-kanak yang terikat dengan aktiviti persekolahan. Keduanya, ramai orang dewasa lebih gemar menghabiskan masa berborak kosong di kedai kopi (akhir-akhir ini ramai yang berminat berkumpul di kopitiam) serta restoran mamak.

Ketiganya, golongan dewasa mempunyai sumber kewangan. Adalah baik menyalurkan wang membeli buku daripada membeli rokok. Akhirnya, golongan dewasa terutama ibu bapa amat perlu meniru budaya Islam yang ditunjukkan oleh masyarakat Barat iaitu membaca buku cerita teladan kepada anak sebelum mereka tidur.

Oleh kerana anak membesar dalam persekitaran yang lazimnya banyak dicorakkan oleh golongan dewasa, dimensi kempen membaca dan perbincangan mengenai isu ini patut diberi fokus serta penekanan kepada golongan dewasa.

Mohd Mahzan Awang ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, UKM yang kini melanjutkan pendidikan peringkat PhD di Universiti Dundee, United Kingdom.

0 ulasan:

Catat Ulasan