Berita Harian, 5 Mac 2010 dalam ruangan Rencana memaparkan artikel berkaitan...
Kesedaran membaca semakin meningkat
Oleh Zaini Ujang
Tiba masa paradigma masyarakat Malaysia dianjak kepada kualiti, kategori dan penghayatan
RAKYAT Malaysia kini membaca purata lapan hingga 12 buah buku setahun berbanding hanya dua buah buku kira-kira tiga tahun lalu seperti yang diberitahu oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika melancarkan Kempen Mari Membaca 1Malaysia, Selasa lalu, di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Rais berkata, statistik juga menunjukkan 38 juta orang berkunjung ke perpustakaan di seluruh negara pada 2008 berbanding 21 juta pada 2007. Jumlah pinjaman buku di perpustakaan seluruh negara juga meningkat kepada 19.5 juta pada 2008 berbanding 12.6 juta pada 2007. Ini bukti budaya membaca semakin meluas di kalangan masyarakat. Rais turut menyatakan kepentingan perpustakaan untuk menjayakan hasrat menjadikan rakyat Malaysia lebih peka kepada perkembangan tahap membaca.
Jumlah penjualan buku juga menunjukkan peningkatan. Rais memberi contoh, jualan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2009 mencatatkan RM27 juta berbanding RM22 juta pada 2008.
Kenyataan itu tentu menggembirakan mereka yang prihatin terhadap tahap pembacaan di Malaysia, malah memberi harapan untuk industri buku melonjak ke tahap lebih baik pada masa depan. Selama ini industri buku di Malaysia lebih menjurus kepada bahan akademik untuk pelajar sekolah dan novel remaja. Penerbitan buku untuk khalayak pembaca lain masih belum memuaskan, kecuali buku terbitan khas yang disusuli dengan penganjuran pelbagai badan korporat.
Pada hemat saya, kita wajar mengucapkan tahniah kepada program membaca yang dijalankan secara menyeluruh oleh PNM, perpustakaan awam dan perpustakaan desa. Setiap tahun tidak kurang 8,000 program membaca dengan jumlah penyertaan semakin meningkat.
Usaha juga perlu diperluaskan untuk menjadikan pelbagai perpustakaan suatu jaringan perkhidmatan bersepadu yang lebih efisien dan mencapai sasaran menjadikan rakyat Malaysia menghayati budaya ilmu dan budaya inovasi. Kedua-dua budaya itu adalah sebahagian program pengisian 1Malaysia.
Selain PNM, banyak agensi lain termasuk swasta mempunyai kemudahan perpustakaan yang kaya pelbagai bahan bacaan khusus. Perpustakaan universiti khususnya mempunyai banyak kemudahan dan capaian maya dalam pelbagai bidang khusus yang boleh dikongsi bersama. Sebagai contoh Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) UTM telah mengambil inisiatif memperluas capaian maya untuk kemudahan semua alumni yang kini berjumlah lebih 125,000. Dengan biaya penyediaan bahan RM16.24 juta pada 2009 saja, PSZ berupaya menyediakan perkhidmatan menjangkaui keperluan warga kampus menerusi kemudahan maya.
Selari dengan Tahun Inovasi 2010 maka sudah sampai masanya kita beralih daripada paradigma "jumlah pembaca dan jumlah buku yang dibaca" kepada "tahap dan jenis pembacaan". Kita perlu menganjak daripada kuantiti kepada kualiti; daripada jumlah buku kepada kategori buku; daripada pembacaan kepada penghayatan.
Pada hemat saya, adalah lebih membimbangkan jika peningkatan statistik pembacaan dan jumlah jualan buku hanya membabitkan novel cinta remaja dan majalah hiburan. Tidak dinafikan novel cinta remaja boleh menarik minat generasi muda berjinak-jinak menghayati tabiat membaca dan mendampingi buku. Tidak dinafikan juga majalah hiburan membantu dari segi promosi produk hiburan tempatan.
Tetapi daripada perspektif kualiti keilmuan, peningkatan dalam aspek itu kurang membantu untuk menyegarkan budaya ilmu. Kita maklum bahawa sesebuah masyarakat maju ditunjangi penguasaan ilmu tahap tinggi, kemahiran khusus dan budaya ilmu yang sentiasa mendorong ke arah inovasi dan kreativiti. Kreativiti tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi semata-mata tetapi merangkumi juga bidang kemasyarakatan, kesenian, kebudayaan yang diolah berasaskan kefahaman ilmu.
Sudah sampai masanya, perbincangan kita tentang tahap membaca diperluaskan kepada pengkayaan bahan bacaan karya tempatan. Selama ini, novel dewasa dan bahan umum tentang politik, ekonomi, kesihatan dan pengurusan yang terdapat di rak utama kedai buku dimonopoli karya asing termasuklah dalam membahaskan isu berkaitan perkembangan tempatan.
Selama ini agensi awam seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysi (ITNM) dan penerbit universiti memainkan peranan utama menerbitkan karya tempatan. Penerbit swasta juga sudah menceburi karya ilmiah. Namun jumlah dan penembusan pasaran masih menjadi isu yang sehingga kini memerlukan inovasi baru untuk terus berkembang.
Memang ada rasionalnya cadangan Rais supaya tokoh dalam pelbagai bidang dijemput memeriahkan dan menyemarakkan program membaca. Memang resam masyarakat Malaysia suka mendengar dan mengikut saranan tokoh khususnya tokoh politik dan hiburan. Acara yang dihadiri tokoh sudah pasti akan dilimpahi pengunjung dan wartawan (sekurang-kurangkan akan mendapat liputan media).
Namun dalam meraikan tokoh jangan sampai tersasar kerana agenda utama ialah memartabatkan budaya ilmu, bukan sekadar menggalakkan masyarakat membaca, apatah lagi mendaulat ketokohan seseorang individu.
PROF. DATUK ZAINI UJANG ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penulis buku Motivasi dan Kaedah Membaca (1992)
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
13 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan