Ahad, Oktober 25, 2009

Bicara Kerjaya Sempena Hari Pelanggan PERPUSTAM

Aku sempat menghadiri slot Bicara Kerjaya sempena Hari Pelanggan PERPUSTAM di Teater Perpustam pada jam 3.00 petang, 24 Oktober 2009. Tiga orang penceramah dijemput iaitu Encik Ismail Manan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Puan Siti Haidah Md. Aziz daripada Perpustakaan UiTM Kampus Bandaraya Melaka dan Cik Roslinda Samsu, atlet lompat bergalah kebangsaan.

Encik Ismail membicarakan kerjaya dan kelayakan menjadi seorang anggota bomba serta bahagian-bahagian dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Menurut beliau menjadi seorang anggota bomba amat mencabar dan perlu mempunyai fizikal yang tegap. Menjadi anggota bomba juga perlu mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda jika ingin menjadi pegawai bomba.

Puan Siti Haidah pula memaklumkan kepada audien menjadi seorang pustakawan amat menyeronokkan. Ia tidak seperti yang pernah digambarkan oleh mereka sewaktu berada di bangku sekolah. Menjadi seorang pustakawan perlu mempunyai sifat suka membantu dan perlu mempunyai kemahiran mencari maklumat. Terdapat beberapa universiti yang menawarkan kursus-kursus berkaitan kepustakawanan seperti UiTM, UKM dan juga Unisel.

Bagi Cik Roslinda Samsu pula, menjadi atlet tidak memerlukan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi beliau menekankan keadaan fizikal manusia bila sudah berumur dan tidak berupaya, kerjaya atlet ini akan turut pudar. Beliau menyarankan agar seorang atlet perlu mempunyai segulung ijazah bagi membolehkan mereka mendapat kerja tetap. Cik Roslinda menarik perhatian audien dengan menerangkan ganjaran-ganjaran menarik jika seseorang itu mendapat pingat terutama di peringkat Olimpik.

Bicara Kerjaya ini tamat pada jam 4.45 petang. Sesungguhnya ianya merupakan satu program yang berguna dalam menarik minat pengguna terutama golongan remaja bagi membolehkan mereka memasang cita-cita ke menara gading.










0 ulasan:

Catat Ulasan