Memaparkan catatan dengan label bercuti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bercuti. Papar semua catatan

Isnin, November 30, 2009

Bertolak Ke Pantai Timur

Sebaik selesai bersembahyang Jumaat, aku bergegas pulang ke Alai. Aku dah berjanji dengan Ida dan anak-anak untuk bertolak ke Terengganu pada pukul 3.00 petang. Petang ini cuaca mendung dan hujan renyai-renyai. Aku diminta singgah di rumah Busu Jamil untuk mengambil barang-barang makanan di sana.

Setelah bersiap-siap dan setelah menunaikan solat Asar, kami bergerak. Jam ketika itu menunjukkan jam 4.45 petang. Kami melalui Selandar, Gemencheh, Pasir Besar, Palong, Bera dan singgah di Muazzam Shah, Pahang. Pukul 9.00 malam, selepas menikmati makan malam, kami menyambung perjalanan melalui Lebuhraya LPT, Cherating, melalui Kemaman, Dungun dan sampai di Kuala Terengganu pukul 1.00 pagi.

Sepanjang perjalanan melalui jalan pantai dari Dungun ke Marang, aku berhati-hati kerana permukaan jalan yang rosak. Di sana-sini kelihatan tar yang terkopek dan ini menyukarkan pemanduan. Silap-silap boleh kemalangan.

Kesian aku melihat anak-anak tidur di dalam kereta dalam keadaan tidak selesa. Tidur di dalam keadaan begini sudah tentu menyakitkan.

Sebaik sampai di Marang, aku mencari Hotel Seri Malaysia dan secara kebetulan memang ada bilik kosong untuk kami sekeluarga. Setelah berurusan di kaunter hotel, kami memasuki bilik.

Dan malam itu dapatlah kami sekeluarga berehat dengan selesa demi perjalanan keesokan harinya...


Rabu, Mei 06, 2009

Fun Drive Ke Port Dickson

Mengisi hari-hari cuti dengan aktiviti yang berfaedah memang menyeronokkan. Keseronokan ini akan lebih terasa jika ianya dilakukan secara berkumpulan.

Pada 1 Mei 2009, bersempena dengan cuti Hari Buruh, aku dengan rakan-rakan sekerja merancang untuk mengadakan 'fun drive' ke Port Dickson. Idea ini ditimbulkan oleh Harulrizam sewaktu kami tercari-cari apakah aktiviti yang boleh dibuat semasa cuti nanti. Aku cuba bertanyakan apa yang dimaksudkan dengan 'fun drive' lantas Harulrizam menyatakan bersiar-siar dan makan sendiri-sendiri. Aku faham le tu...

Seawal jam 10.00 pagi, kami berkumpul di Petronas Cheng. Pukul 10.40 pagi, apabila semua dah sampai, kami mula bertolak. Sejumlah 9 buah kenderaan berkonvoi untuk ke sana. Aku membawa anak-anak (isteri tidak mengikuti), Harulrizam & awek, Rahman
dan isteri, Mahadir dan isteri, Mawardi, Noraini, Hasliza, Afiz dan Ustaz Azman & awek. Kami berhenti di sebuah gerai makan di Sungai Tuang, Masjid Tanah untuk menunggu Ustaz Azman.

Pukul 11.00 pagi, apabila semua dah berkumpul, kami memulakan konvoi ke Port Dickson. Dari Pangkalan Balak, kami melalui Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi, Pasir Panjang dan sampai di Batu 8, Teluk Kemang.

Wah, padatnya. Ramai yang bercuti di sini. Kami mencari-cari tempat untuk berkelah tetapi semuanya penuh. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkelah di Batu 4, belakang Pusat Latihan NUBE. Di sini pun ramai orang.

Sebaik sampai, masing-masing mengambil peranan. Ada yang menyalakan api dan memasukkan ranting kayu untuk memasak barbecue. Ada yang memasang khemah. Ada yang memotong buah-buahan dan berbagai lagi. Selepas itu, masing-masing merendamkan diri ke dalam air. Waktu ini air surut dan sambil merendamkan badan, kami berbual-bual.

Kira-kira jam 6.30 petang, masing-masing bersiap-siap untuk pulang. Walaupun penat, tapi 'fun drive' ini menyeronokkan.

[Maaf, tak sempat nak masukkan caption dan susunan foto ini tidak mengikut kronologi masa]