Isnin, September 13, 2010

Hari Raya Aidilfitri - Hari Ketiga

Ahad, 12 September 2010. Diam tak diam dah masuk hari ketiga aidilfitri. Pukul 1.45 petang kami sekeluarga bergerak ke Kesang Tua, Jasin kerana menghadiri majlis perkahwinan Norashikin, anak perempuan Busu Mail. Melalui jalan lama Air Molek-Tehel-Bemban, kami sampai pukul 2.10 petang.

Sewaktu sampai, kedengaran paluan kompang menandakan rombongan pengantin lelaki baru sahaja sampai. Kedua mempelai disandingkan di atas pelamin. Pengantin lelaki ini khabarnya dari Pahang.

Antara yang kelihatan di majlis perkahwinan ini ialah Zaki sekeluarga, Yamin, Daud dan beberapa orang lagi dari Kampung Alai. Busu Mail ni memang rapat dengan orang Kampung Alai sebab tu bila buat kenduri-kendara memang dia akan jemput orang kampung. Lagipun kampung ni aktiviti kemasyarakatannya memang baik.

Setelah menjamu selera, kami tiga buah keluarga, aku, Zaki dan Sharif bertolak dengan tiga buah kenderaan ke Melekek untuk menziarahi balu Tok Merah. Pukul 4.05 petang kami sampai di Teratak Merah melalui jalan Kesang Pajak-Durian Tunggal-Alor Gajah.

Sewaktu kami tiba, ramai anak cucunya yang sedang bersiap-siap untuk pulang ke destinasi masing-masing kerana keesokan harinya ada yang akan mula bekerja. Tok Merah ni memang ada perkaitan rapat dengan Arwah Haji Atip, bapa mertua aku dari segi salasilah keluarga. Anaknya, Datuk Harun merupakan bekas CEO di salah sebuah anak syarikat Tabung Haji, Kuala Lumpur dan aku pernah menghadiri perkahwinan anaknya di Petaling Jaya suatu masa dahulu.

Rumah kayu ini terletak di atas bukit dan dikelilingi oleh pokok buah-buahan. Paling menarik ada kui atau tempat menyimpan padi yang pernah digunakan orang kampung bila bersawah padi. Masih utuh buatannya tetapi fungsinya kini hanya sebagai tempat menyimpan periuk belanga.

Kami dihidangkan bihun goreng dan kuih-muih termasuk kuih raya. Setelah berbual panjang terutamanya Mak Munah, akhirnya kami meminta diri. Setelah bersalaman, kami bergerak ke Bandar Alor Gajah.

Di Taman Seri Bayu, kami singgah di rumah Pak Long Sani. Beliau telah menetap di taman perumahan ini sudah agak lama tetapi tetap rapat dengan orang kampung Alai kerana masih ada adik beradiknya menetap di kampung tersebut. Jika ada majlis kenduri-kendara, Pak Long Sani sekeluarga akan turut hadir bila dijemput. Kata orang pertalian saudara tetap ada. Pernah suatu masa dahulu semasa mengadakan majlis perkahwinan, orang kampung Alai bergotong-royong memasak untuk jemputan.

Kami berbual panjang dengan anaknya berbagai isu dan sesekali aku tersenyum mendengar cerita mereka. Di sinilah dapat berkongsi pengalaman masing-masing tidak kira apapun isu dibangkitkan. Kami dihidangkan kuih cucur badak dan juga popia goreng. Jam 7.00 malam kami bergerak pulang kerana pada sebelah malam, Hidhir akan mengadakan rumah terbuka.

Aku singgah di rumah Mak Bedah kerana Arif dah berjanji untuk bermain futsal dengan sepupu-sepupunya di Bukit Baru ada jam 8.30 malam. Nak tak nak singgah juga. Tunggu punya tunggu, dah pun 11.00 malam barulah anak bujang aku ni pulang. Jadi hasrat nak ke rumah terbuka terbantut. Tetapi tidak mengapa kerana Ifa, Miza dan Alim aku 'kirimkan' sebagai wakil mengikut Sharif sekeluarga ke sana.

Hmm...aku rasa beraya begini lebih baik, lebih terancang. Smooth jer...






























0 ulasan:

Catat Ulasan