Sabtu, September 11, 2010

Hari Raya Aidilfitri - Hari Pertama

10 September 2010 bersamaan 1 Syawal 1431H. Lebih kurang jam 6.30 pagi, aku tersedar dari tidur. Aku lantas mengejutkan Ida dan anak-anak agar bersiap-siap sebelum memulakan destinasi kami di pagi raya ini. Masing-masing mula mencari bilik air dan membersihkan diri. Ida sibuk menggosok baju melayu dan mengenakan butang.Tahun ini kami memilih warna merah sebagai warna tema baju melayu.

Setelah mengenakan baju melayu berwarna merah hati, aku memakai sampin dan kemudian mengambil songkok di sisi dan meletakkannya di atas kepala. "Hmm...handsome gak...", bisik aku sendirian. Aku kemudian meminta anak-anak bersiap dan meminta mereka mengenakan pakaian yang telah digosok oleh Ida.

Pukul 8.15 pagi, aku, Arif dan Farok ke Masjid Alai untuk menunaikan sembahyang raya. Jemaah pagi itu memang ramai. Manakan tidak, ramai yang merantau dan pulang ke kampung semasa hari raya. Jawatankuasa masjid mengambil kesempatan meminta jemaah terutama perantau yang pulang beraya agar dapat menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menambah tabung masjid. Beberapa jemaah yang dipertanggungjawabkan mengutip sumbangan akan bergerak dari saf ke saf menghulurkan songkok yang diterbalikkan sebagai bekas untuk mengisi wang kutipan derma.

Kemudian solat raya dimulakan dan sebaik selesai, khutbah dibacakan oleh imam masjid. Sebaik selesai, jemaah berpusu-pusu keluar masjid untuk ke destinasi masing-masing seterusnya.

Kami pulang ke rumah Mak Munah. Di sana ramai kaum keluarga sudah menunggu untuk sesi fotografi. Sejak kebelakangan ini, sesi fotografi seperti suatu kemestian. Ini bagi memastikan setiap keluarga dapat berkumpul dengan ahli keluarga masing-masing di samping mengabadikan kenangan di pagi raya untuk tatapan keluarga masing-masing.

Setiap keluarga akan bersalaman dengan Mak Munah. Bagi cucu-cucu yang bersalaman dengan beliau, Mak Munah akan menghulurkan duit raya kepada mereka. Kemudian anak-anak dan cucu-cucunya disediakan sarapan pagi berupa ketupat dan rendang, sambal serta kuih-muih.

Sepanjang masa, ramai tetamu yang hadir untuk bersalaman dengan Mak Munah. Beliau dikira sebagai ketua keluarga dan anak-saudara akan mencarinya untuk memohon kemaafan.

Memandangkan hari raya jatuh pada hari Jumaat, tengah hari tu aku, Arif, Rayyan dan Farok ke Masjid Alai sekali lagi untuk menunaikan solat Jumaat. Sebaik selesai, kami pulang untuk makan tengah hari dan bersiap-siap untuk ke destinasi seterusnya iaitu beraya di rumah Mak Bedah.

Pukul 3.00 petang, kami sampai di Peringgit. Aku sekeluarga walaupun lewat, mencari Pak Yup dan Mak Bedah untuk bersalaman dan memohon kemaafan. Seperti lazimnya, selain bersalaman, aku dan Ida juga akan menghulurkan sedekah atau duit raya sebagai sumbangan ikhlas. Kemudian kami bersalaman dengan ahli keluarga yang lain.

Kami sekeluarga akan menjamah ketupat dan rendang ayam Mak Bedah. Selain ketupat, lemang juga dihidangkan. Lemang ini dibakar oleh adik ipar aku, Man pada petang raya. Selepas menjamu selera, kami sekeluarga ke rumah Mak Ngah Norsiah di sebelah rumah Mak Bedah.

Mak Ngah Norsiah merupakan ibu tunggal yang kematian suami beberapa tahun yang lalu dan kini tinggal seorang diri. Aku bersalaman dan menghulurkan sumbangan ikhlas. Sambil menjamu selera, kami sekeluarga berbual-bual.

Lepas solat Asar, kami berkonvoi ke Rumah Awam Durian Tunggal untuk menziarahi Nek Jaharah. Nenek ini tinggal bersama dua orang cucu lelakinya di mana anak perempuan tunggalnya meninggal dunia tiga tahun lepas. Aku sempat bergambar kenangan dengan nenek ini untuk koleksi foto aku.

Pukul 6.45 petang, kami meminta diri dan meneruskan destinasi ke Taman Mutiara, Pokok Mangga untuk menziarahi ke rumah Busu Rosni. Memandangkan sudah masuk Maghrib, kami menunaikan solat di surau berhampiran.

Di rumah Busu Rosni, kami dihidangkan ketupat, rendang dan kuih-muih. Sambil makan kami berbual-bual mengenai pelbagai perkara. Pukul 8.30 malam, kami meminta diri dan pulang semula ke rumah Mak Bedah sebelum berangkat ke rumah Mak Munah.

Walaupun masih mengenakan baju melayu bersampin yang dipakai sejak pagi lagi, aku tetap bersemangat untuk terus beraya. Raya kali ini aku rasakan paling aman. Tidak perlu tergesa-gesa kerana raya bukankah sebulan.....



























0 ulasan:

Catat Ulasan