14 September 2010 merupakan hari kelima sambutan aidilfitri. Aku masih lagi bercuti kerana tahun ini giliran aku bercuti selepas hari raya. Anak-anak pun turut 'bercuti' walaupun sesi persekolahan sudahpun bermula. Mungkin masih dalam mood raya...
Lepas Zuhur, Yunus sekeluarga bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Selepas bersalam-salaman, mereka sekeluarga bergerak pada jam 2.30 petang.
"Salam bro...aku kat rumah org tua ko...", begitulah SMS yang aku terima daripada Fuad yang singgah di rumah Mak Bedah. Setiap tahun bila raya, Fuad pasti mengunjungi rumah Mak Bedah sebelum bertolak pulang ke Senawang. Ini kerana lokasi rumah itu senang diingati berbanding lokasi tempat tinggal aku sekarang.
Fuad merupakan rakan satu fakulti semasa kami di UiTM dahulu dan pernah menumpang di rumah Mak Bedah semasa menjalani latihan praktikal di UiTM Melaka sekitar tahun 1988. Beliau berasal dari Muar dan pernah bekerja di PORIM dan kini bertugas di Unit IT, Perpustakaan UNITEN.
Jarak rumah aku ke rumah Mak Bedah lebih kurang 7 km dan dalam masa 15 minit aku sampai di sana. Fuad, isteri dan empat orang anaknya dilayan oleh Mak Bedah. Sambil menjamah kuih raya, kami bersembang mengenai rakan-rakan yang lain.
Pukul 4.00 petang, Fuad meminta diri kerana menurut beliau, ada beberapa rumah saudara-maranya di Melaka akan dikunjungi sebelum bertolak pulang.
'Bila beli kereta baru ni?", soal aku bila mereka sekeluarga masuk ke dalam kereta Proton Exora berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah Mak Bedah.
'Baru lagi...bulan puasa hari tu...', balas Fuad sambil tersenyum.
Aku mengangguk sambil tersenyum kerana bila bilangan ahli keluarga bertambah sudah tentu menuntut beliau menukar kenderaan yang lebih selesa untuk perjalanan jauh.
Sebaik Fuad sekeluarga beredar, aku kembali ke Alai untuk mengambil anak-anak yang sudahpun bersiap-siap untuk beraya.
Pukul 5.30 petang, kami sekeluarga ke rumah Mak Bedah kembali. Dari sana, kami berkonvoi sebanyak empat buah kereta ke Pengkalan Rama Pantai untuk menziarahi Nek Limah. Sudah agak lama kami tidak ke sana. Alhamdulillah, Nek Limah dan Mak Besah masih sihat dan kami berbual tentang hal-hal keluarga.
Bila dah ramai, bawalah berapa jag air sirap, pasti akan licin. Masih terdapat kuih-kuih tradisonal seperti kuih bijan dan kerepek bawang buatan sendiri yang pernah aku rasa suatu masa dahulu dapat aku nikmatinya di sini.
Pukul 6.50 petang, kami beredar untuk menuju ke rumah Tok Hassan, adik bongsu Nek Limah di Taman Noorbar, Bukit Serindit. Ada cerita rupanya. Mira, anak adik aku, Aziah sewaktu reverse kereta Kancil telah bergesel dengan pintu pagar rumah Nek Limah. Itu yang buat kami sedikit lambat.
Pukul 7.10 malam, kami sampai di rumah Tok Hassan. Beliau kelihatan sedikit susut badannya berbanding dua tahun lalu sewaktu kami berkunjung ke rumahnya semasa hari raya. Namun begitu beliau tetap cergas dan peramah. Celotehnya memang tidak boleh tahan, ada sahaja cerita akan dibualkannya. Tok Hassan ini merupakan bekas guru yang pernah mengajar Ida semasa di SMA Sharifah Rodziah dulu. Siapa sangka kini menjadi saudara....
Selain kuih raya, kami dihidangkan mee goreng. Bukan main bersilat anak-anak buah aku ni bila dihidangkan makanan. Bak kata Tok Hassan, no way kalau tak makan tak boleh balik...begitulah pegangan orang-orang tua dahulu bila tetamu datang, kalau boleh mesti makan dahulu sebelum pulang. Biasanya sedikit berat sama ada nasi, mee atau bihun goreng.
Pukul 8.00 malam, kami bergerak. Aku terpisah dengan tiga lagi kumpulan yang lain kerana destinasi kami berbeza. Mereka ke rumah Nek Jaharah di Durian Tunggal sementara aku sekeluarga berhasrat beraya di rumah Mak Lang Chom di Taman Seri Duyung 2. Walau bagaimanapun aku singgah di rumah Mak Bedah dahulu untuk menunaikan solat Maghrib.
Pukul 9.00 malam, aku bertolak ke Taman Seri Duyung 2. Singgah sebentar di sebuah kedai kasut untuk membelikan Miza sepasang kasut sekolah. Kemudian kami sekeluarga dan keluarga Farok terus ke rumah Mak Lang Chom. Agak sukar mencari tempat meletak kenderaan di kawasan perumahan almaklumlah kunjung-mengunjung tetap berlaku pada waktu malam.
Mak Lang Chom ni asalnya dari Alai tetapi mengikut anak tunggalnya, Midah berpindah ke taman perumahan ini beberapa tahun lalu. Midah ni memang suka menghias rumahnya dan kalau kita tinjau ruang-ruang dalam rumahnya, pasti kita akan teruja dengan kreativiti hiasannya. Tetapi bagi mereka yang membawa anak kecil, mereka harus berhati-hati kerana jika dibiarkan, pasti pecah barang-barang hiasan tersebut yang merupakan barang-barang kaca dan seramik.
Kami dihidangkan dengan kuih raya dan juga serabai. Memang lembut serabai yang dicicah dengan kuah pisang. Jarang dapat jumpa serabai begini. Ida pun turut memuji makanan tersebut. Takkan sekadar memuji, cubalah...
Pukul 10.40 malam, kami bertolak pulang ke rumah. Syukur, alhamdulillah...dapat lagi aku bertemu dengan mereka yang lebih tua daripada aku di hari mulia ini. Aku mendoakan moga-moga dipanjangkan usia, dapat aku bertemu mereka pada raya tahun depan...
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
13 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan