Khamis, September 16, 2010

16 September Pelengkap Kemerdekaan

Penyertaan Borneo Utara, Sarawak, Singapura bentuk Persekutuan Malaysia













KETUA Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stephens mengisytiharkan kemerdekaan Sabah melalui Malaya di Padang Merdeka pada 16 September 1963. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri Malaya, Tun Abdul Razak (kanan) dan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama Tun Mustapha Datuk Harun (dua dari kanan).

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama Hari Kemerdekaan ke-6.

Namun, tarikh perisytiharan pembentukan Malaysia tertangguh disebabkan oleh beberapa isu antaranya bantahan Indonesia dan Filipina. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak. Selepas segala isu berjaya diselesaikan, perisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 melalui penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.

Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia dan tuntutan Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan kaum pada 1969.

Mulai 2010, kerajaan mengisytiharkan Hari Malaysia adalah cuti am di semua negeri di Malaysia.

Langkah pertama dalam penubuhan Malaysia bermula pada 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengemukakan satu cadangan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Malaya, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.

Cadangan ini secara amnya diterima penduduk Malaya dan Singapura, tetapi menimbulkan rasa curiga di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Filipina yang membuat tuntutan hak ke atas Sabah. Cadangan ini juga menerima tentangan dari Indonesia yang melihatnya sebagai satu langkah untuk menjajah Borneo.

Cadangan ini bagaimanapun mempunyai kesan langsung dalam mempercepatkan penggubalan perlembagaan di Sarawak, Sabah dan Brunei. Pilihan raya diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan di Sabah pada tahun 1962.

Satu suruhanjaya kerjasama Inggeris-Malaya yang diketuai bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, telah melawat Sabah dan Sarawak pada 1962 dan melaporkan kebanyakan negeri menyokong penubuhan Malaysia.

Bagaimanapun, tentangan yang berterusan dari Filipina dan Indonesia menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia.

Justeru, pada 16 September 1963, Malaysia telah secara rasminya dibentuk dan ia terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei pula menolak usul untuk menyertai Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.

Selamat Hari Malaysia...

Sumber: Berita Harian.

0 ulasan:

Catat Ulasan