Isnin, November 16, 2009

Aktiviti Semasa Kursus PINTAR Siri 3

13 November 2009
9.00 malam








Peserta kursus berkumpul di dewan bagi menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'UTeM Terbilang' dan seterusnya ucapan perasmian Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM.

Sesi Ice Breaking
10.00 malam



Memulakan sesi ini, fasilitator menceritakan kisah-kisah motivasi seperti kekuatan semangat dan lain-lain kisah yang pernah didengar sebelum ini seperti bagaimana Muhammad Ali menceburi bidang tinju dan lain-lain lagi.


Kemudian, di kalangan 45 orang peserta yang hadir, setiap peserta diminta mencari seberapa banyak tandatangan berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan di dalam kertas.



Yang paling banyak dikira paling popular dan akan dilantik sebagai penghulu dan penghuluwati yang kemudiannya dikenali sebagai Tun Perak dan Tun Fatimah.


Seterusnya peserta diminta berbaris mengikut nama, mengikut ketinggian dan saiz kasut. Akhirnya peserta diminta mengambil sekeping gambar yang diletakkan di atas lantai.



Gambar-gambar tersebut ialah batu, telur, besen, selipar dan songkok. Akhirnya lima kumpulan terbentuk berdasarkan gambar tadi di mana ianya menjadi simbol kepada kumpulan tersebut.


Aku termasuk dalam Kumpulan Telur.


Satu kumpulan dengan aku ialah Mohd Azmi Mat Said, Dr. Badrul Hisham Ahmad, Dr. Tay Choo Chuan, Suhaili Sallehuddin, Siti Rohana Omar, Mohd Radzif Abd. Hamid, Sharimllah Devi dan Azah Kamilah.



Berdasarkan simbol tadi, peserta diminta mengaitkan ciri-ciri yang ada pada simbol dengan (core values) universiti. selepas itu, semua pasukan membentangkan hasil perbincangan mereka kepada fasilitator.



Sebelum pulang ke bilik masing-masing, peserta lelaki dan perempuan bergandingan tangan mengikut kumpulan jantina masing-masing bersama para fasilitator menyanyikan lagu tema kursus iaitu 'Kasih Sayang' dari Kumpulan D'lloyd dan 'Gemuruh' dari Faizal Tahir sebelum diakhiri dengan salam semut.


14 November 2009


Pagi ni ada riadah dalam dewan. Senaman ringan tetapi memang berpeluh. Lepas senam pun nyanyi lagu 'Kasih Sayang' dan "Gemuruh".

Teambuilding 1 - "Blow The Vision"
9.00 pagi






Permainan ini memerlukan peserta secara berkumpulan membahagikan sekeping kertas mahjung kepada 100 keping yang lebih kecil. Setiap peserta diminta menulis 10 peranan mereka di universiti di atas 10 keping kertas tadi dan kemudian menggumpalkannya. Sebatang straw diberikan kepada setiap seorang bertujuan meniup gumpalan kertas ke atas sekeping kertas di atas meja. Sewaktu masa semakin hampir tamat, ada dua orang peserta kumpulan tiba-tiba meniup gumpalan kertas keluar. Dan sebahagian gumpalan kertas terkeluar.

Permainan ini sebenarnya menggambarkan jika di dalam organisasi, kita perlu berhati-hati dan peka kepada persekitaran di mana ada kemungkinan anasir-anasir tertentu yang mungkin boleh mengagalkan visi organisasi.

Teambuilding 2 - "Kemahiran Berakit Di Laut"
2.30 petang
















Permainan ini menuntut setiap kumpulan bekerjasama. Setiap kumpulan diberikan 6 pelampung (tayar), 2 batang buluh dan 4 keping papan serta tali rafia. Keenam-enam pelampung diikat dengan rapi. Kemudian 4 keping papan diletakkan di atas 2 batang buluh tadi dan diikat. Akhirnya buluh diletakkan di atas pelampung. Sebelum berakit, semua peserta diminta memakai jaket keselamatan. Kemudian diadakan water level confidence bagi memastikan peserta jika berlaku apa-apa musibah tetap akan selamat. Kemudian, semua kumpulan menolak rakit masing-masing dan mula mengayuh menggunakan pendayung yang disediakan. Kumpulan aku paling corot. Janji selamat pergi dan balik. Perjalanan yang diambil kumpulan yang terawal sampai ke pantai ialah 25 minit manakala kumpulan terakhir pula ialah 32 minit. Permainan ini dibuat semasa air laut pasang dan kami semua terpaksa menyiapkan rakit walaupun ketika itu hujan renyai-renyai.

Dalam permainan ini ianya menggambarkan bagaimana bekerja di dalam satu pasukan di di dalam organisasi di mana jika ada ahli yang tidak memainkan peranan, tentu mereka akan ketinggalan dan ini merugikan organisasi.

9.00 malam

Sesi refleksi diadakan bagi mengetahui perasaan peserta semasa berakit.

Teambuilding 3 - Kemahiran Komunikasi dan Kepimpinan
"Jerangkap Samar"
10.00 malam






Di dalam dewan, di beberapa bahagian dewan diletakkan beberapa buah kerusi yang diikatkan tali dalam bentuk zig zag. Kemudian botol-botol minuman diletakkan di antara kerusi serta paku. Setiap kumpulan perlu melepasi halangan.

Setiap peserta akan melalui 3 pusingan dengan matanya ditutup penutup mata hitam. Seorang daripada ahli kumpulan akan menjadi orang yang akan mengarahkan peserta kumpulannya melepasi halangan. Pusingan pertama, peserta akan mendengar kod daripada rakan mereka seperti bunyi beep dan sebagainya. Pusingan kedua, peserta hanya mendengar arahan dan pusingan ketiga, boleh berkomunikasi dengan rakan tadi. Jika peserta terlanggar tali atau terpijak botol, ia dikira akan terkeluar daripada permainan dan batal.

Permainan ini menggambarkan bagaimana komunikasi di dalam sesuatu organisasi jika tidak jelas boleh merosakkan imej organisasi. Keterbukaan amat penting dan komunikasi perlu jelas dan tidak mengikut perspektif sendiri.

15 November 2009

Teambuilding
4 - "Menjulang Menara UTeM"
8.30 pagi

























Daripada 5 kumpulan asal, kini kumpulan-kumpulan bergabung menjadi dua. Kedua-dua kumpulan diminta menyiapkan sebuah menara berkembar yang ada bendera di puncaknya. Ketinggian menara lebih kurang 30 kaki. Beberapa batang paip PVC disediakan di samping tali rafia. Paip PVC disambungkan secara serentak dan dinaikkan setelah ianya tegap. Tali rafia diikat dan ditarik di kiri dan kanan paip tersebut. Berbagai-bagai idea dikeluarkan bagi memastikan matlamat tercapai. Setelah satu perempat kerja-kerja menaikkan menara berjalan, angin dan ketidakstabilan struktur menyebabkan menara ini tumbang.

Permainan ini bagi memastikan bagi mencapai sesuatu visi, perlu dibuat dengan perancangan yang rapi dan bekerjasama. Jika tidak ianya akan merugikan organisasi.

Kesimpulannya, Kursus PINTAR ini diadakan untuk mewujudkan 'budaya sepunya' dan semangat kekitaan di dalam organisasi melalui tiga konsep iaitu kekitaan, kebersamaan dan kebanggaan dalam membentuk matlamat 1 UTeM.

Kursus ini dianggap berjaya dan sekalung tahniah buat barisan fasilitator UTeM yang terdiri daripada Tuan Hj. Razali Abd. Jalil, Prof. Dr. Hj. Mohd Taib Dora, Muhamad Sopian Baharom, PM Dr. Hanipah Hussin, Ahmad Rozelan Yunus, Mohd Isa Mohd Dom dan Amir Aris. Sebelum ini PINTAR Siri 1 dan 2 dikendalikan oleh USM.

2 ulasan: