Isnin, November 30, 2009

Traffic Jam


Aku difahamkan jika mengikut jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kemaman akan berlaku kesesakan kerana masing-masing yang pulang beraya di kampung mereka di pantai timur pasti akan pulang pada petang itu juga. Aku boleh memilih jalan pantai atau melalui Jabor-Jerangau tetapi entah mengapa aku memilih jalan pantai.

Perjalanan tersekat-sekat dari Marang menghala ke Dungun dan kemudian lancar semula. Sebaik melepasi Kemasik dan menghala ke Kijal, kenderaan mula tidak bergerak. Hampir 3 jam di atas jalan yang aku kira jaraknya lebih kurang 5 kilometer sahaja. Kenderaan bergerak sedikit demi sedikit. Geram pun ada bila melihat ada pemandu yang memotong di kiri dan kanan jalan yang sesak itu.

Difahamkan berlaku runtuhan tanah di Bukit Kuang, beberapa kilometer dari Bandar Kemaman di mana jalan dibuka hanya selorong. Waktu menunjukkan pukul 11.00 malam dan Ida mula rasa cemas sebab aku harus sampai ke Melaka jam 4.30 pagi kerana aku perlu ke UTM Skudai untuk taklimat PTK esok.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berpatah balik. Sampai di simpang jalan ke Kg. Ibuk, aku memberhentikan kenderaan dan bertanyakan kepada salah seorang peniaga yang duduk di gerainya tepi jalan. Beliau melakarkan di atas sekeping kertas suratkhabar arah jalan alternatif ke bandar Chukai.

Sebaik mendapat maklumat tersebut, aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Akhirnya aku memusingkan kenderaan dan memasuki simpang ke Kg Ibuk dan bergerak sehinggalah berjumpa dengan jalan alternatif ke Chukai/Kuantan. Di kiri kanan jalan agak gelap, ladang kelapa sawit. Hanya ada beberapa kenderaan sahaja yang melalui jalan tersebut. Kami melalui Kg. Yak Yah, Kg. Bukit Takar dan Kg. Mak Cili dan terus ke Bandar Kemaman atau nama lamanya Chukai.

Sepanjang perjalanan aku melihat jam. Anak-anak ada yang sudah tidur di dalam kereta. Akhirnya aku berasa lega bila mana perjalanan kembali lancar. Melalui Cherating, aku menyusuri masuk ke Lebuhraya Pantai Timur dan keluar di Plaza Tol Gambang. Perjalanan diteruskan sehingga ke Muazam Shah dan melalui Bera, Palong dan akhirnya aku sampai di Melaka pukul 4.15 pagi.

Sebaik sampai, aku terus bersiap-siap memakai pakaian kerja dan terus memandu ke UTeM kerana di sana rakan sekerja Arman dan Rasida sudah menunggu untuk ke Skudai.

Bila memikirkan situasi berkenaan, kadang-kadang tension juga tetapi perjalanan hidup ini perlu diteruskan juga.

0 ulasan:

Catat Ulasan