Isnin, November 30, 2009

Adat Menyembah Pengantin

Lain padang lain belalang. Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menunjukkan kepelbagaian budaya antara negeri di Malaysia. Lain negeri lain pula budayanya. Di Terengganu, adat menyembah pengantin merupakan salah satu acara yang lazim dibuat ketika majlis perkahwinan.

Kalau di Melaka atau di negeri-negeri lain di pantai barat Semenanjung, cukai atau tol dikenakan. Nak masuk pagar, dah kena cukai, masuk pintu, kena lagi dan akhirnya nak duduk di atas pelamin, pun kena lagi. Biasanya, pengapit kepada pengantin akan berunding dengan mereka yang bertindak sebagai juru tol tadi dari segi jumlah cukai. Namun begitu, jumlah bayaran biasanya tidak penting kerana acara ini diadakan sebagai suka-suka sahaja bagi merapatkan hubungan di antara kedua mempelai.

Di sini adatnya lain pula. Kedua mempelai tadi diturunkan daripada pelamin dan duduk bersila di satu ruang di hadapan pelamin. Di sebelahnya disediakan satu bekas kosong berupa dulang kecil. Dimulakan dengan kedua ibu bapa mempelai tadi, akhirnya diikuti dengan ahli rombongan berselang-selang duduk di hadapan pengantin untuk mengucapkan selamat kepada kedua mempelai tadi. Bagi yang ingin bersedekah, mereka boleh meletakkan wang di dalam dulang tersebut. Tetamu yang mengucapkan selamat kepada mempelai akan diberikan bungkusan berupa cenderahati daripada kedua mempelai ini.

Selesai acara ini, sesi bergambar di antara kedua mempelai dengan ahli keluarga diadakan. Walau apapun gelaran yang diberikan kepada majlis begini, aku menganggap ianya tidak lebih daripada untuk merapatkan hubungan di antara kedua belah pihak. Yang satu meraikan dan satu pihak lagi diraikan. Semoga jodoh kedua mempelai hingga ke akhir hayat...







































1 ulasan: