Selasa, November 10, 2009

Perbincangan ISO di Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Hari Khamis lalu aku dimaklumkan bahawa satu lawatan ke Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI akan diadakan pada hari Isnin, 9 November 2009. Memang cadangnya nak bawa ramai tetapi kenderaan Toyota Innova milik UTeM ini hanya mampu menampung 7 orang penumpang sahaja. Mereka yang terpilih untuk lawatan ini selain aku ialah Shahar, Arman, Rasida, Fauziah, Mahadir dan Halim.

Perancangan awal bertolak dari UTeM pukul 7.00 pagi tetapi disebabkan menunggu Ustaz Azman yang masih tidak sampai, akhirnya kami bertolak pukul 8.15 pagi. Disebabkan ruang kenderaan terhad, Ustaz Azman menarik diri. Perjalanan ke
Tanjung Malim ini mengambil masa tiga jam. Kami sempat singgah di R&R Seremban untuk mengisi perut.

Pukul 11.00 pagi, kami sampai di Perpustakaan Tuanku Bainun. Kami disambut oleh beberapa orang pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Rusliza Yaacob. Sebenarnya perbincangan kami ialah berkaitan dengan ISO. Perpustakaan UTeM dalam proses untuk mengadakan ISO sendiri. So, tak salah kalau belajar dari mereka yang sudahpun ada ISO terutama dalam bidang kepustakawanan. Beberapa orang pustakawan daripada Perpustakaan Tuanku Bainun turut hadir seperti Cik Noriha, Puan Anizah dan Puan Wan Kartini. Perbincangan diadakan secara tidak formal dan saling bertukar pandangan. Kami turut dijamu dengan minum pagi dan makan tengah hari.

Sebelah petang kami menyambung perbincangan lagi. Rumusan daripada perbincangan, satu bengkel akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi bagi memberikan kefahaman tentang keperluan pendokumenan ISO ini.

Aku sempat merakamkan beberapa foto menarik hiasan dalaman perpustakaan di Perpustakaan Tuanku Bainun ini buat tatapan rakan sekerja di UTeM. Terima kasih kepada Rasida, ikhsan foto daripada kamera beliau juga. Banyak yang perlu dibuat di Perpustakaan UTeM bagi menceriakan suasananya dan jika dibuat perbandingan tentunya berbeza kerana tarikh kewujudan kedua-dua perpustakaan ini berbeza.

Pukul 4.30 petang, kami bertolak dari Tanjung Malim. Sepanjang perjalanan pulang, cuaca mendung dan hujan gerimis. Pemanduan kenderaan dibuat secara berhati-hati, maklumlah jalan basah. Akhirnya kami sampai di UTeM pukul 7.45 malam.

















































0 ulasan:

Catat Ulasan