Isnin, November 30, 2009

Majlis Pernikahan Hazwan-Syikim


Upacara Akad Nikah Hazwan di Kg. Gong Duek, Jertih.

Pukul 9.00 malam, sewaktu kami tiba di Masjid Kg. Gong Duek, bas ekspress yang membawa rombongan pengantin sudahpun ada di sana. Busu Jamil, Abang Man, Akup dan beberapa kaum keluarga terdekat ada di ruang letak kereta masjid berkenaan. Masing-masing menunggu Pak Imam menjalankan tugas menikahkan Hazwan.

Kami kemudian dijemput naik ke masjid. Kaum lelaki duduk berhadapan Pak Imam tetapi di belakang pengantin lelaki manakala pihak perempuan duduk bersebelahan tirai masjid. Mereka sekadar melihat dari jauh sahaja. Pak Imam melihat dokumen pengenalan saksi kedua-dua pihak. Aku adalah salah seorang saksi bagi akad nikah ini.

Agak panjang Pak Imam bercerita terutama mas kahwin berbentuk cek dan bukan tunai di mana pernah beliau mengalami suatu keadaan bila mana sesudah dinikahkan, cek yang nak ditunaikan itu cek tendang. Jadi katanya, lafaz tunai itu tidak boleh. Akhirnya Pak Imam menyarankan agar lafaz nikah yang paling mudah sahaja dan ini disetujui oleh Hazwan.

Dengan sekali lafaz sahaja, akhirnya Hazwan, anak sulung Busu Jamil ini sah menjadi suami kepada Syikim. Doa dibaca dan akhirnya setelah saksi-saksi menurunkan tandatangan masing-masing, Hazwan bersalaman dengan semua hadirin yang ada di dalam masjid. Lafaz taklik dibacakan dan didengari Syikim dari celah tirai masjid. Beliau kemudian menunaikan solat sunat dua rakaat sebagai tanda kesyukuran.

Setelah upah nikah diselesaikan, masing-masing berangkat ke rumah pengantin perempuan di Kg. Pasir Akar, hanya beberapa kilometer dari masjid berkenaan.

Di sana, para tetamu dijamu dengan hidangan yang enak tetapi sederhana. Masing-masing balik ke home stay pukul 11.00 malam.










0 ulasan:

Catat Ulasan