Jumaat, November 13, 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009

Majlis Penutup Festival Membaca 2009 anjuran Perpustakaan UTeM telah diadakan di Ruang Pengguna, Perpustakaan UTeM pada 12 November 2009. Majlis ini dihadiri oleh Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) mewakili Naib Canselor UTeM, Ketua Pustakawan, Hajah Faridah Md. Amin dan Pengarah Program Festival Bulan Membaca 2009, Zaidi Saad.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, para jemputan yang terdiri daripada staf fakulti, agensi luar, sekolah-sekolah dan IPT di sekitar Negeri Melaka.

Majlis ini adalah kemuncak daripada segala aktiviti yang diadakan oleh Perpustakaan UTeM sepanjang tahun di mana beberapa aktiviti telah diadakan sebelum ini antaranya pertandingan menulis esei, jumble sale, pameran agensi, pertandingan indoor game, pameran persatuan pelajar, pertandingan teka berat buku, pertandingan tulisan khat kreatif, Exploread, pertandingan kuiz membina minda, pertandingan bercerita buku kegemaran saya, Spell it Right, pertandingan mewarna dan juga mengadakan hari pelepasan denda.

Di dalam ucapannya, Hajah Faridah memaklumkan aktiviti bulan membaca ini diadakan setiap tahun tetapi ianya pertama kali diadakan di bangunan baru. Beliau mengharapkan agar aktiviti sebegini dapat menyemai tabiat membaca di kalangan warga kampus di samping dapat membentuk jati diri dalam mencapai minda kelas pertama. Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan aktiviti ini.

Professor Madya Muhammad Syahrir Johal, yang mewakili Naib Canselor UTeM semasa membacakan teks menyeru agar semua pihak sama ada pemimpin, golongan korporat, para akademik, agensi kerajaan, pelajar-pelajar dan juga masyarakat setempat dapat mengambil peluang mendapatkan ilmu dan mengamalkan budaya membaca. Masyarakat digalakkan membaca bukan sahaja dari bahan-bahan bercetak malah bahan-bahan di dalam internet. Beliau menyarankan agar semangat untuk mendapatkan ilmu itu harus dijadikan satu "budaya" yang luar biasa yang mampu meluas dan memperkayakan minda masyarakat.

Daripada 245 orang menyertai aktiviti-aktiviti Festival Bulan Membaca yang diadakan mulai 1 Oktober 2009, seramai 56 pemenang telah dipilih dan hadir dalam majlis ini. Hadiah-hadiah pertandingan disampaikan oleh ketiga-tiga tetamu di pentas. Majlis berakhir pada jam 5.30 petang.

























0 ulasan:

Catat Ulasan