Rabu, November 18, 2009

Ayah, Nak Monopoli!



Semalam ketika baru selesai kerja di pejabat, anak-anak menelefon meminta sesuatu. Mereka baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir tahun dan minggu terakhir persekolahan ini tiada aktiviti nak mereka dilakukan. Silibus dah selesai, buku-buku bantuan pun sudah dipulangkan dan kini guru-guru membenarkan murid-murid membuat aktiviti bebas. Kebanyakan rakan membawa permainan ke sekolah bagi mengisi masa terluang.

"Ayah, boleh belikan adik monopoli tak?" minta Ifa kepada aku.

"Iyelah, nanti ayah belikan", balas aku kepadanya.

Sekejap lagi Arif pula menelefon meminta aku membelikan permainan chess. Mungkin mereka sedang memikirkan apakah aktiviti yang bakal dijalankan semasa cuti sekolah nanti.

Petang itu, aku dan Ida ke Jaya Jusco untuk mencari barang keperluan. Di samping itu kami cuba bertanyakan kepada petugas di kaunter permainan sama ada mereka ada menjual permainan tersebut.

"Maaf encik, permainan monopoli dah habis" ujar petugas itu.

Selepas berbincang, kami ke Mahkota Parade kerana di sana ada sebuah kedai menjual pelbagai permainan. Sesampainya kami di sana, kami terus ke kedai permainan dan aku hampa kerana permainan monopoli tidak dijual di kedai tersebut. Aku ke Parkson dan akhirnya aku jumpa permainan monopoli tetapi banyak pula jenis monopoli.

"Ifa, monopoli mana yang Ifa nak ni?" tanya aku menerusi telefon bimbitku.

"Adik nak permainan yang gunakan kad kredit", pintanya lagi.

Puas aku mencari monopoli versi kad kredit yang diingini tetapi tidak jumpa juga. So, aku mengambil keputusan untuk pulang dan memaklumkan kepada Ifa, versi yang dia hendak tu tiada di sini.

Dalam pada itu terlintas di fikiran aku untuk cuba mencari monopoli ni di MPH Bookstore. Setelah berlegar-legar di dalam kedai, aku bertanyakan kepada pekerjanya.

"Encik, monopoli tu ada di sini. Ini yang terbaru sampai" katanya.

Setelah membelek-belek, sah itulah permainan monopoli yang dicari. Lega hatiku.

"Terima kasih, dik. Puas dah cari permainan ni, jumpa kat sini rupanya." ujar aku gembira.

Akhirnya pukul 9.00 malam, kami pulang ke rumah. Sebaik aku mematikan enjin kereta, berkejaran anak-anak mendapatkan kami dan setelah diketahui permainan monopoli yang dipinta itu ada di dalam beg plastik yang dipegang, bertalu-talu pipi aku diciumnya sebagai tanda terima kasih.

"Terima kasih, ayah", jerit Ifa.

"Ayah, terima kasih kerana belikan permainan ini" jerit Miza.

Kadang-kadang aku terfikir advance juga budak-budak sekarang. Permainan pun dah tak nak gunakan duit tapi nak gunakan credit card. Permainan sebegini bukanlah murah harganya sebaliknya aku mengharapkan ada aktiviti berfaedah dapat dibuat semasa cuti sekolah nanti.

Sekurang-kurangnya hajat anak-anak untuk mendapatkan monopoli dah tercapai tak seperti zaman kanak-kanak aku dulu.

1 ulasan: