Isnin, November 30, 2009

Traffic Jam


Aku difahamkan jika mengikut jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kemaman akan berlaku kesesakan kerana masing-masing yang pulang beraya di kampung mereka di pantai timur pasti akan pulang pada petang itu juga. Aku boleh memilih jalan pantai atau melalui Jabor-Jerangau tetapi entah mengapa aku memilih jalan pantai.

Perjalanan tersekat-sekat dari Marang menghala ke Dungun dan kemudian lancar semula. Sebaik melepasi Kemasik dan menghala ke Kijal, kenderaan mula tidak bergerak. Hampir 3 jam di atas jalan yang aku kira jaraknya lebih kurang 5 kilometer sahaja. Kenderaan bergerak sedikit demi sedikit. Geram pun ada bila melihat ada pemandu yang memotong di kiri dan kanan jalan yang sesak itu.

Difahamkan berlaku runtuhan tanah di Bukit Kuang, beberapa kilometer dari Bandar Kemaman di mana jalan dibuka hanya selorong. Waktu menunjukkan pukul 11.00 malam dan Ida mula rasa cemas sebab aku harus sampai ke Melaka jam 4.30 pagi kerana aku perlu ke UTM Skudai untuk taklimat PTK esok.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berpatah balik. Sampai di simpang jalan ke Kg. Ibuk, aku memberhentikan kenderaan dan bertanyakan kepada salah seorang peniaga yang duduk di gerainya tepi jalan. Beliau melakarkan di atas sekeping kertas suratkhabar arah jalan alternatif ke bandar Chukai.

Sebaik mendapat maklumat tersebut, aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Akhirnya aku memusingkan kenderaan dan memasuki simpang ke Kg Ibuk dan bergerak sehinggalah berjumpa dengan jalan alternatif ke Chukai/Kuantan. Di kiri kanan jalan agak gelap, ladang kelapa sawit. Hanya ada beberapa kenderaan sahaja yang melalui jalan tersebut. Kami melalui Kg. Yak Yah, Kg. Bukit Takar dan Kg. Mak Cili dan terus ke Bandar Kemaman atau nama lamanya Chukai.

Sepanjang perjalanan aku melihat jam. Anak-anak ada yang sudah tidur di dalam kereta. Akhirnya aku berasa lega bila mana perjalanan kembali lancar. Melalui Cherating, aku menyusuri masuk ke Lebuhraya Pantai Timur dan keluar di Plaza Tol Gambang. Perjalanan diteruskan sehingga ke Muazam Shah dan melalui Bera, Palong dan akhirnya aku sampai di Melaka pukul 4.15 pagi.

Sebaik sampai, aku terus bersiap-siap memakai pakaian kerja dan terus memandu ke UTeM kerana di sana rakan sekerja Arman dan Rasida sudah menunggu untuk ke Skudai.

Bila memikirkan situasi berkenaan, kadang-kadang tension juga tetapi perjalanan hidup ini perlu diteruskan juga.

Melawat Noor Arfa Batik di Chendering

Kira-kira pukul 2.00 petang, setelah jamuan dinikmati, rombongan pengantin lelaki berangkat pulang. Hazwan tinggal di rumah bapa mertuanya bersama isterinya.

Perjalanan kami ialah ke Kuala Terengganu untuk ke Noor Arfa Batik di Chendering. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 5.00 petang. Besar sungguh kilang batik ini. Showroom dan jualan batik di bahagian atas manakala di bahagian bawahnya ada ruang demonstrasi batik.

Setelah membelek-belek, akhirnya kami sekeluarga memilih baju batik yang berkenan di hati. Boleh tahan juga harganya tetapi ada juga diskaun. Pukul 6.30 petang, kami bergerak meninggalkan kilang batik berkenaan dan singgah di Marang untuk membeli keropok.






Makan Bersuap

Sebenarnya di mana-mana majlis perkahwinan pun, tetamu diraikan. Begitu juga dengan kedua pengantin ini. Sebelum menjamu selera, akan diadakan sesi bergambar dengan meletakkan hujung jari pengantin lelaki ke mulut pengantin perempuan bagi menyuapkan sesuap nasi. Begitulah sebaliknya.

Suasana begini memang manis nampaknya jika ianya tidak dibuat-buat dan datang dengan sendiri. Manisnya seperti semasa dalam tempoh pertunangan dulu. Adakah suasana begini boleh berkekalan. Jawapannya hanya kedua mempelai sahaja yang tahu...















Adat Menyembah Pengantin

Lain padang lain belalang. Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menunjukkan kepelbagaian budaya antara negeri di Malaysia. Lain negeri lain pula budayanya. Di Terengganu, adat menyembah pengantin merupakan salah satu acara yang lazim dibuat ketika majlis perkahwinan.

Kalau di Melaka atau di negeri-negeri lain di pantai barat Semenanjung, cukai atau tol dikenakan. Nak masuk pagar, dah kena cukai, masuk pintu, kena lagi dan akhirnya nak duduk di atas pelamin, pun kena lagi. Biasanya, pengapit kepada pengantin akan berunding dengan mereka yang bertindak sebagai juru tol tadi dari segi jumlah cukai. Namun begitu, jumlah bayaran biasanya tidak penting kerana acara ini diadakan sebagai suka-suka sahaja bagi merapatkan hubungan di antara kedua mempelai.

Di sini adatnya lain pula. Kedua mempelai tadi diturunkan daripada pelamin dan duduk bersila di satu ruang di hadapan pelamin. Di sebelahnya disediakan satu bekas kosong berupa dulang kecil. Dimulakan dengan kedua ibu bapa mempelai tadi, akhirnya diikuti dengan ahli rombongan berselang-selang duduk di hadapan pengantin untuk mengucapkan selamat kepada kedua mempelai tadi. Bagi yang ingin bersedekah, mereka boleh meletakkan wang di dalam dulang tersebut. Tetamu yang mengucapkan selamat kepada mempelai akan diberikan bungkusan berupa cenderahati daripada kedua mempelai ini.

Selesai acara ini, sesi bergambar di antara kedua mempelai dengan ahli keluarga diadakan. Walau apapun gelaran yang diberikan kepada majlis begini, aku menganggap ianya tidak lebih daripada untuk merapatkan hubungan di antara kedua belah pihak. Yang satu meraikan dan satu pihak lagi diraikan. Semoga jodoh kedua mempelai hingga ke akhir hayat...