Rabu, September 22, 2010

Majlis Bicara Ilmu

Selasa, 21 September 2010. Hari ini aktiviti Festival Membaca 2010 yang dianjurkan oleh Perpustakaan UTeM sudahpun bermula dengan aktiviti pertamanya iaitu Majlis Bicara Ilmu. Ia diadakan di Ruang Legar Bangunan Perpustakaan dan bermula pada jam 2.30 petang.

Program berbentuk forum ini menampilkan dua orang panel iaitu YM Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam dan Profesor Dr. Shahrin Shahib@Sahibuddin, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTeM. Pemudahcaranya ialah Amir Aris dari FPTT.

Tema Majlis Bicara Ilmu kali ini ialah Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi Negara: Realiti dan Cabaran.

Pengacara majlis, Salleh Mohd Noor memulakan majlis dengan menjemput Nik Syukran Muiz Rashid, staf perpustakaan untuk bacaan doa. Sebaik selesai, kedua-dua panel dan pemudahcara dijemput ke pentas bagi memulakan forum.

Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob memulakan forum dengan mempersoalkan tahap pembacaan masyarakat masa kini yang kian rendah. Menurut beliau, atas sebab itulah mengapa dalam era k-ekonomi ini masih wujud kempen galakan membaca. Beliau berpendapat punca masalah ini bertitik-tolak daripada sistem pendidikan di sekolah, universiti, masyarakat dan keluarga yang tidak menitikberatkan keperluan membaca.

Menurut beliau lagi, pembacaan dalam era globalisasi perlu diperluaskan skopnya di mana pembacaan bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat berbentuk khusus malah maklumat umum.

Bagi Profesor Dr. Shahrin Shahib pula, bila ditanyakan tentang inovasi, beliau menyimpulkan inovasi itu merupakan membuat sesuatu yang baru dibuat atau melakukan pembaharuan dalam kerja. Bagi beliau untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga, perlu ada ilmu dan inovasi. Menurut beliau lagi, pendapatan perkapita masyarakat suatu masa dahulu kurang daripada RM2000 dan untuk membolehkan pendapatan meningkat, mereka perlu mempunyai ilmu.

Ilmu membentuk manusia menjadi pemimpin dalam pelbagai aspek dan bertindak sebagai problem solver. Menurut beliau lagi, ilmu itu datangnya daripada pembacaan dan ilmu itu harus dikembangkan melalui budaya suka bertanya atau budaya ingin tahu dan ini akan merealisasikan maknanya.

Bila ditanya tentang ilmu, Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob berpendapat ilmu boleh diperolehi dalam bentuk maklumat yang dipakej semula. Katanya, bagi majikan, mereka perlukan sesuatu daripada pekerja baru iaitu ilmu untuk mengurus. Katanya lagi mereka yang kurang berilmu bermakna orang itu kurang membaca dan kurang budaya perpustakaan.

Melalui pengalamannya, rata-rata pemimpin yang berjaya hari ini adalah mereka yang menggunakan perpustakaan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat. Ini secara tidak langsung akan membentuk budaya ke perpustakaan. Menggunakan contoh pelajar masa kini, pelajar perlu menggunakan kemahiran pencarian maklumat melalui kaedah library skills/information skills yang disediakan oleh perpustakaan. Namun begitu budaya cut and paste yang diambil daripada internet masih berleluasa.

Profesor Dr. Shahrin Shahib berpendapat manusia perlu berilmu dan menguasai teknologi. Dengan memberi contoh negara Israel dan Korea Selatan yang maju kerana memartabatkan ilmu.

Negara Israel merupakan sebuah negara kecil yang kini memacu dunia melalui teknologi. Intel, katanya dibangunkan oleh Israel melalui penguasaan teknologi maklumat sebaliknya Korea Selatan bangkit daripada kemusnahan ekonomi akibat spekulasi matawang Soros. Dengan berilmu sesuatu bangsa akan dapat membangunkan sesebuah tamadun.

Menurut beliau, setiap orang perlu ada continuous learning dalam hidup dan penggunaan ICT contohnya perlu dalam pencarian maklumat secara online dalam dunia tanpa sempadan. Menurut Profesor Dr. Shahrin lagi, dalam Islam, ilmu perlu dicari dan ilmu itu sendiri merentasi semua bidang perkara. Tambah beliau, dengan berilmu dan berinovasi barulah boleh dilakukan transformasi.

Majlis kemudian diserikan dengan deklamasi puisi oleh Zaidi Saad dan bagi menarik perhatian peserta, diadakan juga cabutan nombor bertuah. Hadiah-hadiah berbentuk hamper disumbangkan oleh para pembekal buku.

Majlis yang dihadiri seramai hampir 100 orang ini tamat pada jam 5.10 petang. Turut hadir ialah Ketua Pustakawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Membaca 2010 dan Timbalan Ketua Pustakawan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana aktiviti berkenaan.

Aku kira majlis ini berjaya mencapai sasaran ditetapkan dan sekalung tahniah buat Arman dan ahli jawatankuasa Bicara Ilmu.

Sebelum pulang, kami sempat bergambar bersama Dato’ Profesor Dr. Raja Abdullah Raja Yaacob.










5 ulasan:

  1. Salam.

    En.Azman, terima kasih di atas kesudian memuatkan coretan perjalanan Majlis Bicara Ilmu dalam blog En. Azman...
    Mohon izin dr En. Azman untuk saya mengucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada pemudahcara & ahli panel,seluruh AJK Induk & AJK Pelaksana, para peserta,pembekal buku dan En.Zaidee dr Perpustam yang membuat liputan bagi majlis ini.
    Semangat kerjasama berpasukan telah membantu majlis ini berjaya dilaksanakan seperti yang dirancangkan.Semoga ianya berkekalan ke acara-acara lain yang bakal diadakan nanti.....
    Terima kasih sekali lagi....

    ARMAN MOHAMMAD

    BalasPadam
  2. Terima kasih kembali....jangan lupa lak tolong saya nanti....insya-Allah kerjasama begini amat diperlukan jika kita ingin berjaya...

    BalasPadam
  3. Ulasan yang menarik,saya pinjam 1 pic dari blog en azman.time program bicara tokoh nanti,encik azman bagitaula apa-apa yang boleh saya bantu.

    BalasPadam
  4. Insya-Allah...dalam ruang dan peluang yang ada, selagi diberikan nikmat oleh Yang Maha Berkuasa, sama-samalah kita berusaha melakukan yang terbaik. Semoga perancangan kita akan berjaya jika diizinkanNya...

    BalasPadam