"Beginilah..kami datang ni ada hajat..ingin merisik Yati..," jelas wakil lelaki.
"Norhayati.." sampuk Hj. Ayup atau Babah di kalangan anak-anaknya, membetulkan sebutan nama Yati, anak ke-10 daripada 12 orang adik-beradik itu.
"Kalau tidak ada yang punya, kami berhasrat untuk memancang tuan punya diri," balas wakil berkenaan.
Akhirnya Babah memandang kepada aku dan meminta aku bercakap bagi pihak beliau. Aku mengangguk tanda setuju walaupun peringkat awal aku ingin Babah sendiri yang bercakap sebagai tanda hormat.
"Seperti tuan puan sedia maklum, buat masa ini Yati ini masih belum ada yang punya...," balas aku kembali.
Beberapa perkara dibincangkan secara ringkas seperti jumlah hantaran dan tarikh pertunangan. Kedua belah pihak setuju untuk mengadakan perbincangan lanjut selepas daripada kunjungan tersebut.
"Kalau begitu, kita setuju, tarikh pertunangan ialah pada 1 Mei 2010, lepas Asar..," balas wakil lelaki.
Kedua pihak mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan tarikh dan masa yang ditetapkan wakil pihak lelaki itu.
"Di sini kami ada membawa cincin merisik...," jelas wakil berkenaan sambil menunjukkan sebentuk cincin di dalam bekasnya.
Ibu kepada pihak lelaki akhirnya menyarungkan cincin merisik ke jari manis Yati sebagai tanda bermulanya satu ikatan dengan Mohd Ridhwan Abdul Jalil, bekas rakan sekolahnya.
Doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran di atas sempurnanya majlis ringkas tersebut.
Akhirnya rombongan tadi dijamu dengan hidangan yang disediakan sebelum berangkat pulang pada jam 4.30 petang. Mak Bedah mengirim sebakul buah-buahan dan sebiji kek sebagai tanda mata untuk dibawa pulang rombongan tadi.
0 ulasan:
Catat Ulasan