Jumaat, Februari 19, 2010

Melawat Aziah di HKL


Hari Isnin, 15 Februari 2010 merupakan hari cuti umum. Hari ini ialah hari kedua sambutan Tahun Baru Cina. Semalam Azilah sekeluarga yang balik ke Melaka mencadangkan supaya semua ahli keluarga berehat dan bermandi-manda di kaki Gunung Ledang, Sagil. Kebetulan Azmi sekeluarga yang tinggal di Kelantan juga pulang bercuti. Tentu seronok bila sesekali dapat berkumpul beramai-ramai dan ahli keluarga semuanya bersetuju.

Petang semalam, Aziah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana pendarahan yang banyak. Khabarnya sudah seminggu begitu malah kadangkala terpaksa merangkak untuk naik tangga di rumahnya.

Mendengar perkhabaran itu, emak meminta pertolongan aku untuk melawat Aziah di HKL. Aku setuju. Yati dan Rozanah juga tidak ketinggalan untuk menyertai lawatan tersebut. Akhirnya perancangan bermandi-manda di Sagil terpaksa dibatalkan dan semua ahli keluarga ke Kuala Lumpur.

Ikut pelan asal, lawatan pukul 9.00 pagi tetapi emak masih sibuk di dapur. Maklumlah anak menantu ramai yang balik. Aku sempat melelapkan mata sebentar. Akhirnya pukul 11.00 pagi, kami bertolak ke Kuala Lumpur. Selain emak, abah, Ida, Rozanah dan anaknya serta Yati turut mengikuti lawatan ini. Anak-anak aku semuanya aku tinggalkan di Alai.

Sepanjang perjalanan, lebuh raya agak sibuk. Tidak kurang 4 buah khemah kecil pemantauan PDRM yang merekodkan kesalahan jalan raya disediakan.

Pukul 1.15 tengah hari, kami sampai di HKL. Selepas meletakkan kenderaan, kami ke tingkat 4, wad kecemasan. Secara kebetulan, Niza dan Kamarul juga baru sampai. Kami terus ke wad berkenaan dengan segera.

Aku melihat Aziah bersandar di katil. Dia kelihatan terkejut melihat kami semua melawatnya. Namun dia tersenyum menerima kunjungan kami dan menampakkan wajahnya yang sedikit bercahaya. Menurutnya, sudah dua beg darah dimasukkan ke tubuhnya. Dia berharap dapat keluar HKL sehari dua lagi. Kami bertanyakan tahap kesihatannya dan terus berbual-bual kosong.

Pukul 3.00 petang, kami meminta izin untuk pulang. Kami singgah di rumah Azilah di Cheras untuk makan tengah hari. Selepas solat Asar, kami bertolak pulang ke Melaka dan sampai pada jam 7.30 malam.

Sesungguhnya lawatan begini dapat merapatkan silaturrahim di antara ahli keluarga. Hidup mati sakit dan sebagainya adalah ujian Allah. Aku mendoakan semoga Aziah cepat sembuh.




0 ulasan:

Catat Ulasan