Ahad, 7 Februari 2010. Seawal jam 8.00 pagi, ibu bapa dan anak-anak mereka yang mengikuti Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran & Fardhu Ain telah berkumpul di ruang legar Kompleks Al-Azim Fasa 2 untuk mendapatkan beg berserta buku panduan dan rujukan daripada petugas masjid.
Aku yang sampai pada jam 8.30 pagi turut beratur untuk mendapatkan beg-beg tersebut untuk anak-anak aku Arif, Ifa dan Miza. Tahun ini Arif dan Ifa akan masuk tahap 6 manakala Miza baru memulakan tahap 1.
Pukul 9.00 pagi, taklimat mengenai perjalanan kelas pengajian tahfiz Al-Quran dan Fardhu Ain diadakan di Auditorium Al-Azim. Seorang petugas meminta pelajar-pelajar memenuhi kerusi di bahagian hadapan auditorium manakala ibu bapa di bahagian belakang. Ia bertujuan membolehkan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan rakan-rakan mereka di samping tidak mengganggu taklimat yang diberikan kepada ibu bapa nanti.
Ibu bapa dimaklumkan tentang peraturan kehadiran kelas, masa pembelajaran, peraturan pakaian dan sedikit mengenai modul pembelajaran. Berbanding tahun lepas, tahun ini ada sedikit perbezaan dari segi bilangan surah yang akan dihafal oleh pelajar.
Umpamanya Miza yang baru memasuki tahap 1 akan menghafal sejumlah 23 surah daripada Surah Al-Fatihah hinggalah Surah Dhuha. Bagi Arif dan Ifa yang berada di tahap 6 akan menghafal surah-surah ulangan daripada Surah Al-Lail hinggalah Surah An Nabaq, Surah Yasin, Surah Sajadah, Suratul Mulk, Surah Al-Insan dan Suratul Waqiah. Surah tambahan pula ialah Surah Al-Baqarah, Surah Ali-Imran dan Surah Al-Kahfi.
Selain hafalan surah-surah yang ditetapkan, pelajar juga akan diajar bab feqah dan juga tentang aqidah.
Pada tahun 2010, jumlah pelajar dihadkan sebanyak 500 orang manakala bilangan tenaga pengajar seramai 15 orang iaitu 6 orang ustaz dan 9 orang ustazah. Waktu pengajian dipinda dari jam 8.00 sebelumnya kepada 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Sesi kedua pula dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala sesi petang dimansuhkan. Kelas-kelas pengajian tahfiz ini dijangka bermula pada 20 Februari 2010.
Jumlah kelas bagi setiap sesi ialah 14 kelas dengan 20 orang satu kelas. Dalam sebulan sebanyak 8 kali pertemuan di antara pelajar dengan guru-gurunya iaitu setiap hari Sabtu dan Ahad.
Sehingga waktu taklimat diadakan, jumlah pelajar baru yang mendaftar berjumlah 206 orang manakala pelajar lama yang mendaftar kembali berjumlah 279 orang. Pelajar-pelajar ini dikehendaki memakai pakaian seragam berupa jubah panjang berwarna biru seperti yang ditetapkan oleh pengurusan masjid.
Datuk Hj. Mohammad bin HashimDatuk Hj. Mohammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Al-Azim, dalam taklimatnya mengingatkan ibu bapa yang ingin menarik diri dari program ini agar dapat menghubungi pihak pengurusan masjid bagi mengelakkan berlakunya salah faham status pelajar sama aktif atau sudah berhenti. Secara tidak langsung berlaku tunggakan yuran pelajar yang mana ianya digunakan untuk membayar gaji tenaga-tenaga pengajar.
"Gaji RM400.00 yang kita bayar bukanlah besar berbanding sara hidup masa kini. jadi saya berharap tuan-puan dapatlah menjelaskan yuran agar dapat kita melunaskan bayaran ini kepada guru-guru berkenaan," ujar beliau semasa taklimat.
Taklimat berakhir sejam kemudian. Aku bergegas ke Hospital Besar Melaka setelah mendapat panggilan telefon daripada Ida yang memaklumkan Ifa baru sahaja selesai mengambil gas. Perasaan aku lega bila melihat wajah Ifa kembali bercahaya.
Sebenarnya pada awal pagi sebelum menghadiri taklimat, Ifa mengadu tidak selesa dan sukar bernafas. Ifa yang sememangnya mengidap lelah, terus dibawa ke unit kecemasan untuk pemeriksaan. Sebaik Ifa mengambil gas, aku memaklumkan kepada Ida untuk menghadiri taklimat.
Dan hujung minggu aku kembali seperti biasa sebaik pulang dari hospital...
0 ulasan:
Catat Ulasan