Jumaat, Februari 19, 2010

Menikmati Melaka River Cruise


Sebaik sahaja aku sampai di rumah, Sharif sekeluarga yang tiba lewat petang tadi bertanyakan tentang River Cruise di Sungai Melaka. Katanya mereka sekeluarga sudah bersiap-siap untuk menaiki bot malam ini. Aku mengambil laptop dan terus mencari maklumat mengenainya di dalam internet. Sah. Jadual perkhidmatan bot ini sehingga jam 12.00 tengah malam.

Selepas solat Maghrib, kami dua keluarga bergerak ke Taman Rempah, dekat Pangkalan Rama. Selepas meletakkan kenderaan di medan letak kereta, kami terus membeli tiket. Tiket bagi dewasa ialah RM10.00 manakala tiket untuk kanak-kanak pula RM5.00. Sebanyak 13 keping tiket dibeli pada malam itu di mana 4 keping adalah dewasa.

Malam itu memang ramai pengunjung yang berhajat menikmati perkhidmatan bot ini. Mereka sanggup beratur panjang walaupun mereka boleh menikmati perkhidmatan ini pada hari-hari biasa. Aku sempat berbual dengan petugas yang menyemak tiket tentang kehadiran pengunjung yang begitu ramai dan menurut beliau jurumudi bot mereka seharian bertugas sehinggakan makan tengah haripun di dalam bot tersebut. Aku membalas kepadanya dengan menyatakan keadaan begini tidak selalu berlaku tetapi ia amat baik kerana sambutan begini boleh menambahkan pendapatan petugas-petugas bot dan secara tidak langsung kepada Negeri Melaka sendiri. Dia tersenyum tanda setuju.

Melaka River Cruise adalah perkhidmatan bot bagi menyusuri sungai Melaka bermula dari Taman Rempah di Jalan Tun Sri Lanang hingga ke muara sungai Melaka. Jarak perjalanan sejauh 9km dengan jangka masa 45 minit.

Sampai giliran kami, masing-masing bergegas masuk ke kerusi yang disediakan. Setelah penuh, jurumudi menggerakkan bot perlahan-lahan. Bot yang kami naik sentiasa berselisih dengan bot-bot lain yang penuh dengan muatan penumpang dari pelbagai bangsa.

Pemandangan sebelah malam dari bot sungguh menarik. Kelihatan rumah-rumah di Kampung Morten dan kampung-kampung lain yang berdekatan sungai terang-benderang. Di sana-sini lampu-lampu berwarna-warni menghiasi batu-batu di tebing sungai dan juga di ranting pokok. Ada juga kedai-kedai makan yang mengadap sungai dan sesekali pelanggannya melambai-lambaikan tangan ke arah penumpang di dalam bot ini.

Sebaik sampai di Dataran Sungai Melaka, bot berpatah balik perlahan-lahan menyusuri sungai hingga ke tempat asal di Taman Rempah. Aku melihat jam di tangan menunjukkan pukul 11.15 malam dan aku dimaklumkan untuk ke Crystal Bay untuk makan ikan bakar di sana.

Pengalaman menaiki bot di Sungai Melaka memang menyeronokkan. Pengalaman begini tidak dapat dinikmati di mana-mana dan di sini ianya berlaku kerana aku teringat slogan, Melaka, di sini segalanya bermula...


















2 ulasan: