Selasa, Februari 23, 2010

Perjalanan Ke IRC Carnival, UTP


Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor

Sepert biasa, jam 6.00 pagi aku dah terjaga. Selepas mandi dan solat Subuh, aku mengenakan pakaian dan bersiap-siap untuk check-out dari hotel. Pukul 7.30 pagi, aku dan Mahadir serta pemandu kenderaan universiti bergerak meninggalkan bandaraya Ipoh menuju ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Dalam perjalanan, kami singgah sebentar untuk bersarapan pagi di sebuah warung. Kemudian kami meneruskan semula perjalanan dan sampai di UTP untuk majlis perasmian IRC Carnival pada jam 9.00 pagi. Mujurlah majlis belum bermula. Kami ke kaunter pendaftaran dan kemudian mencari tempat duduk untuk tetamu di bahagian tengah Dewan Canselor, UTP. Rata-rata pelajar UTP dan juga pelajar-pelajar sekolah yang berdekatan.

Majlis bermula pada jam 9.10 pagi. Satu demi satu acara berjalan seperti yang dirancangkan. Tetamu kehormat ialah Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan pertama negara yang memberi ceramahnya pukul 10.30 pagi. Ceramah berlangsung kira-kira sejam. Kemudian ada lawatan ke tapak pameran.

Aku dengan Mahadir kemudian melawat Information Resources Center. Memang luas dan uniknya ialah rak-rak bukunya seperti bertangga atau pelantar minyak. Aku terserempak dengan Azman Hashim, KP Universiti Malaysia Kelantan dan berbual-bual dengannya. Kemudian aku disapa oleh Firdausiah, bekas pelajar praktikal yang kini telah bekerja di Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI. Akhirnya kami dijemput makan tengah hari oleh petugas. Meja kami bersebelahan dengan meja utama tempat di mana Datuk Dr. Sheikh Muszaphar menjamu selera dan lain-lain jemputan.

Selesai majlis, kami bergerak balik pada jam 1.15 petang. Kami melalui Batu Gajah dan singgah sebentar untuk melihat bangunan lama iaitu Kellie's Castle. Kami hanya melihat dari seberang sungai sahaja. Kemudian kami meneruskan perjalanan dan singgah di R&R Tapah untuk berehat. Di sini popular dengan jualan buah-buahan seperti limau bali, jambu batu, jambu air, ciku dan mangga. Masing-masing membeli buah-buahan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Perjalanan diteruskan dan sewaktu melalui lebuh raya berhampiran dengan Seremban, hujan mulai lebat hinggalah ke Pedas/Linggi. Kami sampai di UTeM pada jam 6.00 petang.

Walaupun penat, perjalanan dan pengalaman ini amat berharga untuk dikongsi bersama...


Aku dengan Ketua Pustakawan UMK


Aku, Mahadir dan Firdausiah









Kellie's Castle








0 ulasan:

Catat Ulasan