Isnin, Mei 03, 2010

Majlis Pertunangan Norhayati-Ridhwan

Sabtu, 1 Mei 2010 merupakan cuti sempena Hari Pekerja. Seawal jam 8.30 pagi persiapan untuk majlis pertunangan sudah dimulakan. Masing-masing menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Ada yang memasak rendang, air minuman, cendol dan kuih-muih yang kebanyakannya disumbangkan oleh sanak-saudara dan jiran-jiran.

Kira-kira pukul 3.30 petang, Norhayati, anak kesepuluh dalam keluarga Ayup sudahpun dipersiapkan oleh mak andam. Dan seperti yang dijanjikan sewaktu merisik dulu, akhirnya majlis pertunangan menjadi kenyataan. Pukul 5.00 petang, rombongan pihak lelaki yang menaiki tujuh buah kereta tiba dari Selandar.

Sebaik sampai, para tetamu dijemput naik ke rumah dan barang-barang hantaran berserta sebentuk cincin pertunangan diletakkan di hadapan wakil kedua pihak. Wakil pihak perempuan memulakan perbincangan dengan mengalu-alukan kedatangan rombongan dari pihak lelaki.

Kemudian kedua pihak meneruskan perbincangan berkaitan hal pertunangan. Di antara butir-butir perbincangan yang dapat aku rakamkan ialah tempoh pertunangan selama setahun di mana sekiranya tempoh masa ini ingin dipanjang atau dipendekkan, kedua belah pihak lelaki dan perempuan boleh berbincang semula.

Majlis kemudian diteruskan di mana ibu kepada Ridhwan kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis Norhayati. Rakan-rakan dan kaum keluarga kedua belah pihak berpusu-pusu merakamkan foto tersebut.

Sebaik selesai, bacaan doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran. Tetamu kemudian dijemput menikmati juadah di khemah tetamu yang disediakan di halaman rumah. Pukul 6.15 petang, rombongan lelaki berangkat pulang dengan hantaran balas dari pihak perempuan.

Majlis pertunangan Norhayati dan Ridhwan ini dihadiri kaum keluarga terdekat dan jiran-jiran. Walaupun majlis ini ringkas tetapi ianya meriah.


















0 ulasan:

Catat Ulasan