Selasa, Mei 25, 2010

Majlis Hari Kualiti UTeM 2010

Seramai 130 orang staf dari pelbagai gred jawatan menerima sijil perkhidmatan cemerlang pada Majlis Hari Kualiti 2010, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan di Dewan Besar UTeM pagi ini.

Majlis bermula pada jam 9.15 pagi sebaik ketibaan Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan universiti dan ketua-ketua jabatan. Majlis Hari Kualiti 2010 diadakan bertujuan untuk meraikan staf-staf yang terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009.

Lagu-lagu koir UTeM Terbilang, Perkhidmatan Awam dan Kualiti turut dinyanyikan oleh kumpulan koir universiti disusuli dengan bacaan doa.

Naib Canselor di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah cemerlang. Kumpulan ini merupakan 10 peratus staf universiti yang cemerlang dan menjadi penyumbang utama kepada kecemerlangan universiti. Beliau berharap mereka yang cemerlang ini mejadi contoh yang baik di dalam jabatan masing-masing serta menjadi contoh dan motivasi kepada rakan-rakan lain. Naib Canselor juga berharap anugerah ini menjadi penggalak kepada penerima untuk terus meningkat dan mengulangi kejayaan di masa hadapan.

Menurut Naib Canselor, pada tahun lepas seramai 120 orang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang. Bilangan 130 orang penerima anugerah pada tahun ini dipecahkan kepada ketua pusat tanggungjawab seramai 3 orang (2.3%), staf akademik 51 orang (39.2%), staf bukan akademik(pengurusan & professional) 16 orang (12.3%) dan staf bukan akademik (kumpulan sokongan) 60 orang (46.2%). Penilaian SKT bagi tujuan anugerah ini dibuat terhadap 1628 orang staf UTeM.

Datuk Prof. Dr. Ahmad Yusoff Hassan berharap prestasi penerima anugerah akan terus meningkat mengesani UTeM di samping terus dapat merangsang persekitaran tempat kerja. Beliau berharap dengan kecemerlangan, ianya akan menjamin kesejahteraan di mana akan terus menghasilkan keupayaan staf universiti dari segi kemahiran, pengetahuan, sikap serta berdedikasi, mempunyai komitmen yang tinggi, berjiwa besar dan murni.

Naib Canselor di penghujung ucapannya mengingatkan semua staf bahawa kecemerlangan organisasi terletak pada aset iaitu modal insan. Bagi modal insan yang berilmu, berkemahiran yang bersesuaian, berfikiran strategik dan sentiasa relevan dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran, mereka adalah lebih strategik iaitu mencapai tahap luar biasa.

Majlis berakhir pada jam 11.00 pagi setelah kesemua 130 orang penerima anugerah khidmat cemerlang menerima sijil masing-masing dan bergambar bersama Naib Canselor.









0 ulasan:

Catat Ulasan