Ahad, Februari 28, 2010

Majlis Merisik Yati

Pada 28 Februari 2010, jam 3.30 petang, rumah Hj. Ayup dikunjungi beberapa orang lelaki dan wanita dengan menaiki van. Mereka sekeluarga daripada Selandar, Melaka. Enam orang semuanya. Kehadiran keluarga ini dialu-alukan oleh tuan rumah, Hj. Ayup, Mak Bedah dan beberapa orang anaknya dengan menjemput mereka ke ruang tamu rumah berkenaan. Masing-masing memperkenalkan ahli rombongan dan kemudian berbual-bual kosong bertanyakan itu dan ini mengenai perjalanan tadi. Turut hadir ialah Tok Sidang Selandar. Akhirnya wakil pihak lelaki memulakan hajat kedatangan mereka.

"Beginilah..kami datang ni ada hajat..ingin merisik Yati..," jelas wakil lelaki.

"Norhayati.." sampuk Hj. Ayup atau Babah di kalangan anak-anaknya, membetulkan sebutan nama Yati, anak ke-10 daripada 12 orang adik-beradik itu.

"Kalau tidak ada yang punya, kami berhasrat untuk memancang tuan punya diri," balas wakil berkenaan.

Akhirnya Babah memandang kepada aku dan meminta aku bercakap bagi pihak beliau. Aku mengangguk tanda setuju walaupun peringkat awal aku ingin Babah sendiri yang bercakap sebagai tanda hormat.

"Seperti tuan puan sedia maklum, buat masa ini Yati ini masih belum ada yang punya...," balas aku kembali.

Beberapa perkara dibincangkan secara ringkas seperti jumlah hantaran dan tarikh pertunangan. Kedua belah pihak setuju untuk mengadakan perbincangan lanjut selepas daripada kunjungan tersebut.

"Kalau begitu, kita setuju, tarikh pertunangan ialah pada 1 Mei 2010, lepas Asar..," balas wakil lelaki.

Kedua pihak mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan tarikh dan masa yang ditetapkan wakil pihak lelaki itu.

"Di sini kami ada membawa cincin merisik...," jelas wakil berkenaan sambil menunjukkan sebentuk cincin di dalam bekasnya.

Ibu kepada pihak lelaki akhirnya menyarungkan cincin merisik ke jari manis Yati sebagai tanda bermulanya satu ikatan dengan Mohd Ridhwan Abdul Jalil, bekas rakan sekolahnya.

Doa selamat dibacakan oleh wakil pihak lelaki sebagai tanda kesyukuran di atas sempurnanya majlis ringkas tersebut.

Akhirnya rombongan tadi dijamu dengan hidangan yang disediakan sebelum berangkat pulang pada jam 4.30 petang. Mak Bedah mengirim sebakul buah-buahan dan sebiji kek sebagai tanda mata untuk dibawa pulang rombongan tadi.















Kuasa Sebuah Logo

Khamis lepas sewaktu aku melangkah masuk ke sebuah kedai buku di Mahkota Parade, aku disapa oleh seorang pekerjanya yang bertugas menjaga barangan yang ditinggalkan pelanggan di kaunter.

"Sir..sir..boleh tumpang tanya?," tanya pekerja tersebut.

Aku terpinga-pinga. Kelihatan seorang pemuda berbangsa Cina, berusia sekitar 20an, tempang kakinya, terdengket-dengket menuju ke arah aku dengan pandangan mengharap.

"Ya, boleh..boleh..," jawab aku pantas.

Aku diam sebentar dan cuba mendengar apakah soalan yang akan diajukan pemuda tersebut memandangkan aku tidak membawa apa-apa barangan peribadi masuk ke dalam kedai buku tersebut.

"Macam mana nak masuk universiti?", tanya pemuda itu lagi.

Aku terkejut dengan soalan yang diajukannya dan hairan mengapakah soalan tersebut ditujukan kepada aku. Pantas aku mencari-cari apa yang ada pada diri aku berkaitan dengan soalan tersebut. Akhirnya aku terpandang logo universiti, UTeM pada t-shirt yang aku pakai malam itu. Tambah bersemangat aku untuk menjawab soalan beliau.

"Kena mohon dulu, result kena bagus..", jawab aku selamba.

"Awak minat apa?", tanya aku pula.

"Saya minat komputer..", jawabnya lagi bersemangat.

"Kalau macam tu Matematik, Sains, Fizik kena baik..baru boleh mohon..", balas aku kembali.

Terfikir pula aku, pemuda ini sering aku jumpa setiap kali aku mengunjungi kedai buku tersebut. Mungkin melihat pelanggan sering mencari buku untuk dibeli atau dibaca, timbul rasa cemburu dan minat untuk memperbaiki dirinya dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Itu sesuatu yang baik pada dirinya.

"Kalau result dapat kredit, boleh minta?", tanya pemuda itu lagi meminta pandangan.

"Boleh, tapi susah sikitlah..", jawab aku lagi.

Aku melihat pemuda itu sedikit lega dengan jawapan tersebut dan ingin kembali ke kaunter pelanggan semula.

"Ok, thank you, sir!", balas pemuda itu menutup perbualan.

Sewaktu memilih buku-buku untuk anak-anak, aku terfikir, tinggi sungguh pandangan masyarakat kepada logo dan jenama sesebuah universiti sehinggakan apabila kita memakai pakaian yang tertera logo pun orang akan beranggapan kita adalah sebahagian daripadanya dan memandang tinggi peribadi si pemakainya.

Kata orang kalau bergaul dengan penjual minyak wangi, dapatlah kita bau wanginya begitulah sebaliknya...

Khamis, Februari 25, 2010

Foto Lawatan Ke Singapura di Majalah Nur

Pagi ni secara kebetulan rakan setugas, Rasida menunjukkan foto lawatan ke Singapura pada bulan Disember 2009 dipaparkan di Ruangan Senyum Nur, Majalah Nur keluaran Mac 2010. Glamor ler bebudak ni...
























Majalah Nur, Mac 2010


Foto lawatan ke Singapura pada Disember 2009. Dari kiri Arman, Hafeez, Norlian, Hasliza, Rasida, Cik Siti Noor Kiah (TKP), Shahar, Noraini, Mawardi, aku dan Mahadir.

Rabu, Februari 24, 2010

Information Resource Center, UTP

Pada 22 Februari 2010, semasa menghadiri IRC Carnival di UTP, aku dan Mahadir sempat melawat Information Resource Center, UTP sebelum balik. Besar juga perpustakaan ni... Di sini aku rakamkan kenangan di perpustakaan buat tatapan rakan-rakan yang masih belum berpeluang ke sana...