Selasa, Jun 15, 2010

Felda Residence Hot Springs



Sebelum Januari 2008, ia dikenali sebagai Taman Rekreasi Air Panas. Selepas pengubahsuaian secara komersial dilakukan oleh Felda Plantation pada Disember 2003, namanya ditukar kepada Felda Residence Hot Springs Sungai Klah.

Ia meliputi kawasan seluas 49.3 hektar dan dikelilingi ladang kelapa sawit. Sementara taman air panas pertama Felda itu meliputi enam hektar dengan suhu antara 30 hingga 100 darjah celsius.

Sememangnya, Felda Residence Hot Springs ini mempunyai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan setanding resort percutian yang ada dalam negara.

Satu kelebihan yang terdapat pada tempat ini adalah taman air panas, kolam air mata gunung, laluan refleksologi, perkampungan spa, tapak berkhemah, tapak hari keluarga, tapak merebus telur, spa keluarga yang amat menyeronokkan.

Tidak perlu menggunakan kenderaan, hanya berjalan di sekitar kawasan itu, pengunjung dapat menikmati keindahan alam semulajadi sambil menghirup udara yang menyegarkan.

Mata juga mudah terpesona dengan kehijauan persekitaran dengan anak sungai mengalir dengan menerbitkan wap air panas.

Seperti diketahui, khasiat kolam air panas semula jadi tidak boleh dinafikan terutama mengubati pelbagai jenis penyakit kulit.

Kini tempat itu menjadi kunjungan wajib di kalangan pelancong luar negara seperti Singapura, Jepun dan Korea pada setiap hujung minggu.

Ia juga dapat mengurangkan kesan penyakit kronik seperti lelah, lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi setelah pesakit terlibat merendam kaki mereka dalam tempoh masa tertentu.

Menurut Ketua Jabatan Korporat Felda Holdings, Izan Hussin, keadaan air panas di situ begitu jernih kerana ‘ditapis’ oleh empat lapisan batu dari jenis mazisy, shared, kuaza dan akhir sekali batu granit.

"Di sini terdapat lebih 2,000 punca mata air. Bermula dari laluan titian kayu, pengunjung dapat melihat keadaan air panas itu mengalir sehingga memenuhi kolam-kolam air panas, pusat-pusat spa dan kawasan refleksologi.

"Selain bermandi-manda, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti seperti merebus telur di dalam takungan air panas dalam suhu 100 darjah celsius,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Dalam pada itu, kehadiran lumut-lumut di batu granit sekitar aliran air panas itu juga begitu bermanfaat bagi mereka yang mempunyai masalah kulit dan gemarkan kecantikan.

Pengunjung juga ingin merasa lebih tenang, boleh membuat tempahan untuk urutan tradisional Melayu di Perkampungan Spa.

Harga yang berpatutan dan amat berbaloi bagi sesiapa sahaja yang mahu diri mereka dibelai.

Selain urutan, ia turut menawarkan mandian bunga Melayu, mandian susu, sauna selain pakej dengan harga serendah RM70 hinggga RM210.

Pengunjung juga boleh mencuba rawatan Ayuverda, urutan tradisional India bermula dari pangkal leher, bahu dan kepala sehingga ke seluruh badan bermula dari RM45 hingga RM100 dalam tempoh 30 hingga 60 minit.

"Felda Residence Hot Springs juga berkemampuan untuk menawarkan 32 unit katil kelamin dan 32 unit katil berkembar di hotel. Bagi yang inginkan lebih privacy boleh membuat tempahan vila keluarga yang turut mempunyai jakuzi tersendiri,” tambah Izan.

Sekiranya anda memandu ke Felda Residence Hot Springs dari Kuala Lumpur, ia sejauh 160 kilometer manakala daripada Ipoh (100 kilometer) menggunakan Lebuhraya Utara Selatan.

Perjalanan tidak kurang daripada dua jam itu sememangnya tidak membosankan kerana mata anda akan dijamu dengan kehijauan alam semula jadi.

0 ulasan:

Catat Ulasan