Selasa, Jun 15, 2010

Bersiar-siar di Colmar Tropicale & Japanese Village

Pagi 11 Jun 2010, cuaca agak cerah walaupun puncak bukit masih diselubungi kabus. Hari itu kami bersarapan agak lewat. Nasi goreng dengan mee segera. Anak-anak sukakannya. Sesekali apa salahnya.

Pukul 12.30 tengah hari, kami bergerak ke Colmar Tropicale. Turun naik bukit akhirnya kami melalui pintu masuk seakan-akan plaza tol (guard house). Rupanya kena bayaran. Bagi dewasa, bayaran untuk seorang ialah RM12.00 manakala kanak-kanak pula RM8.00. Bayaran ini meliputi lawatan ke Colmar Tropicale, Botanical Garden dan Japanese Village.

Diinspirasikan daripada sebuah perkampungan lama di Perancis yang diserlahkan pada reka bentuk bangunannya, resort ini sangat sesuai dijadikan destinasi romantik yang mampu membawa kita seolah-olah berada di negara tersebut.

Pengalaman itu lebih terasa dengan kedinginan udara dan persekitarannya sesuai dengan kedudukan resort berkenaan yang terletak kira-kira 2,600 kaki daripada paras laut.

Menyambut ketibaan kami ke sebuah perkampungan yang begitu mendamaikan, Colmar Tropicale iaitu deretan hotel yang dibina dalam reka bentuk bangunan lama sama seperti perkampungan sebenar yang wujud di Alsace, Perancis.

Menyusur di bawah pintu gerbang yang diinspirasikan daripada Menara Riquewihr di Perancis dan jambatan batu itu ialah sebatang anak sungai buatan yang asalnya sebuah kolam dan ditempatkan dua pasang angsa putih dan angsa hitam yang cukup cantik dan jinak.

Berada dalam dakapan hutan tropika semula jadi berusia 150 tahun, satu-satunya perkampungan Perancis yang wujud di negara ini menyediakan deretan kedai yang dibuka di bawah resort ini yang menyajikan kita dengan pelbagai menu makanan popular Perancis seperti piza, pastri dan roti Perancis.

Sepanjang hari, aku merakamkan keindahan resort ini di samping merakamkan juga aksi anak-anak. Ada persembahan nyanyian dan tarian pada hari itu mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di sini makanan dan minuman agak mahal. Sebagai perbandingan, harga setin minuman ialah sekitar RM1.50 tetapi di sini harganya mencapai RM5.00 setin.

Untuk Ifa dan Miza, kami hadiahkan gelang tangan dengan huruf-huruf berwarna-warni pilihan mereka. Harga setiap huruf pula RM4.00 manakala harga gelang ialah RM20.00.

Pukul 5.00 petang, kami singgah di Japanese Village yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Colmar Tropicale.

Perkampungan Jepun yang mendamaikan ini dibangunkan dengan sentuhan alam yang mengagumkan antaranya air terjun, kolam ikan koi dan ladang teh. Kami hanya sempat menikmati keindahan alam di sekitar Japanese Tea House sahaja memandangkan hari sudah lewat petang. Pukul 6.00 petang, kami bergerak keluar dari kawasan ini menuju ke Bowling Centre, di Berjaya Hills Golf & Country Club.











































































0 ulasan:

Catat Ulasan