Ahad, Jun 27, 2010

Gerhana Bulan Separa 26 Jun 2010

Semalam, 26 Jun 2010, kita di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan separa. Kejadian ini berlaku dari jam 7.22 malam hingga 10.20 malam. Secara umumnya, gerhana bulan berlaku ketika fasa bulan penuh di mana pada masa yang sama bulan akan melintasi bayang bumi seperti rajah berikut:






Gerhana pada 26 Jun ini bermula dengan fasa penumbra (P1) pada jam 4.57 petang waktu Malaysia. Walau bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap dan kebetulan juga pada waktu itu bulan masih belum terbit lagi dari ufuk.

Fenomena gerhana tersebut hanya dapat disaksikan apabila Bulan mulai terbit pada jam 7.22 malam dan bulan telah pun memasuki bayang umbra bumi (U1) sejak jam 6.17 petang lagi. Gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7.38 malam. Fenomena gerhana ini dapat disaksikan sehingga 9.00 malam apabila bulan keluar sepenuhnya dari umbra bumi (U4).

Gerhana masih terus berlaku sehingga 10.20 malam tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.

Aku turut merakamkan fenomena ini untuk dikongsi dengan pembaca.


8.07 malam


8.15 malam


9.48 malam

Sabtu, Jun 26, 2010

Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010

Sudah seminggu Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 melabuhkan tirainya. Bertemakan 'Harmoni dan Cemerlang', Sukan Malaysia kali ini menjadi medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam bidang sukan tempatan. Apa tidaknya, dalam tempoh 9 hari pertandingan, sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta.

Pada pendapat aku, inilah Sukan Malaysia yang terbaik pernah dianjurkan setakat ini. Melalui tinjauan aku dalam laman sosial YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, jelas beliau kerap turun padang melihat kemudahan di venue-venue pertandingan. Begitu juga dengan ADUN dan pegawai-pegawai kerajaan termasuk sukarelawan bertungkus-lumus menjayakan temasya ini dengan bersunguh-sungguh.

Sejumlah 15 kontinjen sukan mengambil bahagian dalam 33 acara. Kontinjen Terengganu Darul Iman sekali lagi menjadi juara apabila memperolehi 47 pingat emas. Ini diikuti oleh Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan dengan mendapat 43 emas. Tuan rumah, Melaka hanya sekadar menduduki tempat ke-7 dengan 32 emas.

Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Jun 2010. Di sini beberapa berita yang dipetik dari akhbar dan laman web berkaitan.












UTUSAN MALAYSIA

SUKMA XIII catat kejayaan
Oleh Lukman Salleh

21 Jun 2010

Persaingan lebih sengit, kedudukan keseluruhan seimbang

DENGAN 14 rekod kebangsaan dan 81 rekod kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XIII di Melaka yang berakhir kelmarin di anggap satu kejayaan besar dari segi kualiti, kemunculan bakat muda dan persaingan di antara kontinjen negeri.

Ketiadaan satu negeri yang mendominasi pungutan pingat emas berbanding temasya Sukma sebelum ini, persaingan lebih sengit dengan kedudukan keseluruhan dengan dipisahkan dengan kelebihan dua atau tiga pingat emas, ia pastinya memberi keceriaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), yang menganggap temasya XIII menepati objektifnya. “Berdasarkan kepada catatan rekod kebangsaan dan kejohanan, dan juga mencungkil bakat baru, saya berpendapat temasya kali ini sudah mencapai objektif utamanya,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN merangkap Ketua Urusetia Tetap Sukma, Jalil Abdullah, semalam. “Malah dalam pungutan emas, tidak ada satu negeri yang mendominasi dan kemenangan hanya ditentukan perbezaan pingat yang kecil.

“Ini menunjukkan persatuan dan majlis sukan negara bersama-sama dengan MSN menggerakkan program pembangunan bakat untuk menghasilkan barisan pelapis berwibawa. Saya berharap kerjasama dan usaha itu akan diteruskan.

“Pada masa yang sama juga, ada beberapa sukan yang perlu dipertingkatkan pengurusan dan program pembangunan terutama dalam melahirkan pegawai teknikal dan atlit dan MSN akan memantau persatuan terbabit bagi memastikan mereka tidak tercicir,” katanya.

Dua tahun lalu, pada Temasya XXII hanya tujuh rekod kebangsaan dan 53 rekod kejohanan dipecahkan. Dengan lebih banyak kontinjen negara yang bersaing untuk pingat, adalah menjadi harapan lebih banyak bakat baru dapat dilahirkan daripada temasya itu.


Laman Web Sukan Malaysia XIII, Melaka 2010

SUKAN MALAYSIA 2010 DITUTUP PENUH GEMILANG

KRUBONG (19 JUN 2010) - Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 melabuhkan tirai malam ini dengan pujian perlu diberikan kepada tuan rumah di atas penganjuran yang berjaya mencerminkan peningkatan imej dan pencapaian atlet.

Selepas 33 jenis sukan dipertandingkan pada Sukma kali ini, Terengganu diumumkan sebagai juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut selepas memungut 47 emas mengatasi saingan terdekat Selangor dan Wilayah Persekutuan apabila masing-masing memperoleh 43 emas.

Sebanyak 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan dicipta pada temasya kali ini.

Sebaik obor kejohanan dipadamkan tepat pada pukul 11.00 malam disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bermakna berakhir sudah temasya sukan selama 14 hari selain meninggalkan banyak kenangan suka dukanya.

Selepas Melaka, giliran Pahang pula akan menjadi tuan rumah temasya edisi ke-14 pada 2012.

Terdahulu, atlet olahraga tuan rumah Melaka, J. Khartik dan jaguh renang dari Wilayah Persekutuan,Chan Kah Yan diisytihar sebagai Olahragawan dan Olahragawati manakala Terengganu diumumkan juara Sukma edisi ke-13. Najib turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Kemeriahan jelas terasa sehinggalah berakhir acara penutup yang penuh warna-warni disempurnakan oleh Najib. Sejurus Perdana Menteri mengumumkan majlis penutupan, bendera kejohanan mula diturunkan dan obor yang menyala sejak majlis pembukaan pada 12 Jun lalu dipadamkan.

Selepas itu, Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyerahkan bendera kejohanan kepada Perdana Menteri yang kemudiannya menyerahkannya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob selaku tuan rumah temasya edisi ke-14.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Dengan lebih 9,237 atlet dan pegawai daripada 15 pasukan termasuk Brunei sebagai jemputan berkampung di Melaka sepanjang temasya berlangsung menyaksikan rekod kejohanan dan kebangsaan dicipta oleh atlet muda negara.

Majlis penutup gilang-gemilang dimulakan dengan pertunjukkan 800 peserta di kalangan pelajar sekolah memegang sapu tangan warna biru dan merah diiringi lagu Melaka Maju 2010.

Ia turut diserikan dengan upacara simbolik perarakan kapsul masa kira-kira 87 kanak-kanak tunas budaya diiringi paluan kompang dan 100 peserta brass band dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John Kuala Lumpur.

Diikuti perarakan masuk kontinjen yang mengambil bahagian dan maskot setiap negeri. Sejumlah 16 bendera besar daripada 160 orang pembawa bendera 14 negeri yang bertanding termasuk Brunei sambil diiringi lagu rakyat negeri Melaka.

Jumaat, Jun 25, 2010

Taklimat Continuous Professional Development (CPD)

Satu taklimat mengenai Continuous Professional Development (CPD) telah diadakan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM pada 24 Jun 2010. Taklimat ini merupakan satu road tour Pejabat Pendaftar dalam menerangkan mengenai program CPD kepada staf-staf di jabatan dan fakulti. Kepada staf UTeM, CPD bakal dilaksanakan pada 1 Julai 2010 walaupun tempoh pengiraan mata telahpun bermula sejak 1 Januari 2010.

Taklimat CPD disampaikan oleh Puan Murni Abu, Penolong Pendaftar, Unit Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Bahagian Sumber Manusia dan dihadiri seramai 25 orang staf perpustakaan.

CPD merupakan suatu kaedah penilaian prestasi terhadap staf yang pernah digunakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan program ini dirancang UTeM untuk mempertingkatkan pengetahuan, menambahbaik kecekapan profesional sepanjang kerjaya seseorang staf di mana penilaian dibuat melalui aktiviti-aktiviti latihan, pembangunan ilmu serta aktiviti profesional dan bukan profesional.

Melalui program ini staf perlu memperolehi 42 mata untuk berada di Aras III sebelum boleh menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Staf juga perlu menghadiri kursus, latihan, pembelajaran kendiri, bengkel, penglibatan dalam sesi pengembangan ilmu dan kemahiran dan lain-lain lagi.

Di antara faedah CPD ialah ianya melestarikan pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan diri dan penilaian prestasi staf digabungkan, matlamat Dasar Sumber Manusia sektor awam dapat dicapai, waktu pembelajaran yang lebih fleksibel dan penjimatan kos operasi.

Taklimat bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir 2 jam kemudian.






Selasa, Jun 15, 2010

Bergambar Sakan di Colmar Tropicale & Japanese Village

Bila dah sampai ke tempat yang menarik, tentu sahaja kita tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan gambar foto buat kenangan. Banyak gambar dirakam semasa di Colmar Tropicale dan Japanese Village. Di sini aku abadikan aksi anak-anak dan percutian untuk tatapan pembaca blog.