Selasa, Julai 21, 2009

Manchester United Asia Tour 2009

18 Julai 2009 merupakan tarikh perlawanan bolasepak persahabatan di antara kelab Manchester United dengan pasukan Malaysia XI. Aku mulanya tidak berapa minat untuk menonton perlawanan ini tetapi didesak oleh anakku Arif yang merupakan penyokong nombor satu kelab Inggeris ini.

Dua minggu lalu aku dipujuk oleh Arif untuk membelikan tiket perlawanan ini secara online. Itupun setelah melihatkan tiket perlawanan ini semakin laris. Setelah memikirkan kemungkinan tidak berpeluang menonton perlawanan yang jarang-jarang diadakan di Malaysia ini, aku membuat keputusan untuk menempah tiket perlawanan ini.

Pada hari perlawanan, aku dengan Arif bertolak dari Melaka kira-kira jam 11.00 pagi. Bukan apa, takut jalan sesak. Ini kerana sehari sebelum perlawanan, ada laporan menyatakan jalan sesak semasa sesi latihan pasukan Manchester United ini.

Kira-kira jam 1.00 tengah hari, kami sampai di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada masa ini kereta-kereta pun dah memenuhi medan letak kereta di luar stadium. Berbagai-bagai gerai jualan memenuhi bahu jalan di luar stadium itu. Antara yang paling laris ialah baju-baju tertera perkataan Manchester United, topi, hon, makanan dan juga berbagai promosi daripada syarikat-syarikat telekomunikasi dan iklan. Penonton juga disajikan dengan konsert mini bekas pelajar AF, perlawanan futsal, jualan pakaian dan bermacam lagi.

Pukul 4.00 petang, kami masuk ke stadium. Fuh! bukan main ramainya...semuanya berpakaian serba merah, warna jersi pasukan Manchester United. Dikhabarkan jumlah penonton yang membanjiri stadium mencecah 85,000 orang. Ada juga situasi yang melucukan bila mana mereka yang memakai pakaian pasukan lain diminta tukar pakaian. Tapi itu sementara sahaja. Penonton di Malaysia ni agak sporting juga...

Tepat jam 5.35 petang, perlawanan di antara pasukan Malaysia XI dengan Manchester United bermula. Perlawanan agak seimbang tetapi lebih dikuasai oleh kelab Inggeris ini. Manchester United menewaskan Malaysia XI 3-2. Gol-gol Manchester United dijaringkan oleh Wayne Rooney (minit ke-8), Nani (minit ke-27) dan Michael Owen (minit ke-85) manakala jaringan Malaysia, keduanya disumbangkan oleh Amri Yahyah pada minit ke-45 dan minit ke-52.

Perlawanan ini tamat pada jam 7.30 malam. Malam itu juga kami pulang ke Melaka setelah jalan keluar daripada kawasan stadium sudah agak reda. Ada beberapa souvenir yang diminta Arif untuk koleksi peribadi beliau antaranya t-shirt Manchester United, muffler dan topi berlogokan Persatuan Bolasepak Malaysia.

Walaupun penat tapi aku rasa berbaloi. Semoga ianya menjadi kenangan manis buat Arif bila hajatnya untuk melihat pasukan kesayangannya beraksi di Malaysia tertunai sudah...





2 ulasan: