Khamis, Disember 04, 2008

Hari Pertama Di Labuan















Kondominium Alpha tempat kami menginap

Ahad, 23 November 2008. Sebaik sahaja keluar daripada terminal, aku SMS kepada Roziah agar memaklumkan kepada Sarah yang kami sudahpun menunggu mereka. Roziah, Mak Munah, Nek Ikin, Farhana dan Farhan tiba sehari lebih awal daripada penerbangan kami.

Lebih kurang 10 minit menunggu, dua buah kereta sampai. Honda Odyssey yang dipandu oleh Yunus ditumpangi Roziah, Mak Munah, Nek Ikin, Farhana dan Farhan manakala Honda Accord yang dipandu oleh Sarah ditumpangi anak-anaknya. Setelah meletakkan beg-beg ke dalam kereta, aku memandu kereta Honda Odyssey.

Perjalanan dari terminal ke rumah Yunus di Financial Park, Labuan mengambil masa lebih kurang 8 minit sahaja. Memandangkan semua ahli keluarga masih belum bersarapan, kami dibawa oleh Yunus ke Choice Restaurant, sebuah restoran mamak. Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Ada yang makan roti canai, ada yang makan nasi goreng dan ada juga yang memesan mee goreng. Masing-masing sibuk bercerita hal masing-masing di antara satu sama lain sementara menunggu pesanan. Aku nampak kemesraan di antara ahli keluarga semakin terjalin.

Selepas bersarapan, kami melawat New Store, sebuah gedung pakaian di Jalan OKK Awang Besar. Mak Munah, Roziah, Nek Ikin dan Ida dibawa oleh Sarah untuk melihat dan memilih kain-kain yang agak berjenama, berkualiti dan murah berbanding di Semenanjung. Dekat sejam juga proses memilih dan tawar-menawar. Orang perempuan memang macam tu, rambang mata...Aku tunggu kat luar aje walaupun dah dua kali aku masuk ke gedung tu tapi proses pemilihan masih berjalan dengan lancar. Pukul 12.30 tengah hari, sebaik sahaja selesai, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Pulau Labuan.

Pulau ini dihuni lebih kurang 90,000 orang penduduknya dan komuniti ini biasanya saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Labuan diwartakan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 dan juga diisytiharkan sebagai International Offshore Financial Centre pada 1 Oktober 1990. Aktiviti utama di pulau ini ialah perbankan antarabangsa pesisir pantai, kilang-kilang besi, penghasilan jubin, kilang tepung dan juga bekalan dari luar. Oleh kerana kebanyakan aktiviti-aktiviti ini, Labuan dihuni juga oleh bukan orang tempatan Labuan yang bekerja di sini.

Kami singgah ke Pusat Jualan Kenderaan untuk melihat sendiri harga-harga kereta yang dijual di Labuan. Memang benar, harganya lebih murah berbanding harga kereta di Semenanjung bagi kereta-kereta terpakai. Suasana di pulau ini tenang kerana tidak banyak kenderaan dan tidak sesibuk seperti di Kuala Lumpur. Seperkara yang kita perlu tahu ialah harga barang di sini sedikit mahal berbanding harga di Semenanjung dan masanya juga berbeza. Kalau pukul 6.00 pagi, di sini sudah agak cerah kerana menerima sinaran matahari lebih awal berbanding di Semenanjung.

Pukul 2.30 petang, kami ke rumah sewa Yunus yang lama. Khabarnya Yunus baru sahaja sehari berpindah ke kondominium di Financial Park. Pukul 3.30 petang, Sarah mencadangkan kami menikmati ais kacang di medan selera di belakang bangunan Financial Park.

Pukul 4.00 petang, kami ke kondominium Yunus di Tingkat 10, Bangunan Alpha, Financial Park. Di sini mudah untuk membeli-belah kerana di bawah bangunan ini terletaknya beberapa pasar raya seperti Parkson dan Giant selain gerai-gerai jualan seperti telefon dan lain-lain lagi. Kami berehat dan bersiap untuk makan malam.

Pukul 8.00 malam, kami dibawa ke Anjung Ketam di Tanjung Aru untuk menikmati makanan laut. Di Sabah, makanan laut dikatakan murah dan sedap. Anjung Ketam ni merupakan gerai-gerai makanan laut yang dibina di atas air berhampiran pantai. Suasana dingin terasa dengan angin sepoi-sepoi bahasa menerjah ke tubuh kami. Pelbagai juadah disediakan seperti ketam rebus, udang goreng butter, udang goreng sambal, ikan bakar dan bermacam lagi.

Lebih kurang satu setengah jam kami di Anjung Ketam, kami pulang jam 9.30 malam. Yunus menyediakan kami dengan sebuah kondominium yang disewa di Bangunan Beta tetapi Sarah tidak bersetuju kerana tidak dapat berbual panjang dengan ahli keluarga. Oleh kerana sudah disewakan, kami ke kondominium tersebut untuk satu malam sahaja. Dan malam ini pastinya kami tidur lena kerana semuanya sudah keletihan.















Bersarapan di Choice Restaurant



















Ida, Alim, Farhana dan Miza bergambar kenangan.















Selepas menikmati ais kacang di medan selera.















Udang goreng sambal















Pelbagai juadah disediakan di Anjung Ketam.















Menikmati makan malam.















Yunus, Sarah dan Lokman.















Aku dan Ida menikmati juadah yang disediakan.















Leka menghabiskan makanan..















Danish, Arifah, Haris dan Arif.















Raif Farhan, anak Roziah dan Farok.















Miza dan Alim memberikan pose istimewa selepas makan malam.















Pemandangan di sekitar bandar Labuan dari tingkat 10 kondominium.

0 ulasan:

Catat Ulasan