Hari ini 8 Disember 2008 bersamaan 10 Zulhijjah 1429H. Hari ini umat Islam seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan biasanya diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.
Tahun ini aku sekeluarga menyambut hari raya secara bersederhana sahaja. Sejak pagi lagi cuaca mendung dan hujan renyai-renyai. Selepas bersembahyang sunat hari raya, kami sekeluarga bersama ahli keluarga terdekat berkumpul untuk mengadakan sedikit tahlil dan kenduri.
Kemudian, kira-kira jam 10.30 pagi, Tuan Hj. Ahmad, Imam Kampung Alai sampai dan mengetuai tahlil. Selepas itu, jiran-jiran dan beberapa orang pemuda kampung sudah bersedia untuk menjalankan gotong-royong untuk menyembelih dan melapah beberapa ekor lembu untuk ibadah korban.
Pukul 11.00 pagi, upacara penyembelihan akan dijalankan. Pak Iman memanggilku untuk mengesahkan lembu yang akan dikorbankan adalah bagi aku sekeluarga dan Mak Munah. Kemudian aku menjalankan akad mewakilkan Pak Imam untuk kerja penyembelihan tersebut.
Dalam hujan renyai-renyai, kerja-kerja penyembelihan dijalankan oleh Pak Imam dengan dibantu oleh beberapa pemuda kampung. Mulanya agak sukar untuk menumbangkan lembu tersebut tetapi lama-kelamaan dengan kepakaran dan kekuatan pemuda, kerja-kerja menumbangkan lembu berjalan lancar.
Pak Imam meletakkan pisau pada leher lembu dan membaca doa sambil menyembelih. Darah memancut keluar daripada leher lembu. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya lembu tersebut sudah tidak bergerak lagi. Kerja-kerja melapah lembu berjalan lancar.
Setelah itu, daging-daging diagih-agihkan kepada jiran-jiran dan keluarga terdekat serta orang kampung. Pukul 2.30 petang, semua kerja selesai. Selepas membersihkan diri, aku sekeluarga ke rumah ayah dan ibu di Peringgit.
Aku bersyukur dan berpuas hati kerana di hari mulia ini, dapatlah aku sekeluarga menjalankan perintah Allah SWT untuk berkorban dan bersedekah. Moga-moga ibadahku ini dirahmatiNya.
Berkumpul untuk menjalankan upacara penyembelihan lembu.
Memeriksa ikatan pada kaki lembu setelah menumbangkannya.
Berbincang kaedah terbaik untuk penyempurnaan korban.
Pak Imam dibantu beberapa orang kampung untuk upacara penyembelihan.
Upacara penyembelihan sedang dilaksanakan.
Daging-daging korban ditimbang untuk diagihkan.