Ahad, Disember 06, 2009

Pertunjukan Singa Laut dan Ikan Lumba-lumba

Pagi 5 Disember 2009, cadangan awal semalam ialah untuk ke Wet World Shah Alam. Pagi ni masing-masing bangun lewat. Akhirnya perancangan untuk ke taman tema dibatalkan kerana cuaca mendung.

Setelah berbincang dengan Ida, kami menukar destinasi ke Sunway Piramid. Kami bertolak pukul 3.00 petang. Kami bercadang untuk membeli tiket untuk menonton pertunjukan singa laut dan ikan lumba-lumba. Walau bagaimanapun tiket untuk pertunjukan pada jam 3.00 petang sudahpun habis dan akhirnya kami akur dan membeli tiket bagi pertunjukan jam 6.30 petang. Sementara menunggu waktu untuk menonton pertunjukan tersebut, kami berlegar-legar di ruang kedai di Sunway Piramid.

Pukul 6.20 petang, kami bergegas ke tempat pertunjukan. Setelah menghulurkan tiket, kami dibenarkan masuk. Pertunjukan baru bermula. Pengacaranya aku kira daripada Indonesia ini sentiasa melawak dan bersahaja. Beliau dibantu oleh dua orang pelatih yang melatih singa laut dan ikan lumba-lumba. Pelbagai pertunjukan singa laut seperti membawa bola di hujung muncungnya, juga membawa payung dan gelung. Sesekali haiwan ini diberikan 'upah' berupa ikan yang dibawa di dalam baldi setelah sesuatu tugasan diberikan pelatihnya disempurnakan.

Bagi ikan lumba-lumba atau dolphin ini, pada aku paling menarik bila mana ikan ini mampu melompat dan 'menendang' dengan ekornya bola yang tergantung di tengah kolam. Begitu juga, ia dapat melompat dan masuk ke dalam gelung secara bergandingan.

Di akhir sesi pertunjukan itu, penonton boleh bergambar dengan dolphin asalkan mereka sanggup membayar RM10.00 untuk gambar tersebut.

Kadang-kadang terfikir, haiwan lebih memahami arahan manusia berbanding manusia sendiri.





































Artikel mengenai pertunjukan ini juga dipaparkan dalam ruangan Fokus, Mega Utusan Malaysia bertarikh 18 Disember 2009.

0 ulasan:

Catat Ulasan