Sabtu, Ogos 14, 2010

Ribut Kencang Melanda UTeM

Petang semalam sewaktu menyiapkan tugas-tugas di pejabat, tiba-tiba aku dengar bunyi angin yang begitu kuat di samping hujan turun dengan lebat. Sesekali bunyi guruh diikuti kilat sabung-menyabung. Tidak pernah fenomena begitu terjadi sejak berpindah ke bangunan baru di Kampus Induk, Durian Tunggal.

Aku lantas melihat jam di tangan. Waktu itu pukul 4.35 petang. Aku mula berfikir bagaimana untuk mengambil kenderaan yang terletak di tempat letak kereta yang jaraknya lebih kurang 40 meter di belakang bangunan perpustakaan. Pada masa yang sama aku juga berfikir bagaimana untuk sampai ke SRA Jalan Datuk Palembang untuk mengambil Ifa bimbang jika aku terlewat disebabkan hujan lebat.

Pukul 5.10 petang, aku melihat ramai staf yang masih tidak pulang terutama bagi mereka yang menunggang motosikal. Nasib baik aku menyimpan sekaki payung di pejabat dan aku gunakannya untuk meredah hujan lebat. Walaupun berpayung, habis basah baju dan seluar disebabkan angin kencang. Payung yang aku bawa pun hampir ditiup angin dan aku segera masuk ke dalam kereta.

Sepanjang perjalanan, aku memandu dengan berhati-hati. Di kiri kanan jalan, air bertakung dan jika pemanduan tidak cermat, pasti mengundang musibah. Akhirnya aku sampai di sekolah agama jam 6.20 petang dan Ifa sudahpun menunggu aku.

Alhamdulillah, yang penting semuanya selamat....

0 ulasan:

Catat Ulasan