Rabu, Ogos 11, 2010

Pesta Konvokesyen Ke-6 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Pesta Konvokesyen Ke-6 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan dari 6 hingga 8 Ogos 2010 di Tapak Pesta Konvo di Kampus Induk, Durian Tunggal. Pesta konvokesyen ini adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-6 UTeM yang telah diadakan di Dewan Besar UTeM. Tema pesta kali ini ialah Sedekad UTeM : Melestari Inovasi Teknikal.

Banyak acara telah disusun bagi memeriahkan lagi Pesta Konvokesyen ke-6 ini. Ia juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan UTeM. Program ini adalah anjuran bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Majlis perasmian Pesta Konvokesyen UTeM ini disempurnakan oleh Pro Canselor UTeM, Tan Sri Dr. Johari bin Mat pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2010. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan universiti.

Menurut Dekan HEPA, Engr. Prof. Dr. Marizan Sulaiman program ini diadakan bagi meraikan bakal-bakal graduan yang akan menerima ijazah dan diploma mereka di Dewan Besar UTeM pada 7 dan 8 Ogos di samping mengeratkan lagi hubungan masyarakat kampus dan masyarakat luar supaya mengenali dengan lebih dekat pembelajaran yang ada di UTeM ini, memupuk mahasiswa dalam menguruskan program yang besar dan menjana mahasiswa yang berkepimpinan dan mahir berinteraksi dengan berkesan.

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan pada pesta konvokesyen ini ialah acara payung terjun oleh Komando VAT69 yang telah diadakan pada jam 4.00 petang, 6 Ogos 2010.

Selain itu turut diadakan demo jenayah ragut, pameran asset dan peralatan PDRM, cabaran teh tarik, pertandingan gubahan bunga, pertandingan mewarna, roket air, pertandingan menghias kek, pertandingan kereta remote, mini funfair, pertandingan interaktif, paintball, street soccer, sukan air, eco-challenge, jelajah pencarian mutiara, konsert amal yang menampilkan Nazrey Johani, Hijjaz, Hafiz Hamidon dan Nash pada malam 6 Ogos 2010.

Diadakan juga Forum Bicara Ad-Din yang bertajuk “Membangunkan Masyarakat Maju Melalui Al-Quran dan Sains”. Panel terdiri dari Dr. Jamnul Mulkan dan Prof. Dr. Mohd Arif Hj. Kasmo dan ianya telah diadakan pada jam 9.00 malam, 7 Ogos 2010.

Pertandingan akhir Karnival Dondang Sayang peringkat IPTA merupakan acara terakhir program Pesta Konvokesyen UTeM di mana ia diadakan pada jam 8.00 malam, 8 Ogos 2010. Artis jemputan ialah Noraniza Idris.

Sempena dengan Pesta Konvokesyen Ke-6, satu majlis Pra-Pelancaran Pesta Konvokesyen ke-6 UTeM telah diadakan di Pentas Mydin Mall MITC, Melaka pada 31 Julai 2010. Ia dianjurkan oleh Biro Aktiviti & Penyelarasan Program Pesta Konvokesyen ke-6 UTeM. Ia diadakan dari jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam.

Acara-acara menarik yang diadakan sepanjang hari tersebut ialah pertandingan pidato kecil, pertandingan mewarna, pertandingan suara klasik, persembahan orkestra UTeM, persembahan ghazal UTeM dan persembahan kumpulan gendang UTeM.

Pesta Konvokesyen Ke-6 UTeM ini secara keseluruhan kurang menarik pengunjung berkemungkinan dijalankan serentak dengan Jom Heboh anjuran TV3 yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.





























0 ulasan:

Catat Ulasan