Selasa, Ogos 31, 2010

Aktiviti Kacau Dodol

Dodol merupakan antara makanan tradisi penduduk di Negeri Melaka. Bagi keluarga Hj. Ayup, boleh dikatakan saban tahun aktiviti mengacau dodol akan dijalankan pada dua minggu terakhir bulan Ramadhan.

Hari Sabtu, 28 Ogos 2010 merupakan hari yang dirancang untuk aktiviti mengacau dodol. Awal pagi lagi bahan-bahan untuk membuat dodol seperti tepung beras, kelapa, gula pasir dan gula melaka telah disediakan. Seperti biasa, sehari sebelumnya, emak akan merendam tepung beras dan kemudian mengisarnya supaya menjadi halus. Tidak seperti tahun lepas, tahun ini Mak Bedah menggunakan mesin pengisar untuk mengisar tepung. Kemudian tepung beras diperap dan ditiriskan supaya airnya 'turun'. Pada masa yang sama, kelapa akan diparut dan diambil santannya.

Aktiviti mengacau dodol yang kebiasaannya bermula seawal jam 7.00 pagi ditunda pada jam 10.00 pagi. Tungku diletakkan di bawah garaj dan kemudian kayu-kayu diletakkan di bawah tungku. Kayu-kayu ini akan dibakar agar proses mengacau dodol dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kawah atau kuali besar diletakkan di atas tungku. Santan dan tepung beras dimasukkan ke dalam kawah dan dikacau menggunakan centong atau sudip panjang sehingga sebati dan naik baunya.

Kira-kira sejam kemudian, gula pasir dan seterusnya gula melaka akan dimasukkan dan terus dikacau sehinggalah dodol ini menjadi likat dan melekat-lekat. Proses mengacau dodol dibuat berterusan bagi mengelakkan dodol berkerak. Biasanya, dodol cair akan dikeluarkan dan disimpan untuk dinikmati semasa berbuka puasa nanti. Mengacau dodol biasanya mengambil masa hampir 6 hingga 7 jam untuk siap sepenuhnya.

Fasa paling kritikal ialah mengacau dodol sewaktu ianya hampir likat. Sudahlah perit mata dek terkena asap dan bahang daripada api di tungku, kederat pula semakin berkurangan. Mengacau dodol di siang hari memang mencabar berbanding mengacau dodol di waktu malam.

Kira-kira jam 3.30 petang, aktiviti mengacau dodol tamat. biasanya Mak Bedah akan menjadi pakar rujuk untuk menentukan sama ada dodol yang dikacau sudah boleh diangkat atau sebaliknya. Apabila dodol siap dimasak, ia akan dimasukkan ke dalam bekas-bekas plastik untuk disimpan. Dodol-dodol ini akan disimpan dan diagih-agihkan kepada ahli keluarga apabila mereka berkumpul kelak. Selain diagih-agihkan, ia juga menjadi hidangan pada hari raya nanti.

Sebaik kerja mengacau dodol ini siap, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini akan keletihan dan tidur. Walau bagaimanapun ianya adalah proses biasa bagi mendapat semula tenaga yang hilang. Di sesetengah tempat kerja-kerja begini telah digantikan dengan mesin. Namun begitu, mengacau dodol merupakan aktiviti paling menyeronokkan dan bak kata orang Melaka, kalau tak ada dodol, tak berserilah raya nanti...










0 ulasan:

Catat Ulasan