Rabu, Ogos 11, 2010

Paparan Konvokesyen Ke-6 UTeM Dalam Akhbar

BERNAMA Web - 7 Ogos 2010

Dua Graduan Aktif Bersukan Terima Anugerah Pelajaran Diraja.






















MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Dua penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang aktif dalam bidang sukan dan persatuan, membuktikan mereka juga mampu meraih kecemerlangan dalam bidang akademik.

Mohd Nor Irman Sulaiman, penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pengkalan Data) dengan kepujian, dan Kwan Wai Loon, penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan (Bahan Kejuruteraan) dengan kepujian, hari ini dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Mohd Nor Irman, aktif dalam sukan kayak manakala Kwan aktif dalam Taekwondo, masing-masing pernah mewakili UTeM ke pelbagai peringkat pertandingan.

Mereka menerima anugerah tersebut daripada Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-6 di Durian Tunggal dekat sini, pada hari Sabtu.

Pada konvokesyen selama dua hari bermula hari ini, seramai tiga graduan menerima ijazah doktor falsafah, 51 graduan menerima ijazah sarjana, 1,083 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 271 menerima diploma.

Pada majlis itu, bekas Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan Sains manakala bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Salleh Sulong dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan Teknologi.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Nor Irman, 24, dari Kuching, Sarawak, berkata kecergasan fizikal dan mental adalah faktor penting yang banyak membantu kepada pencapaian cemerlang dalam bidang akademik.

"Bagaimana pun kita mesti pandai membahagikan masa untuk aktif dalam bersukan dan tumpuan kepada akademik," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Kwan, 24, dari Klang, Selangor pula berkata seseorang mahasiswa itu perlu bijak menguruskan masa kerana ia merupakan penentu kepada pencapaian bidang kurikulum dan kokurikulum.

"Keluarga dan rakan-rakan banyak membantu dalam pencapaian saya pada hari ini," katanya yang memegang tali pinggang hitam dalam sukan tersebut.

Mohd Nor Irman, anak seorang pesara tentera dan Kwan, anak seorang jurutera, masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56. - BERNAMA



Metro Ahad - 8 Ogos 2010

Awal tetap sasaran

Oleh AHMAD SAUFI MANSOR

MELAKA: “Saya memang tidak gemar melakukan kerja saat akhir kerana ia pernah membuatkan saya jatuh sebelum berusaha bangkit kembali untuk mengejar cita-cita belajar hingga ke peringkat paling tinggi untuk mencapai taraf doktor falsafah.”

Begitu kata graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data), Mohd Nor Irman Sulaiman, 24, yang juga penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia pernah berasa kecewa apabila keinginannya untuk belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih di negara ini tidak menjadi kenyataan apabila sekadar mampu menempatkan diri di institusi bertaraf kolej.

Menurutnya, perasaan kecewa itu menebal kerana turut menyangka UTeM yang ketika itu bertaraf kolej universiti adalah kolej swasta pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, sebaik melangkah kaki masuk ke sini, baru saya menyedari perkara sebenar sebelum memasang iltizam dan tekad untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran selain jangan terlalu cepat berputus asa dalam apa jua keadaan.

“Malah, anugerah (Pelajaran Diraja) diperoleh ini juga satu kejutan buat diri saya kerana ada ramai lagi pelajar lebih hebat di segi akademik, sebaliknya hanya mensasarkan Hadiah Industri.

“Alhamdulillah, atas sokongan dan dorongan keluarga, akhirnya saya memperoleh kejayaan diidamkan dengan menerapkan disiplin tidak melakukan kerja-kerja pada saat akhir,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan, di sini, semalam.

Seramai 1,408 graduan membabitkan tiga graduan doktor falsafah, sarjana (51), sarjana muda (1,083) dan diploma (271) menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang juga Canselor UTeM.

Pada majlis sama, mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sains manakala bekas Pengarah Urusan DRB-Hicom Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) yang kini dikenali sebagai UTeM, Tan Sri Mohd Saleh Sulong turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Teknologi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin; Pro Canselor UTeM, Tan Sri Dr Johari Mat; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Ahmad Yusof Hassan.

Mohd Nor Irman yang kini menyambung pengajian ke peringkat sarjana bagi jurusan sama di UTeM menyifatkan setiap individu yang ingin berjaya dalam pelajaran perlu menetapkan sasaran dengan lebih awal.



New Straits Times - 8th August 2010

'Evaluate progress of pupils first'
By B. Suresh Ram, Rozanna Latiff and Eileen Ng

MALACCA: An evaluation standard needs to be put in place by the government to appraise the academic achievements of primary school pupils before any move to abolish the Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) examination is made, said former education minister Tan Sri Musa Mohamad.

He said the move should also be on balance with the need to establish a mechanism to evaluate the co-curriculum progress of the pupils.

Musa said this was necessary to ensure that the first six years of schooling contributes to the pupils' education before their move to secondary school.

"For me, a standard evaluation from these two aspects needs to be put in place to ensure the pupils are not left behind compared with others," he said after the sixth convocation of Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) here yesterday.

Musa, who was also University Sains Malaysia vice-chancellor for 13 years prior to his appointment as education minister in 1999, said there were 10,000 primary schools in the country. "Out of this, not all can be evaluated merely through exams."

At the convocation, Musa was conferred an honorary doctorate in science management while former DRB-Hicom managing director Tan Sri Mohd Saleh Sulong received a doctorate in technology management from UtEM Chancellor Tan Sri Mohd Khalil Yaakob.

Saleh said he was impressed with the growth of UTeM, which he left two years ago. He had served as the chairman of the university's board of directors when it was established as Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia in 2000 and in the initial years after it was conferred university status in 2007.

A total of 1,408 graduates at the doctorate, masters, degree and diploma levels received their scrolls.



Utusan Malaysia - 9 Ogos 2010

Aktif sukan resipi utama dua graduan cemerlang UTeM
















Mohd Nor Irman Sulaiman (kiri) bersama Kwan Wai Loon ceria menunjukkan anugerah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Keenam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka, kelmarin.

MELAKA 8 Ogos - Penglibatan aktif dalam sukan dan aktiviti kokurikulum merupakan rahsia kejayaan dua graduan yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sempena Majlis Konvokesyen Keenam UTeM di Kampus Induk Durian Tunggal di sini, semalam.

Mohd. Nor Irman Sulaiman, 24, yang berasal dari Kuantan, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi manakala Kwan Wai Loon, 24, dari Selangor pula merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.

Mohd. Nor Irman yang merupakan anak kedua daripada empat beradik menganggap penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan di universiti banyak membuka minda.

"Selain konsisten semasa belajar dan memberikan tumpuan dalam kuliah, penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan turut membantu saya.

"Dengan penglibatan itu, fikiran saya tidak tertekan kepada pelajaran semata-mata sebaliknya minda kita akan lebih baik," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu di sini, kelmarin.

Mohd. Nor Irman yang juga Naib Presiden Persatuan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi universiti itu berkata, apabila melibatkan pembelajaran, dia sememangnya memberi tumpuan penuh.

Selain itu katanya, dia mempunyai tiga rahsia yang membawa kejayaannya iaitu jangan putus asa, yakin pada diri sendiri dan tidak mengikut tingkah laku kawan yang kurang yakin pada diri sendiri.

"Saya tidak sangka mendapat anugerah tertinggi. Terima kasih kepada tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada saya," katanya yang kini menetap di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Wai Loon turut sependapat bahawa penglibatan aktif dalam sukan dan persatuan di universiti antara penyumbang utama kepada kejayaannya.

Dia yang juga pemegang tali pinggang hitam sukan taekwondo menambah, penglibatan dalam kedua-dua aktiviti tersebut banyak membantunya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

"Dalam kita memberi tumpuan kepada pembelajaran dan kuliah, aktiviti sukan dan berpersatuan turut membantu meningkatkan keupayaan kita," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Kedua mereka itu adalah antara 1,408 graduan dengan tiga daripadanya menerima ijazah doktor falsafah, 51 sarjana, 1,083 sarjana muda dan 271 lagi diploma.

Turut hadir, Tun Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Pro Canselor, Tan Sri Dr. Johari Mat dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan.

Terdahulu, bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sains manakala bekas Pengerusi Eksekutif DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Saleh Sulong pula mendapat Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Teknologi.

0 ulasan:

Catat Ulasan