Ahad, Januari 31, 2010

Selamat Hari Lahir Ifa

Sabtu, 30 Januari 2010 merupakan ulangtahun kelahiran Ifa yang ke-11. Kami sekeluarga menyambutnya secara ringkas dan sederhana. Seperti anak-anak yang lain, aku juga membelikan sebiji kek aiskrim khas untuk Ifa.

Ifa juga minta dibelikan Pizza Pepperoni dan Chicken Supreme dari Pizza Hut dan kami menambahkannya dengan Kentucky Friend Chicken.

Majlis ringkas ini diadakan pada jam 9.00 malam.

Selamat Hari Lahir Ke-11, Ifa!

Aku mendoakan semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki buat puteri aku yang seorang ni...














Majlis Perutusan Naib Canselor UTeM 2010



Slaid Perutusan NC UTeM 2010

Majlis Perutusan Naib Canselor UTeM 2010 ini telah diadakan di Dewan Besar UTeM pada 29 Januari 2010. Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi ini bertujuan untuk menyampaikan amanat secara terus daripada Naib Canselor UTeM, Pofesor Datuk Dr.Ahmad Yusoff bin Hassan kepada warga universiti. Tema ucapan beliau kali ini ialah 'Inovasi Pemacu Kegemilangan Pembangunan Lestari'.

Antara agenda utama majlis ini ialah memaklumkan pencapaian UTeM pada tahun 2009 dan inisiatif strategik tahun 2010. Ianya disusuli dengan harapan Naib Canselor kepada warga UTeM untuk tahun 2010.

Amanat NC ini dimulakan dengan memberikan definisi dan prinsip inovasi daripada pelbagai sumber rujukan beliau. Ia disusuli dengan pencapaian sasaran pelan strategik UTeM 2009-2010 dan kemudian dibawa kepada analisa persekitaran semasa yang merujuk kepada slogan Perdana Menteri iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan bagaimana mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara membangun yang berpendapatan tinggi.

Amanat daripada Menteri KPT juga dinyatakan melalui 4 bidang keberhasilan utama (KRA) iaitu akses kepada kualiti, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan dan penyelidikan dan pembangunan.

Paling menarik perhatian ialah penubuhan dua fakulti baru yang dijangka beroperasi pada 2011 iaitu Fakulti Kejuruteraan Bahan dan Fakulti Rekabentuk Kejuruteraan.

Majlis ini tamat pada jam 11.20 pagi setelah pelancaran laman web UTeM baru yang interaktif.


Laman web UTeM

Lawatan Pelajar FKM, UiTM Segamat

Satu lawatan seramai 4 orang pelajar Diploma Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Segamat telah mengadakan kajian perkhidmatan dan teknikal sokongan di Perpustakaan UTeM pada 27 dan 28 Januari 2010.

Pelajar-pelajar tersebut melakukan kajian kursus secara wawancara dan pemerhatian bagi tujuan menyediakan satu laporan kepada fakulti mereka.

Pelajar-pelajar tersebut ialah Nor Ainna Mohdana, Rahayu Mohamad Raub, Izzan Ramizah Idris dan Wati Yusuf.

Lawatan ke Unit Pengindeksan ialah pada hari Rabu, 27 Januari 2010. Taklimat diberikan oleh aku dan Puan Fauziah dan lawatan berpandu diuruskan oleh Ahmad Abu Bakar.

Selain taklimat, lawatan berpandu ke sekitar unit juga diadakan.

Jadual lawatan:

Rabu, 27 Januari 2010
8.30 - 11.00 pagi : Unit Perolehan Buku
11.00 - 12.00 t/hari : Unit Perolehan Jurnal
2.00 - 3.00 petang : Unit Perolehan Hadiah & Pertukaran
3.00 - 5.00 petang : Unit Pengindeksan

Khamis, 28 Januari 2010
8.30 - 10.30 pagi : Unit Sirkulasi/Media
10.00 - 12.00 t/hari : Unit Rujukan
2.00 - 3.00 petang : Unit Automasi
3.00 - 4.00 petang : Unit Pentadbiran




Selasa, Januari 19, 2010

Belajar Renang





Mulai 14 Januari 2010, Alim dan Miza mula menghadiri kelas renang R&R. Kelas yang diadakan dua kali seminggu ini bertujuan untuk memahirkan diri dengan teknik-teknik berenang dan keselamatan di dalam air.

Kelas diadakan pada hari Khamis dan Jumaat di Kompleks Renang MBMB di Banda Hilir dari jam 8.30 hingga 10.15 malam.

Lucunya, Alim mula-mula tu takut nak masuk ke dalam kolam yang besar yang kedalamannya 3 meter tetapi bila dipujuk, dia setuju. Kemudian, bila Miza dan Fateha ajak dia berenang, terus berani.

Semoga keduanya cepat pandai....

Fenomena Gerhana Matahari Separa


Gerhana matahari separa terbentuk seperti cincin.


Gerhana matahari separa dirakam di Myanmar.


Gerhana matahari separa dirakam di Manila, Filipina.


Gerhana matahari separa dirakam di Male, Maldives.


Gerhana matahari separa juga dirakam di Male, Maldives.


Gerhana matahari separa dirakam di China.


Gerhana matahari separa dirakam di Bangkok, Thailand.





Gerhana matahari separa dirakam dari Langkawi.

Gerhana matahari separa dirakam dari Planetarium Negara, Kuala Lumpur.


Gerhana matahari yang dirakam dari jendela BPAK, UTeM.


Gerhana matahari yang dirakam dari jendela BPAK, UTeM.

Orang ramai sekali lagi berpeluang menyaksikan fenomena gerhana selepas gerhana bulan separa pada 1 Januari lalu.

Pada kali ini, gerhana matahari anulus akan berlaku pada 15 Januari 2010 dan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur .

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) fenomena tersebut berlaku apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil berbanding matahari.

Oleh itu, matahari kelihatan seperti cincin yang terang atau anulus di sekeliling luar cakera bulan.

Lintasan bayang umbra bulan bermula di Afrika dan melalui Chad, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Uganda, Kenya dan Somalia manakala selepas melepasi Afrika, lintasan tersebut melalui Lautan Hindi yang mana tempoh maksimum anular mencapai kira-kira 11 minit lapan saat.

Lintasan tersebut kemudiannya terus melintasi Asia melalui Bangladesh, India, Myanmar dan China .

Fenomena seperti ini pernah berlaku pada 26 Januari tahun lalu, ketika Tahun Baru Cina manakala gerhana matahari separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan yang lebih luas meliputi Eropah Timur, Afrika dan Asia.

Rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang.

Peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena tersebut bermula pukul 3 petang hingga 5.45 petang.

Secara amnya, gerhana matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru dan pada masa yang sama bulan melintasi laluannya di antara matahari dan bumi agar Matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya

Sehubungan itu, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa pada kira-kira jam 3 petang apabila bulan mula menyentuh cakera matahari.

Keadaan ini dikenali sebagai “sentuhan pertama” iaitu permulaan gerhana matahari separa.

Kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan sentuhan gerhana pada masa ini disebabkan matahari yang terlalu terang.

Gerhana hanya akan dapat dilihat apabila Bulan menutupi Matahari secara perlahan dan membentuk sabit tua sehingga liputan maksimum tercapai pada kira-kira pukul 4.25 petang.

Sentuhan akhir iaitu kira-kira pukul 5.40 petang, bayangan bulan mula hilang secara beransur-ansur.

Isnin, Januari 18, 2010

Tamat Latihan Praktikal

Jumaat, 15 Januari 2010 merupakan hari terakhir latihan praktikal bagi pelajar bernama Noor Hasniza Abdul Rahman dan Nazlin Jinail di Perpustakaan UTeM.

Kedua pelajar ini mula menjalani latihan praktikal di perpustakaan ini pada 16 November 2009. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada keduanya mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan kelak.

Noor Hasniza berasal dari Perak manakala Nazlin pula dari Sabah. Kedua-duanya merupakan pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam.

Noor Hasniza ditempatkan di Unit Pengindeksan selama 10 hari mulai 18 November hingga 2 Disember 2009 manakala Nazlin pula ditempatkan di unit tersebut mulai 10 hingga 24 Disember 2009. Puan Fauziah dan Encik Ahmad Abu Bakar merupakan pegawai dan staf yang bertanggungjawab memberikan latihan kepada kedua pelajar tersebut.

Majlis ringkas sempena tamat latihan praktikal ini diadakan di Bilik Seminar, Perpustakaan UTeM. Cenderamata disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek.

Semoga kedua mereka akan terus maju dalam bidang kepustakawanan dan cepat mendapat pekerjaan...







Nazlin Jinail

Noor Hasniza Abdul Rahman

Cenderamata untuk Noor Hasniza

Cenderamata untuk Nazlin

Hadiah kenangan berupa hamper

Cenderamata untuk kedua pelajar disampaikan oleh TKP


Cenderamata kenangan untuk Perpustakaan UTeM daripada kedua pelajar


Rabu, Januari 13, 2010

Kembali Sibuk...

Minggu ni dah masuk minggu ketiga bulan Januari 2010. Tahun ni banyak perancangan yang ada dalam fikiranku. Dan aku mengambil langkah untuk mengisi tahun 2010 dengan menyediakan perancangan untuk anak-anakku terlebih dahulu.

Sudah setahun berlalu, tidak banyak aktiviti yang aku rancangkan. Kira tahun 2009 tu honeymoon bagi Arif setelah selesai UPSR tahun 2008. Kini Arif dan Arifah perlu menghadiri kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan pada tahun 2011.

Arif akan menduduki peperiksaan PMR manakala Arifah pula menduduki UPSR. Bagi memastikan Arif dan Arifah mendapat kefahaman yang lebih terhadap subjek yang dipelajari, aku menghantar keduanya menghadiri kelas tuisyen di Duyong. Kelas tuisyen Arif pada hari Isnin dan Selasa manakala kelas tuisyen Arifah pula pada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu.

Bermula Khamis ini dan Sabtu, Arif dan Arifah akan menyambung kelas renangnya manakala Miza dan Alim akan menghadiri kelas asas renang sebagai satu aktiviti riadah.

Pada hujung minggu, Arif, Arifah dan Miza bercadang untuk beriadah bersama aku. Kami sekadar berjogging di Bukit Serindit.

Kelas Global Art pula pada hari Sabtu di mana Arifah dan Miza perlu menghadirinya.

Dan sebulan lagi, kelas pengajian tahfiz Arif, Arifah dan Miza akan bermula. Kelas ini akan diadakan pada pagi hari Sabtu dan Ahad. Semua jadual perlu disusun dengan rapi.

Sekurang-kurangnya masa yang ada ni dapat dirancang dengan teliti agar dapat diisi dengan perkara berfaedah. Dan kini aku kembali sibuk seperti dua tahun lalu...