Khamis, November 13, 2008

Majlis Perkahwinan Akbar-Siti Nor Hadijah



















Pose lepas nikah Akbar dan Siti Nor Hadijah

Pada 8 November 2008, aku sekeluarga bergegas ke Meru, Klang kerana menghadiri pernikahan sepupu Ida, Akbar. Janjinya pernikahan akan dijalankan pada jam 4.00 petang. Melalui Lebuhraya Utara-Selatan, aku keluar melalui Plaza Tol Bukit Raja. Sampai di Meru, jam 4.15 petang. Kenderaan lain yang berkonvoi dah pun sampai dan menunggu kami di Masjid Meru. Maklumlah jurucakap pihak pengantin, Tuan Hj. Aziz Sinin ada dalam kereta aku. Kami terus ke sebuah restoran yang diubahsuai menjadi lokasi majlis, bersebelahan Kem PLKN Meru.

Sesampainya kami, majlis pernikahan terus dijalankan. Semua yang hadir tidak sabar menunggu majlis akad nikah dijalankan. Akbar dengan sekali lafaz telah sah memperisterikan Teja atau nama sebenarnya Siti Nor Hadijah, anak bongsu pelakon Ruminah Sidek atau Mak Mah. Sungguh ramai sanak-saudara kedua belah pihak menghadiri majlis tersebut. Acara tepung tawar kedua keluarga diadakan.

Selepas jamuan, kami dibawa oleh Adlin Aman Ramli, anak Mak Mah ke Hotel Comfort untuk berehat. Letak hotel ni dengan lokasi majlis agak jauh juga, sekitar 20 minit perjalanan. Seronok anak-anak dapat tidur hotel, terutama Alim dengan Miza. Arifah dengan Arif tidak melepaskan peluang bergambar dengan Adlin.

Lebih kurang jam 8.30 malam, kami sekali lagi ke lokasi majlis kerana akan diadakan Majlis Berinai Besar. Paluan kompang mengiringi pengantin masuk ke dalam dewan dan majlis berinai dijalankan. Sungguh meriah. Selepas dijamu, kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel untuk berehat. Agak letih juga...

Hari Ahad, 9 November 2008. Bangun lewat kerana majlis langsung diadakan sekitar jam 12.00 tengah hari. Kami beberapa keluarga duduk berbual sambil menjamu selera ketupat, roti canai dan nasi yang dibawa dari Melaka semalam. Mujur Ida bawa dapur elektrik, jadi taklah basi.

Pukul 12.30 tengah hari, selepas check-out, kami terus ke lokasi majlis. Memandangkan tempat letak kereta di kiri dan kanan bahu jalan sudah penuh, aku terpaksa meletakkan kereta kira-kira setengah kilometer. Paluan kompang sekali lagi bergema mengiringi kedua mempelai ke suatu sudut di mana pengantin disajikan dengan acara pencak silat dan tarian kebudayaan.
Kemudian kedua mempelai dibawa masuk ke dalam dewan. Acara tepung tawar sekali lagi diadakan. Kemudian selepas sesi bergambar diadakan, kedua mempelai dibawa menjamu selera di meja pengantin. Sanak saudara tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menjamu selera di meja yang disediakan.

Lebih kurang jam 4.00 petang, hujan renyai-renyai. Sebelum kami melangkah pulang, sebuah kereta Mercedes berhenti betul-betul di belakang kereta aku. Ida beritahu aku, itulah Emylia Rosnaida, isteri AC Mizal dan Emilda Rosmila, bakal tunang Adlin yang datang bersama ibu mereka. Dengar cerita Adlin akan berkahwin Mac 2009.

Walaupun penat tetapi gembira kerana dapat menghadiri majlis yang melibatkan artis.
















Akbar memberikan kucupan kepada isteri sebaik selesai upacara akad nikah.















Hantaran pihak lelaki















Kedua mempelai diarak menuju ke pelaminan.















Pose daripada pengantin sewaktu acara pencak silat.















Pengantin bersanding di atas pelamin.
















Para tetamu dijamu di khemah yang disediakan.



















Sebahagian daripada cenderamata yang diedarkan semasa majlis perkahwinan Akbar dan Teja.

0 ulasan:

Catat Ulasan