Sabtu, November 15, 2008

Keputusan UPSR 2008 - Laporan Media Tempatan

Pencapaian 2008 naik 1.4 peratus berbanding 5 tahun lalu

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan semalam lebih baik daripada purata lima tahun sebelumnya dengan 46,641 pelajar atau 9.2 peratus mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, peningkatan 1.4 peratus berbanding purata keputusan UPSR dari 2003 hingga 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata nilai Gred Purata Kebangsaan (GPK) iaitu petunjuk pencapaian keseluruhan UPSR 2008 ialah 2.36 mata, lebih baik berbanding purata lima tahun lalu iaitu 2.39 mata.

Beliau berkata, calon yang mendapat minimum Gred C yang dijadikan petunjuk pencapaian baik ialah 317,404 pelajar atau 62.7 peratus, meningkat 2.2 peratus berbanding purata 60.5 peratus bagi keputusan lima tahun lalu.

Katanya, 488,567 pelajar atau 96.3 peratus melepasi gred D dan E bagi semua mata pelajaran, meningkat 0.6 peratus berbanding dari 2003 hingga 2007. Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dengan 511,367 atau 98.6 peratus adalah murid sekolah kebangsaan, manakala 7,249 atau 1.4 peratus pelajar sekolah swasta.

Alimuddin berkata, lima mata pelajaran menunjukkan peningkatan signifikan bagi peringkat cemerlang (gred A) iaitu Bahasa Inggeris 4.4 peratus, Bahasa Tamil Penulisan (4.8 peratus), Bahasa Melayu Penulisan Sekolah Kebangsaan (SK) (4.1 peratus); Bahasa Melayu Pemahaman Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (4.1 peratus); dan Bahasa Cina Penulisan (3.9 peratus).

Peningkatan prestasi mata pelajaran bagi baik hingga cemerlang (A, B atau C) pula ialah Bahasa Melayu Penulisan SJK, 3.7 peratus dan Bahasa Inggeris SK (4.8 peratus). Alimuddin berkata, bilangan pelajar menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun ini meningkat mendadak berbanding tahun sebelumnya.

Daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus menjawab Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Katanya, tahun ini tidak ada ranking sekolah atau pelajar terbaik, tetapi maklumat mengenainya boleh didapati daripada Jabatan Pelajaran negeri. "Pencapaian ini serta peningkatan prestasi mata pelajaran bahasa Inggeris ada kaitan dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) apabila guru lebih banyak menggunakan bahasa berkenaan dalam bilik darjah," katanya.

Ditanya sama ada PPSMI akan diteruskan atau sebaliknya, Alimuddin berkata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan menentukannya kerana ia berkaitan dasar yang menjadi perhatian rakyat. Ditanya kenapa sekolah dan pelajar terbaik UPSR 2008 tidak diumumkan, Alimuddin berkata pihaknya tidak berbuat demikian kerana lebih mengutamakan pencapaian pelajar daripada segi literasi. "Kita tidak mengadakan ranking sekolah atau pelajar terbaik tahun ini tetapi maklumat berkenaan boleh diperoleh daripada Jabatan Pelajaran negeri," katanya.

Dipetik Berita Harian, 14 November 2008.


Pencapaian UPSR meningkat. Peningkatan bukti keberkesanan proses pengajaran, pembelajaran

Di MELAKA, seramai 1,531 daripada 15,454 calon yang menduduki UPSR di 222 pusat peperiksaan itu tahun ini, mendapat 5A dan 7A, meningkat 87 atau 9.91 peratus berbanding pada tahun lalu. Pengarah Pelajaran negeri Isa Abu, berkata pada tahun ini juga seramai 10,190 atau 65.94 peratus daripada jumlah keseluruhan calon menduduki peperiksaan itu berjaya mencapai penguasaan minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran.

Dipetik Berita Harian, 14 November 2008.


46,641 calon dapat semua A

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bagi tahun ini, bertambah baik berbanding tempoh lima tahun sebelum ini apabila seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon memperoleh gred A dalam semua subjek yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom, berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding purata 7.8 peratus dalam tempoh lima tahun sebelum ini. “Pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini lebih baik daripada lima tahun sebelumnya dengan 46,641 (9.2 peratus) calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, manakala 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran.

“Seramai 488,567 calon atau 96.3 peratus daripada jumlah calon telah mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,’’ katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Alimuddin berkata, tahun ini juga menunjukkan peningkatan mendadak bagi bilangan pelajar yang menjawab soalan bagi subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada 511,875 kertas jawapan calon, seramai 159,234 atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris berbanding hanya 1,324 pelajar tahun lalu, manakala seramai 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.“

Bagi subjek Matematik pula, 238,153 pelajar atau 46.6 peratus menjawab dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris.

Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan faktor pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) apabila guru lebih banyak menggunakan bahasa berkenaan semasa sesi pembelajaran bagi dua subjek berkenaan.

Dipetik Harian Metro, 14 November 2008.

0 ulasan:

Catat Ulasan