Pelajar yang mendapat 5A SKJDP bersorak bersama YAB Ketua Menteri Melaka.
Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, keputusan UPSR dijangka akan diumumkan pada 13 November 2008. Seawal jam 5.30 pagi, Arif menyatakan keresahan dan tidak dapat melelapkan matanya sepanjang malam. Fikirannya melayang-layang memikirkan keputusan yang bakal diterima pagi nanti. Sebagai ayah, aku redha dengan apapun keputusan yang bakal diterima. Namun dalam hati tiada siapa yang tahu betapa aku juga gelisah menantikan keputusan itu, macam aku pula yang menduduki peperiksaan itu. Aku cuba menenangkan perasaannya dan meminta Arif supaya tidur.
Lebih kurang jam 6.00 pagi, aku bangun dan bersiap untuk ke tempat kerja. Selepas Solat Subuh, aku berdoa agar anak sulungku ini berjaya mendapat keputusan yang baik nanti. Pukul 7.15 pagi, aku, Ida, Arifah dan Arif menuju ke destinasi masing-masing menggunakan satu kereta. Pagi ni aku lewat sampai ke pejabat.
Kira-kira pukul 9.45 pagi, aku dihubungi oleh Ida. Ida memaklumkan Arif ada menelefonnya bertanyakan sama ada aku dan Ida akan datang atau sebaliknya, yelah manakan tidak semua ibu bapa sudahpun berada di dewan sekolah.
Selepas aku keluar pejabat, aku ke tempat kerja Ida untuk membawanya ke Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang (SKJDP). Sesampainya di sekolah, kami terkejut melihat ramai orang sedang berkumpul di hadapan bilik guru siap dengan bunga manggar sekali. Wah! ada apa ni? Ida menyatakan ada kemungkinan satu pengumuman tentang keputusan UPSR akan dibuat di sekolah ini dan kebiasaannya di sekolah yang mencapai keputusan terbaik.
Sebaik melangkah masuk ke dewan sekolah, aku tercari-cari di mana Arif. Rupanya dia berada bersama rakan-rakannya. Sementara menunggu ketibaan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, guru besar SKJDP, Puan Rohana Arifin masuk ke dewan. Pemberita dan jurugambar daripada media tempatan bergegas masuk ke dewan untuk membuat liputan. Beliau dengan nada gembira dan penuh perasaan bangga serta bersyukur memulakan ucapan dan menghargai guru-guru, ibu bapa dan para pelajar yang bersama-sama bekerja keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Beliau juga memaklumkan SKJDP bukan sahaja dapat mengekalkan prestasi cemerlang tahun lepas malah menjadi sekolah terbaik negeri Melaka di mana bilangan yang mencapai 5A seramai 56 orang. Yang membanggakan beliau, walaupun silibus telah bertukar ke dalam Bahasa Inggeris, pencapaian tetap cemerlang.
Puan Rohana mula membacakan satu persatu nama pelajar yang mendapat 5A. Pelajar-pelajar kelihatan resah. Seorang demi seorang apabila namanya disebut bersorak riang dan ada juga yang menangis gembira mendapatkan Puan Rohana. Tiba-tiba nama Muhammad Arif disebut. Aku rasa sebak dan bersyukur bila nama itu dipanggil. Guru besar memaut kepala Arif dan memeluknya bagaikan anak sendiri. Aku lihat Ida spontan menunjukkan isyarat bagus kepada Arif yang kemudiannya sudahpun berada di atas pentas.
Setelah selesai semua nama 56 orang yang mendapat 5A disebut, jurugambar mula menemuramah pelajar-pelajar yang terpilih. Antaranya pelajar kembar 5 anak Pegawai Perundangan Negeri Melaka dan beberapa kembar lain serta seorang pelajar OKU.
Lebih kurang jam 11.30 pagi, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba diiringi Exco Pendidikan Negeri Melaka, Datuk Yaakub Md. Amin dan Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Isa Abu. Dalam ucapannya, Datuk Ali mengucapkan tahniah kepada SKJDP di atas pencapaian cemerlang tambahan lagi SKJDP ini letaknya dalam DUN Bukit Baru, DUN beliau. Beliau berharap pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun hadapan serta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang komited.
Kira-kira jam 12.10 pagi semua pelajar yang mendapat 5A bergambar bersama Ketua Menteri di atas pentas. Selepas majlis tersebut selesai, aku meminta Arif mendapatkan semua guru yang mengajarnya dan mengucapkan ribuan terima kasih. Aku dan Ida juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru terutama Cikgu Masriah Mohammad, guru kelas Arif.
Sesungguhnya aku bersyukur kehadrat Allah SWT di atas kejayaan ini dan berharap Arif tidak lalai sebaliknya terus berusaha menggapai kejayaan dalam peperiksaan yang akan datang.
Dan seperti sebelumnya, Arif menuntut janjiku, nakkan PSP, slim lagi...Yelah, ayah akan belikan untuk kau sebagai hadiah dan ganjaran di atas usaha kau tu...Sekurang-kurangnya resah kau pagi tadi tu berbaloi juga...
Ketibaan YAB Ketua Menteri disambut serta diiringi oleh YDP SKJDP, Pengarah Pelajaran Melaka dan Puan Rohana.
YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam memuji pencapaian SKJDP dalam UPSR.
Murid-murid yang mendapat 5A bergambar di tapak perhimpunan untuk dirakam oleh media tempatan.
Pelajar-pelajar menunjukkan isyarat bagus di atas pencapaian cemerlang SKJDP.
0 ulasan:
Catat Ulasan