Selasa, Julai 27, 2010

Malam Nisfu Syaaban 1431H

Isnin, 26 Julai 2010.Petang itu ialah petang 14 Syaaban 1431H. Aku dan Ida segera ke rumah Mak Bedah setelah menjemput anak-anak pulang dari sekolah agama. Sudah menjadi tradisi sejak dulu, anak-anak akan berkumpul dengan keluarga masing-masing untuk bersama-sama membaca Surah Yaasin di Malam Nisfu Syaaban.

Nisfu dalam Bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima belas Syaaban iaitu siangnya empat belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Hari Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan di dalam buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib.

Pukul 7.00 malam, anak-anak sudahpun membersihkan diri dan bersiap-siap untuk berjemaah. Sebaik azan Maghrib berkumandang, semua ahli keluarga sudahpun berada di ruang tamu untuk sama-sama bersolat. Haji Ayup mengimamkan jemaah yang aku kira lebih kurang 25 orang semuanya.

Sebaik selesai solat Maghrib, masing-masing digalakkan untuk menunaikan solat sunat Nisfu Syaaban. Kemudian jemaah berkumpul dan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali.

Bacaan Yaasin pertama ialah memohon agar dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah, bacaan Yaasin kedua ialah bagi memohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah manakala bacaan Yaasin ketiga pula ialah bagi memohon ditetapkan iman dan mati di dalam iman.

Kemudian diadakan sedikit tahlil ringkas dan diakhiri dengan solat Isyak.

Acara terakhir malam itu ialah kenduri ringkas seisi keluarga. Menu lebih kurang sama setiap tahun iaitu asam pedas daging, ayam goreng, sayur lodeh, buah rambutan, kuih karipap dan lain-lain lagi.

Semoga apa yang dihajati di Malam Nisfu Syaaban ini akan termakbullah hendaknya...














0 ulasan:

Catat Ulasan